Thursday, September 29, 2011

Hanya mencari kebaikan

Meski diri ini tak cukup baik, tapi usaha berbuat satu kebaikan yang boleh diterima di sisi Allah tak perlu menunggu sehingga kita jadi sempurna baik. Hayat kita tak cukup panjang untuk menangguhkan apa-apa kebaikan yang nak kita buat.

Berfikir hanya untuk berbuat benar-benar membuat kita sibuk sehingga tidak sempat nak berfikir macam nak buat jahat kepada orang lain. Bahkan tak sempat nak memberi fokus tentang kejahatan orang kerana dalam mencari kebaikan kita disibukkan oleh tumpuan mencari contoh kebaikan yang ada pada orang lain. 

Monday, September 26, 2011

Blogging sekadar meninggalkan jejak diri

Tiada jumlah hits atau jumlah followers yang dikejar. Bahkan apa yang mendorong orang lain blogging tidak termasuk dalam senarai. Ini sekadar catatan cetusan nurani diri melalui liku-liku hayat sebelum menemui penghujung usia. Jika terbaca oleh yang terimbas dan memberi manfaat syukur. Jika tiada terbaca, ia menjadi catatan para malaikat sebagai bukti kebajikan telah diusaha sekuat daya, walau natijah yang diharap mungkin tak tergapai.

Jadi catatan-catatan diri ini bakal menempel di skrin tanpa beban bahkan melepaskan beban.

Ya Allah ! Tunjukkan hamba-Mu yang faqir ini cara meninggalkan catatan yang menyingkap kebesaran-Mu sekali pun ia terlahir dari kekerdilan diri.

Sunday, September 25, 2011

Memberilah untuk bahagia diri (3)

Memberi akan jadi berat kalau tiada keikhlasan hati. Ikhlas bukanlah sifat semulajadi muncul bersama kita sejak lahir. Ia adalah anugerah Allah atas ketaatan dan taqarrub kita kepada-Nya. Amal yang didasari ikhlas melapangkan. Amal yang tercemar syirik riya akan membebankan dan menyempitkan. Memberi akan jadi membahagiakan bila kita tidak mengharapkan balasan. Memberi akan menjadikan kita kecewa dan hampa bila kita mengharapkan balasan dari pemberian kita.

Apa yang kita harapkan sangat dari manusia untuk membalas apa yang kita telah beri? Manusia punya segala keterbatasan , bukan sahaja untuk membalas yang kita harap, bahkan untuk merealisasikan harapannya sendiri pun ia tak terpenuhi. Bila memberi kita halakan untuk mencari keredhaan Allah, harapan kita boleh melampau tinggi gunung, merentang melepasi batas lautan. Keyakinan akan keadilan Allah menjadikan harapan kita tidak terasa sia-sia. Jika tidak sekarang, nanti. Jika bukan di dunia di akhirat. Jika bukan seperti yang kita pinta, balasannya akan berupa yang lebih baik dari yang kita harap. Yang jelasnya tiada permintaan bakal tersia-sia. Modal kita hanya sabar-sabar dalam memberi dan mengharapkan balasan Allah semata-mata.

Begitulah rupanya terlahir manusia yang bersifat pemberi yang tiada putus-putusnya sepanjang rentangan hayat yang dilaluinya. Dia belum tentu kaya, tapi jiwanya sentiasa terbuka pada yang memberi. Dia sentiasa kaya jiwa dan tajam hati nurani. Hidupnya sarat dengan makna, tiada detik hidup yang terlompong tiada nilai atau harga.

Sekali lagi , bahagiakan diri dengan memberi dan memberi !

Wednesday, September 21, 2011

Erti memberi kepada lingkungan

Kata kunci 'memberi' sangat memperkayakan baik kepada yang memberi itu sendiri mahupun kepada yang menerima pemberian. Yang memberi merasa bahagia dengan kemampuannya untuk menyumbang dan yang menerima dilapangkan dari kesempitannya. Dan ia tidak terhenti sampai di situ sahaja. Ia bagai sebatang lilin yang sedang menyala di antara lilin lain yang sedang bergelap. Setiap kali api dinyalakan kepada lilin yang lain, maka akan bertambahlah potensi lilin lain juga menjadi pemberi baru. Jika dibuat dengan kiraan matematik, kemampuannya berganda dari 1 menjadi 2 lilin pemberi api. Yang 2 itu pula boleh memberi kepada seberapa banyak api kepada lilin yang lain. Yang banyak tu pula boleh memberi kepada jumlah yang tiada terbatas lilin lain selagi ada lilin yang tak menyala. Dari kegelapan, suasana sekeliling kian bercahaya.

Demikianlah umpamanya kesan menakjubkan seorang pemberi, yang kemudiannya melahirkan pemberi baru, dan saling beri memberi. Jadi suasana lapang-melapangkan kian subur. Masyarakat yang dihidupi oleh kumpulan segelintir manusia pemberi ini akan tumbuh menjadi masyarakat yang saling berlapang walaupun batas fizikal mereka sentiasa wujud. Manusia yang memberi akan menumbuhkan rasa cinta dan keazaman untuk mereka yang belum pernah untuk ikut andil memberi juga. Keluh-kesah pada kekurangan dan ketiadaan diri akan semakin malap. Kesusahan tidak menjadi momok menakutkan tanpa noktah kerana di ufuk yang jauh senantiasa ternampak cebisan cahaya yang memberi harapan.

Memberi itu bakal mencipta suatu keajaiban yang tak dijangka !

Memberilah untuk bahagia diri (2)


"Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya ia beribadah menyembah-Ku"[ az-Zariyat : 56 ]

Untuk apa memberi ? Memberi adalah satu manifestasi bahawa kita menerima hakikat kita hanyalah hamba dan Allah itu Khaliq yang mencipta. Allah tidak mencipta kita dengan begitu sahaja dan membiarkan kita tidak berkecukupan. Allah berikan roh dan jasad untuk kita jalani kehidupan. Tanpa roh, berakhirlah riwayat. Jasad tiada makna tanpa roh. Jasad hanyalah sekujur daging yang kaku tak berfungsi. Roh tetap ada di alamnya tanpa jasad. Jadi tuntutan kita memenuhi keperluan roh adalah lebih utama daripada memenuhi jasad yang lazimnya lebih sering mendapat perhatian.

Kepuasan roh bukan dengan makan minum atau senaman jasmani. Roh menemui kepuasan dengan ketaatan murni kepada Pemiliknya. Memberi adalah salah satu manifestasi ketaatan itu. Memberi dan terus memberi umpama memperluaskan wilayah permainan roh. Semakin lapang ruang lingkupnya, semakin bebas ia bergerak di lapangan yang luas itu.

Sebaliknya roh terasa sesak dan rimas dengan ingkar kepada Allah. Ruang lingkupnya semakin sempit setiap kali kita memberanikan diri melepasi sempadan yang telah ditentukan Allah. Maka dengan selalu berfikir untuk memberi dan memberi kebajikan, fikiran kita tidak sempat mengingat untuk ingkar kepada Yang Maha Mencipta. Selepas satu kebajikan terlaksana, akal kita disibukkan dengan kebajikan apa yang berikutnya kita nak buat. Kepuasan melakukan satu kebajikan tidak akan berhenti begitu sahaja kerana hati kita tiada kan menemui kepuasan mutlak pada satu titik hentian. Kita akan mencari peluang membuat kebajikan lagi kerana yang lama itu pun belum tentu Allah terima. Masih banyak yang melatarbelakanginya yang kita tak pasti melancarkan atau menghalang penerimaannya di sisi Allah. Jika kita tahu hanya dengan rahmat Allah sahaja amal kita, sedikit atau pun banyaknya, akan diterima di sisi Allah, Maka memberi dan memberi tiada satu titik hentian yang menjadi penghujung.

Fikirkan selepas ini apa yang nak kita beri untuk kebaikan diri dan kebaikan orang yang kita temui sepanjang perjalanan hidup kita.

[Catatan diri di pagi Khamis, 24 Syawwal 1432/22 Sept 2011]

Memberilah untuk bahagia diri

Kebahagiaan itu dalam memberi, bukan dalam menerima. Setiap kali kita merasa dapat memberi, setiap kali itu juga martabat diri terasa diangkat. Setiap kali kita menerima, maka seketika itu juga kita merasa terhutang sesuatu yang menuntut kita untuk membalasnya dengan sesuatu yang serupa atau lebih bernilai yang entah bila kita dapat melaksanakannya.

Maka, wahai anak-anakku, untuk menggapai erti bahagia, berusahalah dan biasakanlah memberi agar jiwamu merasa lapang. Kelapangan itu adalah kurnia Ilahi yang membuat hatimu terasa mampu menampung walau sebesar dan seberat mana pun apa yang disebut manusia sebagai 'derita'. Namun untuk memberi , kita mesti ada sesuatu yang diberi. Apa yang dapat kita beri jika kita tiada memiliki apa-apa.

Mencari kebahagiaan dalam memberi menjadi sumber kekuatan diri yang tiada kenal batas selagi kodrat jasasi mampu kita bawa. Kekuatan diri yang terbina dari dorongan memberi juga menjadi sebab Allah mendatangkan kekuatan melebihi kodrat diri seumpama mana rezeki yang sedikit kita terima dilipatganda menjadi beribu kali kesan balasnya.

Jadi memberilah untuk kebahagiaan diri.