Wednesday, October 12, 2011

Pengalaman sakit agak serius dan iktibar dari bius di hospital.




 Sayangnya Allah kepada diri saya ! Selepas sekian lama menikmati limpahan kurniaan Allah, sihat dalam kebanyakan masanya, tiba-tiba Allah tarik balik buat sementara untuk menambah keinsafan bahawa saya mungkin sudah lali tentang keberadaan nikmat itu. Inilah kali pertama saya dimasukkan ke wad hospital sepanjang hayat. Sebelum ini pernahlah juga saya dibedah kecil di kawasan kuping telinga dan sekali lagi di mata kiri menggantikan kanta yang rosak disebabkan katarak. Semuanya hanya sebentar dan sakit yang diderita tidaklah padan untuk kita mengadu dan mengaduh dibandingkan nikmat berpuluh tahun disirami kesedapan dan kenyamanan hidup oleh yang Maha Pengasih. 
Pada hari Rabu, 7 Sept 2011, selepas menghantar anak saya Aisyah ke Airport untuk meneruskan belajar di Pondok Gontor, Indonesia, saya mula terasa sakit di "kawasan pembuangan" tubuh saya.  Sehingga hari Jumaat saya tak berapa menghiraukan kerana menganggap ia sementara sahaja. Kian hari nampaknya sakitnya tak berkurang dan saya dapati kawasan sakit itu semakin pejal dan panas. Tidur pun sudah mulai tidak dapat kerana sakitnya tak surut. Menjadi tabiat saya bila ada sakit, saya akan mula buat search di internet dengan harapan sakit yang diderita dapat diagak dan dibuat rawatan sendiri bila masih memungkinkan. Paling kurang pun kita sudah boleh memberi pandangan yang membantu doktor membuat diagnos yang lebih tepat dan rawatan yang benar-benar menyembuhkan, dengan izin Allah. 
Dari hasil pencarian maya yang dibuat, bila dibandingkan dengan symptom yang dirasai, kemungkinan terbesar sakita yang dialami adalah  perianal abscess. Pada hari Jumaat, 9 Sept 2011, saya sudah tidak dapat mengeluarkan buang air besar. Dari apa yang saya faham dari hasil bacaan, kemungkinan terbesar sebabnya adalah pembengkakan yang sudah menutup saluran pengeluaran najis. Dipaksa sekuat hati pun tak mampu menyingkir kotoran yang sudah berkumpul dalam tubuh. Sudah 2 hari Allah tarik nikmat mengeluarkan buangan dari tubuh dan sudah tentunya juga toksin dalam tubuh sedang terbina oleh buangan yang tidak dapat melalui salurannya. Info internet yang saya perolehi juga menyatakan bahawa satu-satunya jalan untuk menyelesaikannya ada pembedahan.[ Huh !]  Inilah cara rawatan yang selama ini,  selagi boleh,  tidak ingin saya melaluinya. Selain dari tidak tahan sakit semasa dibedah meski sudah dibius, saya juga penderita kencing manis peringkat awal yang mungkin menyebabkan proses penyembuhan makan masa, bahkan lebih risau lagi tak sembuh-sembuh. Untuk tindakan segera saya langsung minta diperiksa doktor di kampus untuk direkomenkan ke hospital pakar di Ipoh. 
Tanggungjawab sebagai Penolong Pendaftar Nikah juga menunggu. Satu pasangan minta dinikahkan pada malam 9 hb Sept dan 3 pasangan lagi pada 10 Sept. Jika tidak kerana rasa tanggungjawab, dek tidak tahan oleh kesakitan setiap kali duduk, saya sudah menghilangkan diri ke hospital. Kerana mengingat perkahwinan itu satu peristiwa besar dan sangat besar ertinya kepada pasangan yang memerlukan khidmat saya, maka saya tangguhkan pergi ke hospital walau harus menahan sakit. 


Malam itu, saya sempat menikahkan anak Pak Yazid dengan pasangannya di Bandar Universiti dalam keadaan menahan sakit ditahan dengan senyuman, yang tidak sampai hati nak tunjukkan di hadapan pengantin. Esok harinya saya minta 3 pasangan lagi datang pada waktu yang sama dan memberitahu mereka kerana saya perlu mendapat rawatan segera di hospital. Tapi mungkin kerana tak terbayangkan oleh mereka rawatan seperti apa yang saya perlukan, mereka datang ikut masa yang mereka atur sendiri secara berasingan. Selepas satu pasangan, satu lagi saya terpaksa ulang semua prosesnya  hinggalah selesai menjelang pukul 12.30 ptg. Isteri dan anak-anak sudah bersedia menunggu di luar masjid untuk membawa saya ke hospital seperti yang saya pesan.Dalam keadaan agak kurang berdaya, isteri saya menggagahkan diri membawa kereta kerana saya tak boleh duduk atas kerusi seperti biasa. Rasa bersalah yang amat sangat kepada isteri yang sudah berat dengan bebannya sendiri. Bagaimana hendak membalas kesetiaan isteri tersayang ?


Sebaik sahaja selesai, saya tidak membuang masa ke Perak Community Specialist Hospital seperti yang direkomenkan doktor. Sesampainya di Unit Kecemasan, dan semua prosedur pemeriksaan telah dibuat, saya dimasukkan ke wad yang membolehkan saya tinggal seorang sahaja di wad. Semasa doktor datang mendiagnos, saya beritahu saya sudah tidak makan sejak semalam dan berharap dapat dibedah segera. Doktor yang mulanya menyatakan akan membedah esok, alhamdulillah, memutuskan untuk menjalankan pembedahan segera selepas mendapat maklum bahawa pakar bius dan bilik bedah sedia untuk pembedahan saya. 


 Sepanjang dalam perjalan ke bilik bedah, ditolak di atas stretcher, inilah kali pertamanya saya merasa sangat tidak berdaya dan hanya berserah kepada Allah apa sahaja yang hendak diperlakukan kepada saya. Yang penting saya dapat segera melepaskan diri dari kerisauan oleh penyakit yang diderita. Kalau nak difikirkan tidaklah separah mana pun dibandingkan dengan orang lain. Hanya kerana ia saya anggap paling serius dalam hidup saya, maka terasa risau lebih sedikit kali ini. Perjalanan ke bilik bedah pula berbelit-belit. Sampai di sana, saya diberi suntikan dan tak lama selepas itu tak tahu apa-apa yang berlaku sehinggalah saya merasakan ada tepukan membangunkan saya memberitahu, "Encik ! Sudah selesai ya !" Dalam hati saya membisik, "Eh ! Macam tu aja ?" 
Rupanya saya telah dipengsankan. Mulanya saya ingat pembedahan dilakukan dengan pembiusan setempat sahaja. Elok jugalah saya tak rasa apa-apa yang dibuat ke atas diri saya. Sekarang tinggal menunggu kesembuhan. Ceria sungguh rasanya selepas pembedahan saya bertemu dengan isteri dan anak-anak yang menunggu di wad. Saya semacam satu suasana baru selepas penderitaan sebentar itu. Mungkin kerana masih terkesan bius, saya tidak merasa apa-apa kelainan selain dari terdapat bandage dan kapas menutup tebal di bahagian tubuh yang dibedah.
Sepanjang beberapa hari di wad, bermacam-macam jenis cairan yang dimasukkan ke dalam tubuh saya melalui saluran jarum yang didesain macam 'paip' di tangan saya membuat saya serasa masih tidak berdaya. Banyak hal yang membuat saya kena memanggil jururawat untuk membantu saya dan ini membuat saya sedikit risih. Saya tak biasa memerintah dan meminta apa-apa hal yang boleh membuat orang terasa berat dan susah meskipun memang mereka sudah dibayar untuk itu. Kalau bukan terpaksa saya pun tidak mahu menyusahkan sesiapa untuk hal peribadi seperti ini. Saya sudah sangat biasa melakukan kerja sendiri, memberi dan menawarkan khidmat kepada orang dan jarang sekali meminta dan menerima khidmat serta mengharapkan jasa orang. Selalu terngiang di telinga saya pesan guru saya, "Berjasalah dan jangan minta jasa !" Di hospital ini nampaknya saya kerana terima hakikat saya kena menyusahkan orang dan harap tidak menjadi manja. 

Untung juga sepanjang di hospital saya dibenarkan menggunakan laptop. Sempatlah juga menyelesaikan detail budget yang perlu mendapat kelulusan DVC dan dihantar ke Finance sebelum 12 Sept 2011. Setelah menyelesaikan semua butir budget ke dalam format excel di atas katil hospital dengan bantuan anak sulong saya, saya emailkan ke Ust Zuriat untuk membantu saya memasukkan ke input di PC pejabat saya keesokan harinya. Anak saya mendampingi saya selama 3 hari pertama. Dapatlah juga membantu apa yang patut. 

Saya puas hati boleh menyelesaikan tugas kritikal seperti ini dari katil hospital. Kerana tidak mengetahui apa yang harus saya lalui, mungkin ia tidaklah begitu bernilai kepada orang lain. Dalam keadaan seperti ini, tidak sedikit orang yang saya temui menjadikannya sebab untuk tidak menyelesaikan tanggungjawab atau dengan mudah menyerahkannya kepada orang lain. Mungkin dalam situasi lain ia boleh didelegasikan oleh orang lain bila memungkinkan kerana itu juga merupakan ciri pengurusan yang cekap. 

Dari katil hospital jugalah saya mengikuti perkembangan semua program dan projek dengan cara berkomunikasi dengan mahasiswa melalui egroup, email dan fb. Disebabkan masih mampu berinteraksi dari katil hospital, maka tak ramai yang menjangkakan saya benar-benar di hospital. Bahkan HRM yang biasanya memaklumkan staf ada di hospital pun tidak memaklumkannya seperti biasanya mereka lakukan. Ok, jugalah untuk membolehkan saya mendapat rawatan semaksimum mungkin terutama sekali masa ini saya risau luka bedah saya mungkin tidak sembuh oleh kencing manis. 

Ini moment yang bermakna buat saya sepanjang hayat. Saya semakin berumur dan sudah mula menginventorikan sekoleksi penyakit. Sudah lama saya sedari saya sudah tidak muda lagi untuk bersikap dan beraksi selayaknya ketika saya masih muda dahulu. Saya sudah mulai banyak mengalah kepada kelemahan fizikal walaupun semangat tinggi untuk berprestasi seperti ketika masih belia. Bila sudah mulai 'naik taraf' masuk hospital semakin ketara rasanya ketuaan saya. Bahkan beberapa orang sahabat yang sebaya pun sudah almarhumun. 


Bila mengingat tua pula, saya ingat emak yang sudah tua. Emak sempat cemas menelefon saya bertanyakan apa yang kena dengan saya bila mengetahuinya dari adik saya lewat FB. Bila sudah tahu, emak lega dan dengan suara keibuan yang selalu saya rindu emak berdoa untuk kesembuhan saya. Mendengar suara ibu pun saya sudah cukup tenang. 

Sambil itu teringat juga saya kata-kata Imam Ghazali bahawa yang paling dekat dengan kita adalah kematian dan paling jauh dari kita adalah masa lalu. Bagaimanakah kita boleh merasa nyaman dan aman hidup di dunia dengan memanja-manjakan diri seolah-olah kita begitu banyak masa mengumpulkan amal sebagai bekalan akhirat kita ? Setiap detik hidup kita bernilai untuk menambah amal dan menebus kesalahan lalu. 

Merenung pula kehidupan di sekeliling kita, saya teringat dengan bius yang diserapkan ke segenap saraf dan sendi tubuh saya sehingga kesakitan yang saya sepatutnya alami tidak terasa langsung sepanjang pembedahan. Ia juga mengingatkan saya kepada satu karya allahyarham Azizi Abdullah memaparkan kemiskinan yang diderita oleh rakyat kecil. Mereka sudah alah bisa tegal biasa. Sementara itu pula manusia lain jadi kebah oleh kebiasaan menikmati kenyamanan hidup sehingga tidak terasa dianiaya atau ditindas kerana dicelup dalam kemewahan. 
Dari sisi lain pula, bius kehidupan ini amat membahayakan. Iman kita seharusnya menjadi sensor kepada bahaya fahsya' dan munkar yang datang merayap tanpa menyergap. Selagi iman kita sensitif, setiap sentuhan kemunkaran akan menyedarkan kita dari lamunan. Kita akan bingkas mengelaknya atau membantainya sampai tak  tergeletak.  


Ada pula yang sudah lama diraba  terasa nyaman yang membelaikan. Bahkan sekali-sekala dicubit pun kita tahan, bahkan minta dicubit lagi kerana kenyamanan telah mengatasi kesakitan. Lama-lama kita disayat dalam kenyamanan, berbuat dosa pun kita tidak mengaduh. Tak perlu ubat bius untuk kita menghilangkan rasa sakitnya kerana saraf penyentak bahaya tidak lagi berhubung dengan bahagian otak kita yang menyedarkan rasa sakit. Sistem refleks kita yang berpusat di tulang belakang pun sudah kehilangan fungsi. Inilah biusan rasa tidak berdosa yang lebih berbahaya daripada ancaman segala macam penyakit fizikal. Bahayanya tidak terasa tapi ia bagai api dalam sekam, diam-diam sudah membakar semuanya dari dalam tanpa tanda kebakaran mencemaskan dari luar. 

Teknik membiusnya pun semakin canggih bersama dengan drastiknya kemajuan teknologi. Lokasi berlaku pembiusannya tidak perlu jauh-jauh ke luar rumah kerana kita sudah menjemputnya masuk ke rumah bahkan di bilik tidur kita sendiri. Bahan-bahan bius tidak perlu melalui saraf tubuh jasadi kita lagi kerana ia cukup disuntik melalui aplikasi internet, kandungan artikel, diskusi, blogging, hiburan, game, jaringan sosial. Pendek kata tidak ada ruang yang tidak diserap oleh bius kehidupan ini sehingga usaha mengajak orang beriman sudah dianggap sebagai kontaminasi kepada kehidupan yang menganut kebebasan ini. Menjadi alim itu satu pencemaran kepada mereka bahkan boleh dikategorikan sebagai mendatangkan keresahan ke dalam ruang publik. Orang tidak lagi ditangkap kerana salah laku moral kerana nilai moral sudah berganjak. Sebaliknya pejuang hakiki menegakkan akhlak mulia sudah menjadi satu jenayah kemanusiaan. Begitu kuatnya bius dalam kehidupan ini sehingga kita khayal dalam kebanyakan masa lebih banyak dari masa kita siuman. 
Maka banyak-banyaklah merawat iman kita agar ia tidak ikut terbius dan sistem penggera keselamatannya tetap berfungsi ketika bahaya mendekat. 


Aku rindu pada ibu di kejauhan

Anak-anakku ... berhati-hatilah, nak!




Anak-anakku sayang !


Berhati-hatilah meniti liku hidup ini. Ranjaunya banyak walau tiada kelihatan di permukaan. Yang tampak di mata pun tidak kurang hanya berupa ilusi yang menipu diri. Mata kita, telinga kita alat pengesan yang mudah dibiaskan dari kenyataan. Oleh itu, mata hati kita perlu diasah dengan sabar dan kesungguhan agar ketajamannya dapat menembus apa yang tak terkesan oleh mata hakiki. 

Hidup memang penuh bahaya dan ancaman. Tapi kita tiada pilihan selain harus mengharunginya. Menghindari bahayanya tidak akan melepaskan kita dari bahaya yang lain. Jadi yang kita perlu adalah kekuatan yang boleh melindungi kita dari serangan. Kita perlukan kepandaian dan kecekapan. Kita perlukan ketajaman naluri dan kata hati. 

Ilmu adalah penyuluh hidup yang menerangi jalan agar yang gelap di akal menjadi terang, yang kosong di hati menjadi berisi. Ilmu tidak dicapai dengan gaya santai dan tertawa berderai tiada kawalan. Kunci ilmu tidak dibuka oleh khadam dan hamba, tapi diperolehi dengan pengorbanan masa, tenaga, perasaan dan fikiran. Ilmu juga menuntut adab murid kepada guru untuk mendapat keberkatan. Ilmu juga menuntut amal agar keberadaannya yang tersembunyi di dada mengalir ke daratan menjadi sumbangan dan teladan. 


Ilmu tiada menambah bekalan jika kerananya dengan Tuhan kita jadi berjauhan. Ilmu menjadi sumber kita mengenal Keagungan Ilahi sehingga menerbitkan ketaqwaan. Ilmu menjadi sumber di dunia mendepani cabaran dan menambah bekalan untuk kehidupan selepas akhir zaman. 





Monday, October 10, 2011

Menjelang fasa ketiga dalam pendakian rohani .. pra-Gontor.

Pengembaraan pertamaku mencari erti agama berlangsung dari sejak kecil sehinggalah aku rasmi belajar di sekolah agama. Fasa kedua perubahan kefahaman dan sikap terhadap agama berlaku dalam hidupku sejak dari bersekolah agama sehinggalah aku memilih untuk merantau jauh ke Pulau Jawa untuk melanjutkan dan mempertingkatkan komitmen terhadap agama. Bagaimanakah ia boleh berlaku ?

Terhadap pendidikan agama, sukar aku hendak mengatakan ia disebabkan minat yang teramat sangat sehingga aku sanggup mengorbankan kecenderungan dan cita-cita lain untuk memperolehinya. Ramai orang fikir kita hanya akan berjaya bila melakukan sesuatu kerana minat. Padaku ia lebih berupa keperluan yang aku tak boleh tidak meraihnya jika peluangnya ada. Harapanku untuk mengecapi pendidikan agama secara formal yang kuanggap punah rupanya sudah dibuka pintunya oleh Allah swt. Tentang nasib untung kehidupan duniaku, biarlah difikirkan kemudian. Inilah gejolak, keresahan dan sekaligus adalah dilema yang berlaku dalam diri di peringkat akhir fasa kedua pengembaraan keagamaanku. 

Sejak di SMB Sacred Heart, minatku terhadap sains dan matematik amat tinggi. Begitu juga dengan pelajaran bahasa Inggeris yang paling ketara peningkatannya di bawah bimbingan Mr Lim Swee Liong, seorang guru yang mesra-mesra garang dan tegas. Pelajaran yang paling boring dalam pandanganku ketika itu adalah Sejarah. Masa tu kami batch yang terakhir belajar World History  sebelum Sejarah Malaysia diperkenalkan kepada batch selepas kami. Mungkin kerana cara cikgu yang mengajarnya dari Tkt 1 hingga Tkt 3 hanya satu-satunya dengan menyalin nota dan menyalin nota pada setiap sessi. Cikgu hampir tak pernah bercakap tentang sikap terhadap sejarah. Tapi bila bercakap tentang sains, ia mencabar minda logikku. Sebagai tambahan kepada minatku, aku menambah bacaan ke luar ruang lingkup silabus sekolah dengan mengumpulkan bahan-bahan berkaitan dengan angkasa lepas. Setiap berita berkaitan dengan UFO, penerokaan angkasa oleh NASA, penemuan aneh tentang dunia luar bumi sangat menarik minatku. Aku sudah memancangkan cita-cita hendak menjadi ahli astronomi walaupun tak pasti di mana hendak menyambung pelajaran jika sudah sampai masanya. 

Sepanjang duduk di Tingkatan 4, aku dapati aku ada kecenderungan tersendiri terhadap bahasa. Agaknya bakat dalam linguistik ada. Bahasa Inggeris yang kugunakan dalam kelas composition sering cenderung lebih advanced dari bahasa yang searas dengan tingkatan yang kududuki hasil pembacaan tambahan yang kulakukan di perpustakaan kecil Daerah Binatang. Perpustakaan menjadi pusat tumpuan bila tidak bersekolah. Kebanyakan pelajaran pun kupelajari mendahului sukatan yang sedang diajar di sekolah. Hanya beberapa subjek yang aku rasa susah nak excel seperti Biology dan Chemistry. Miss Pauline Wong, guru kami di Tingkatan 4 adalah guru yang inspiratif. Sepanjang mengajar beliau sering menyelitkan pengalaman di tempat pengajiannya di New Zealand bahkan mengaplikasikan beberapa teori di universiti untuk menyelesaikan soalan-soalan dalam mata pelajaran Add Math. Beliau juga sering menjadikan composition yang kubuat sebagai contoh penggunaan bahasa yang baik. Setiap kali hasil tulisanku mendapat perhatian aku mendengar komen sinis seorang pelajar Cina, Tiong Ja Fuh (sorry to mention your name) , yang merupakan pelajar terbaik L.C.E. Kami hanya dipisahkan dengan 2 agregat. Aku tidak merasa risih dengan cemohannya terhadapku kerana ejekannya yang banyak menyentuh tentang ke-Melayuanku yang dianggapnya inferior tidak berkait rapat dengan prestasi sebenarku. Ia menjadi pemacu untuk aku buktikan nanti dalam MCE dia tidak lagi boleh menyombong diri sebagai best student seperti di LCE yang lepas. 

Pengalaman luaran tadi telah mencipta satu rasa terpanggil untuk berbuat sesuatu yang lebih baik untuk agama yang kuyakini dan selama ini tidak kusumbangkan sebanyak mana untuk memartabatkannya. Meskipun tidak seberapa ilmuku, tapi rakan-rakan sering menjadikan aku sebagai rujukan. Aku selalu ingin menjadi inspirator untuk mereka ikut meskipun ketika itu tidak lagi kukenali hadith yang menawarkan pahala yang serupa dengan pengamalnya jika aku mengajak orang berbuat baik. Ia macam timbul dari naluri ingin menjadi baik dan membawa orang jadi baik. Pernah semasa di tingkatan 4, seorang pelajar perempuan Cina yang hendak berdebat dalam tajuk "Capital Punishment" mengajakku berdiskusi untuk mendapatkan input pandangan Islam tentang hukuman mati. Ketika itu, tiada dalil naqli yang mencukupi hasil pendidikan asas agama yang kupelajari di Sibu. Jawapanku pun banyak bersandarkan dalil aqli. Tapi nampaknya sahabat sekelasku yang menerima input itu nampaknya cukup puas dengan point yang nak dijadikannya bekalan berdebat dengan lawannya. Sayangnya pasukannya kalah semasa pertandingan.

Aku semakin merasa terpanggil untuk menjadi seorang pembela agama tapi aku tidak ada tempat untuk  mempertingkatkan kefahamanku. Pernah suatu ketika aku menyuarakan dengan Mat Ali, sepupuku yang sama tingkatan di SM Kai Chung dan kami setuju kalau boleh ke sekolah agama di Kuching kami akan pergi bersama. Tapi nampaknya sistem sekolah kita tidak mengizinkan kami yang dari sekolah biasa ke Tingkatan 4 sekolah agama. Punah harapan rasanya. 

Di Binatang jarang sekali juga kita mendapat peluang mendengar ceramah agama. Berbeza dengan ketika di Sibu, banyak kali mendengar kuliah dari Ust Materang Isa, Ust Matrang Seruji dan lain-lain. Sekali sekala ada juga ustaz dari Semenanjung atau Indonesia. Kali pertama aku mendengar ceramah umum adalah ketika kami dijemput ke SMK Rosli Dhoby untuk mendengar ceramah Ust Sidiq Fadhil. Aku pun tak kenal dia siapa. Dengan bahasanya yang kuanggap agak sastera,  sukar sedikit mencernanya. Tapi tetapku anggap dia seorang pemidato yang hebat dan inspiratif. Kalau aku tak faham bukan salah dia, tapi aku yang kekurangan ilmu.  Jadi jarang sekali sebenarnya kutemui ustaz asal Sarawak yang boleh berceramah seperti mereka. 

Sepanjang di Masjid Sibu juga aku sering diberi kepercayaan azan di Masjid Sibu walaupun baru berumur 14 tahun. Encik Sirat yang menjadi bilal ketika itu tidak menghalang kami yang masih budak-budak azan. Ia menambah minat dan rasa tanggungjawab kepada agama. 

Di Binatang seingatku hanya pernah sekali mendengar ceramah dari Ust Ahmad Muhammad yang dibawa dari Semenanjung. Rupanya dia orang Aceh. Selang beberapa minggu kemudian, Ust Ahmad balik lagi ke Bintangor lagi. Rupanya di terpikat dengan Ustazah Hasnah yang ditemuinya ketika menginap di rumah Pemanca Haji Amir. Dia balik untuk akad nikah. Mudahnya ! Hari berikutnya Ust Ahmad tak sempat berangkat balik dan solat Jumaat di masjid Bintangor. Khatib yang ketika itu melihat beliau datang tepat sebelum khutbah memberi peluang kepada beliau. Ust Ahmad langsung menyambut tongkat khatib dan naik ke mimbar tanpa membuat apa-apa persiapan. Khutbah yang disampaikan tanpa persiapan itu begitu mulus dan mengesankan. Aku tak pernah menyaksikan khatib seperti beliau. Beliau menjadi satu lagi inspirasiku nak menjadi seorang ulama !

Sejak itu, selagi ada hal-hal yang berkaitan dengan agama, aku selalu ingin di hadapan. Seorang lagi tokoh pendorong yang kutemui semasa di sekolah Kai Chung adalah Cikgu Suhaimi. Berjanggut panjang, ketayap sentiasa di kepala dan berbaju gamis menjangkau sedikit di tengah paha. Beliau tidak mengajar kami tapi kerana perawakannya yang alim membuat aku sekali-sekala suka bersembang dengannya. Suatu hari, dalam perjalanan balik dari Sibu, kami naik bot ekspres, beliau mengajakku solat berjamaah di atas bot ekspres yang sedang bergerak. Masya Allah ! Inilah contoh seorang hamba yang solat di awal waktu dan di mana-mana tempat yang memungkinkan dan selama ini hukumnya hanya aku jumpai dalam buku, tapi tidak dalam praktikal. 

Pengalaman kalah ketika mewakili Bahagian Keenam dalam Musabaqah Peringkat Zon sekali lagi kepada qari yang mengalahkan aku di Sibu, Wan Alim,  membuatku terasa bahawa aku harus lebih jauh mencari ilmunya . Al-Quran menjadi daya tarik tersendiri buatku. Tapi kerana tidak berapa tahu apa kekuranganku yang sebenarnya dalam mempelajari al-Quran membuatku lebih penasaran mencari kekurangan daripada melihat kelebihan. Ia dorongan yang kuat untuk merantau lebih jauh. 

Suatu hari aku terima telefon dari ayah di Kapit bertanya sama ada aku berminat hendak belajar agama di Indonesia. Ayahku benar-benar telah berubah pandangan terhadap kecenderungan belajar agama. Ayah dapat tahu dari Ustaz Zawawi, pegawai agama di Kapit yang sedang mencari calon untuk dihantar belajar ke Indonesia dengan biasiswa dari BINA. BINA ? Itu pertubuhan yang kukenali dari aktiviti silat di Binatang. Aku setuju dan hari interviu telah ditetapkan dan bertempat di Sibu. 

Ayah menemaniku semasa interviu di Majlis Islam Sibu. Kehadiran ayah bersamaku yang jarang berkesempatan dengannya menambah semangatku untuk berjaya mendapat peluang ini. Ayahku mungkin seorang yang tidak berpendidikan agama. Tapi aku dapati dia banyak menyimpan buku-buku agama yang menjadi bacaan tambahanku di rumah bila sudah baligh. Salah satu buku yang memberi kesedaran tentang kewajiban masyarakat dalam diriku dalam koleksi buku ayah adalah buku biografi Rosli Dhoby tulisan Syed Hussein al-Attas berjudul "Kenapa Rosli Dhoby dan 3 Hero Sarawak dihukum ?". Sejauh yang kuingat semasa kami di Sibu, Nek Poi sering ke rumah seberang kami, rupanya anak saudara allahyarham Rosli Dhoby dan kata nenek lagi Nek Yak, kakak allahyarham yang ditemuinya itu masih ada hubungan sepupu dengannya.



Fail:05 kenapa rosli dhobi dan 3 hero sarawak dihukum.jpg


Semasa interviu aku masih ingat ayahanda Ust Hasanuddin Abu Bakar, daie BINA berasal dari Indonesia bertanya soalan-soalan yang lebih banyak bertumpu kepada atitud. Kufikir asas agama dan pembacaan al-Quranku mencukupi. Soalan-soalan berkenaan dengan pandangan hidup rasanya juga telah kujawab dengan meyakinkan. Satu soalan yang aku tak pernah lupa sampai hari ini adalah, "Adakah nanti setelah tamat kamu akan balik ke Sarawak ?" Saya jawab dengan tegas, "Ya !" Beliau sambung lagi, "Kalau kamu kahwin dengan orang Indonesia ? " , kujawab , "Saya tetap akan balik ke Sarawak. " 

Setelah membaca kandungan iklan itu tempat yang kupilih adalah Pondok Modern Gontor berdasarkan subjek yang disenaraikan seperti Bahasa Arab, Tauhid, Fiqah, Psikologi, Keguruan dan ko-kurikulumnya seperti pidato dan lainnya. Pilihan satu lagi Pondok Pesantren Darul Fallah, Bogor kurang menarik minatku walaupun jangka masa pengajiannya nampak lebih singkat. 

Tidak lama kemudian aku mendapat surat tawaran belajar di Gontor. Selain dari melihat nama institusi itu aku sebenarnya tidak tahu apa-apa tentang kelebihan Gontor itu. Pada asalnya aku memilih Gontor bukan kerana ia sudah dikenali hebat, tapi kerana aku sedang mencari tempat yang boleh menerimaku belajar lebih dalam tentang agama. Allah juga mentaqdir pilihanku jatuh kepada Gontor. Sementara pilihanku untuk berhijrah cita-cita kepada bidang agama pula lebih didorong oleh rasa terpanggil untuk menjadi seorang lagi  anak Sarawak yang boleh menyumbang kepada kekuatan agama Islam di negeri Sarawak. Kurangnya penceramah asal Sarawak yang kutemui juga mendorongku. Kurangnya tokoh agama yang berlatarbelakangkan pelajar aliran Sains adalah sisi lain yang mencabarku. Sikap ayah yang sudah berubah terhadap pendidikan agama seperti melancarkan perjalananku. 

Akhirnya hari keberangkatan sudah ditentukan. Kami dikumpulkan di Kuching sebaik sahaja selesai Hari Raya Idul Fitri pada tahun 1980. Kemudian baru kutahu kami kena mengejar tarikh tutup pendaftaran Ujian Masuk Gontor pada 10 Syawal setiap tahun. Kami para pelajar yang terpilih akan dikumpulkan di Kuching. Itulah juga kali pertama ayahku membeli kereta baru, sebuah kereta Subaru yang sering kami tonton iklannya di TV "Subaru baru !". Hari pertama kereta itu dibeli ia sudah dipaksa berjalan jauh merempuh jarak hampir 400 km dari Bintangor ke Kuching melalui jalan darat setengahnya ada tar dan setengah pula jalan batu dan tanah berdebu. Sayang juga melihat kereta baru yang sudah kena menjalankan tugas lasak. 


Di Kuching baru kuketahui, hanya dua orang kami yang terpilih ke Gontor. Seorang lagi adalah sahabat baruku, Kassim Zainuddin dari Miri. Tiga orang yang terpilih ke Bogor adalah Idris Ahmad dan Syed Ahmad dari Lawas serta Yakub Abdullah dari Sibu dan Sulaiman Abdullah. Dua orang lagi adalah anak Tuan Haji Mokhtar Khan, imam Masjid Miri iaitu Iskandar dan Razali. Mereka dibiayai sendiri oleh beliau. 

Malam sebelum berangkat, kami dibawa bertemu dengan Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Dato' Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub yang juga Yang DiPertua BINA. Inilah kali pertama aku bertemu secara langsung dan diajak bersembang oleh Ketua Menteri. Pertemuan itu membuatku merasa bahawa pemilihan kami bukanlah satu misi biasa-biasa sahaja tapi satu harapan tinggi untuk masyarakat Sarawak. 

Penerbangan kami esoknya diiringi oleh Ust Narawi Abdul Rahman  melalui Johor Bahru dan Singapura. Meskipun sedih meninggalkan keluarga yang kusayangi, aku sangat teruja. Kami hanya dibenarkan balik 2 tahun kemudian. Ini kali kedua aku naik kapalterbang. Kali pertama adalah ketika mewakili Bahagian Keenam untuk Musabaqah peringkat negeri di Kuching. Hanya naik Fokker 27. Kali ini naik Boeing 737 Johor Bahru dan seterusnya  ke sebuah negara yang selama ini hanya kubaca melalui atlas, Singapura. 




Sesampainya kami di JB, kami naik coach menuju ke Singapura. Singapura kelihatan sangat moden bagiku. Seringkali kudengar orang Sarawak memuji Singapura dari aspek kebersihan; tandasnya dikatakan harum bahkan boleh tidur. Ustaz Nahrawi membawa kami pergi ke kawasan Masjid Sultan. Beliau nampak biasa sahaja berjalan di situ kerana pernah belajar di Al-Juneid. Sempatlah kami setengah hari berjalan-jalan di Singapura. Rupanya Ust Nahrawi hanya bersama kami sampai di Singapura sahaja. Petangnya kami berangkat dari Singapura ke Jakarta dengan Haji Mokhtar sahaja. 


Pendaratan di Bandara Halim Perdana Kusuma baru membuat kami benar-benar terasa di negara orang ! Kalau di Singapura, suasananya sangat serupa dengan Malaysia, di Indonesia pula komposisi manusia yang kutemui lebih banyak yang serupa; kulit Melayu dan jarang pula terselit antara mereka bangsa lain. Bahasa Indonesia yang sering kudengar dari filem-filem selama ini sekarang di depan mata. Aku bukan lagi mendengar Rano Karno, Yessy Gusman, Sopan Sophian, Roy Marten, Emilia Contessa atau artis lainnya. Aku sudah di Jakarta, bung ! Suasana di luar bandara ( aiport ) lebih bising dari yang biasa kudengar. Selain dari teriakan para calo yang mencari pelanggan, kendaraannya yang banyak terdiri dari kendaraan awam enjinnya lebih bising, dan hon dibunyikan merata-rata. 


Di bumi asing ini, kami anak-anak muda yang baru sampai di bumi asing ini tiba-tiba harus merasa berhati-hati. Beg-beg kami dikumpulkan dan kami mengelilinginya untuk mengelakkan kemungkinan ia disambar orang. Tuan Hj Mokhtar sibuk menelefon ayahanda Ust Hasanuddin dan kami diarahkan naik van ke rumahnya di Tanah Abang. Keberangkatan kami pula ditemani seorang anggota polis. Dahsyatnya ! Aku pun tak faham macamana boleh seorang polis bersedia memberi khidmat menjaga keselamatan kami. 


Sewaktu sampai di Jakarta, hari pun sudah malam. Kami melewati jalan-jalan yang kuperhatikan tak ada sunyi-sunyinya. Jakarta nampak sangat sebagai sebuah kota padat manusia. Sesampainya di rumah Pak Hasan, kuperhatikan juga ruangnya sempit, berhimpit dengan rumah-rumah jiran. Memang padat Jakarta pada pandanganku ketika itu. Pak Hasan kata penduduknya 10 juta ! Hampir separuh penduduk Malaysia yang baru mencapai 21 juta ketika itu. 


Kami anak-anak pula ditempatkan tidur di tingkat paling atas Masjid al-Munawwarah, Kg Bali 1, Tanah Abang. Beralaskan tilam sponge setebal 2 inci dan selimut nipis, kami pun melayari malam pertama di luar negeri dalam suasana yang tak terfikirkan oleh kami. Orang yang ke luar negara biasanya bercerita tentang kemewahan yang mereka kecapi semasa di rantau orang. Sementara kami pula sedang nak tidur di bilik tak terpakai di masjid, bertilam nipis dan tiada apa-apa yang layak dikatakan mewah  di sekeliling kami. Sempat juga sebelum tidur, Kassim bertanya, "Eh. Mun tempat tidur kita di pondok kelak macam tu juak, teruklah oo ? ( Eh ! Kalau tempat tidur kita di pondok macam ni, teruklah ya ?" Yang lain pun nampak macam setuju. 





Pagi pertama kami bersarapan di rumah Pak Hasan, terdengar dentuman macam meriam dari kejauhan. Pak Hasan kata itu bunyi meriam dari istana Presiden. Rupanya hari itu adalah Hari Kemerdekaan Indonesia , 17 Agustus 1980. Kerana Hari Kemerdekaan merupakan hari yang paling dibesarkan oleh rakyat Indonesia, tarikh itu tak pernah kulupakan walaupun ia sudah 31 tahun berlalu. Tanpa menyiakan masa transit di Jakarta, kami keesokan harinya dibawa bersiar-siar sekitar Jakarta. Destinasi pertama kami adalah Masjid Istiqlal yang besarnya amat mengagumkanku. Kata mereka ini masjid yang terbesar di Asia Tenggara. Seberangnya tegak gagah Tugu Monumen Nasional ( Monas ) berbentuk obor dan bara apinya dicat dengan cat emas tulen.




Tempat kedua yang kuingat adalah Masjid al-Azhar yang juga dikenali ramai sebagai masjid tempat berpangkalannya Prof Dr Hamka. Sulaiman terbelit lidah membaca alamatnya Sisingamangaraja. Siangnya kami berpisah. Yang ke Bogor dan ke Gontor akan memulakan perjuangan masing-masing. Kami yang ke Gontor dihantar ke Terminal Bis Pulo Gadung. Perjalanan kami ke Madiun mengambil masa satu malam. Kami menaiki van ( colt ) ke Gontor disambut oleh Panitia Bulan Syawal. Orang yang menyambut kami adalah Umar Syarifuddin, anak Kiyai Fathullah Harun, santri Kelas Enam . Kebetulan banget ! Allah yang merancang semuanya. 


Perancangan Allah untukku di Gontor kini bermula !

Saturday, October 8, 2011

Kemuliaan diri hasil dicari, bukan diminta atau diberi.

Kemuliaan diri adalah satu pencapaian yang perlu diusahakan dengan niat tulus dan berterusan. Ia bukan hak yang boleh dituntut tanpa usaha kerana tidak ada siapa yang memberikannya secara percuma dan rela  hati. Seseorang tidak  menjadi mulia dengan begitu sahaja meskipun lahir dari ibu bapa yang dimuliakan. Ia mungkin pada awalnya dimuliakan orang kerana rasa hormat terhadap ibu ayahnya tapi kemuliaan yang menumpang itu akan pudar bila seseorang tidak membina aset kemuliaan tersendiri untuk dirinya sendiri.

Kemuliaan  diri tidak dibina dalam sekelip mata terutama sekali di mata orang yang masih asing pada diri kita. Ia dibina dengan memulakan hubungan dan merajutnya dengan menjaga tutur kata dan perbuatan. Tutur kata dan perbuatan sehalus sutera pun tidak mmberi makna jika tidak dilandasi ketulusan hati. Oleh kerana prosesnya lama dan menuntut pengorbanan, ramai yang terkandas di tengah jalan kerana tiada kesabaran. Bila terasa tidak dihormati habis merata alam dipersalahkan.

Ada yang menyangka kemuliaan diri tak akan dirasa bila sejak mula memang sudah tidak dimuliakan orang. Ia bermula dari diri-diri yang tidak mulia yang berhasrat mencapai kemuliaan dengan memuliakan manusia lain. Hanya orang yang memuliakan orang lain yang akan dimuliakan orang. Menghargai orang lain adalah kunci untuk mencapai kemuliaan diri.

Kemuliaan tidak dicapai dengan sikap tidak memperdulikan perasaan orang lain, apatah lagi hanya tahu perasaan diri yang selalu merasa dilukai dan selalu merasa ia perlu dibalas dengan melukai. Tidak ada orang mahu peduli dengan perasaan kita jika kita tidak mempedulikan perasaan orang lain. Apatah lagi rasa tidak dihargai dibalas dengan reaksi yang disengajakan untuk menyakiti. Kononnya untuk memberi pengajaran kepada orang yang tidak menghargai kita, tapi hakikatnya harga diri kita sendiri yang parah tercalar. Pulihnya dari luka bukan sebentar bahkan mungkin tidak pulih walau sedasawarsa. 

Berbuat baiklah kepada orang lain kerana ia adalah perintah Allah. Jika kita berbuat baik hanya untuk menjaga perasaan orang lain pula, ia tidak bernilai jika penghargaan yang diperolehi tidak memperdulikan redha Allah. Seorang mungkin popular kerana disukai ramai, tapi bukan mulia. Rama manusia suka  kepada kita tidak menjadi ketentuan Allah juga redha kepada kita. Diredhai Allah pula tidak semestinya akan disukai manusia kerana manusia lebih cenderung menilai dengan nafsu melebihi penilaiannya dengan iman. 

Dengan mencari redha Allah, kita telah membebaskan diri dari berbuat baik semata-mata mengambil hati manusia. Jadi kita tak perlu menjadi orang lain, tapi tak semestinya berbeza dari orang lain. Kita memilih untuk melakukan sesuatu kerana pilihan kita sendiri, bukan kerana seorang nak kita melakukannya. Jadi benarlah untuk mulia, jangan hidup dalam kehendak orang lain. Tapi jangan pula terlalu mengagungkan prinsip diri kononnya untuk memperolehi kemuliaan acuan diri tanpa mempedulikan keredhaan Allah. Itulah erti ketulusan dan penerimaan diri sebagai hamba yang mesti tunduk kepada ketetapan Tuhannya.

Bila orang tidak memuliakan kita pula jangan sering menyangka orang salah sangka tentang diri kita. Kita memang tidak boleh memaksa pandangan orang kepada kita kerana orang lain hanya boleh menilai kita dari yang zahir dari kita. Hanya Allah yang boleh mengetahui apa yang tersirat di hati kita.

Tidak mengapa kalau orang salah sangka dalam hal yang kita tak mampu nak tampilkan dengan baik asalkan kita bukan saja-saja nak nampak tak baik dengan alasan, "Don't judge a book by its cover." Kebanyakan manusia tak sempat pun mendalami siapa diri kita lebih-lebih lagi kita tak banyak berinteraksi dengan mereka. Oleh itu, setiap detik yang ada manfaatkan untuk membina kemuliaan diri yang tulus tanpa kepura-puraan.

Mencari kemuliaan diri adalah satu kemestian, bukan pilihan kerana memilih hidup tanpa kemuliaan sama halnya dengan mencampakkan diri dalam kehinaan. Manusia mulia bukan hanya bersinar pada personaliti dirinya, tapi menyinari kehadiran manusia lain yang ada di sekitarnya. 

Episod kedua penerokaan empirikal agama dalam hidupku

[Diedit dengan penambahan maklumat dari rakan yang membaca pada 10 Oktober 2011 ]
Gambar dipinjam dari mysarikei.blogspot.com

Bersama derai ombak bot ekspres yang membawa kami adik sekeluarga mengikut ayah yang ditransfer ke Sibu pada tahun 1976, ia telah memberi makna baru perjalananku mengenali agama dari perspektif yang berbeza dan dalam skala yang lebih luas. Aku ditakdirkan oleh Allah ditempatkan di sekolah mission, SRB Sacred Heart English Primary School, Sibu sementara  adik-adikku pula di sekolah SRK S.U.D.C No. 3. Seperti peristiwa lain dalam awal hidupku, aku pun tahu kenapa aku sering di tempatkan di tempat yang lain dari dua orang adik di bawahku. Baru sekarang terfikir bahawa kehendak Allah ke atasku rupanya banyak mendekatkanku kepada keyakinan yang lebih mendalam terhadap akidahku yang tidak terbina secara formal.

Di SRB Sacred Heart, aku mendapat pendedahan secara langsung dengan ajaran Katolik. Meskipun tidak pernah ada pendidikan agama formal atau informal sebelum ini, seperti ada satu naluri membuatkan diriku tidak selesa dengan lingkungan Nasrani di tempat baruku. Paling dekat aku dengan hal-hal yang berbau Nasrani adalah keberadaan gereja di seberang Sekolah Town di Binatang. Kali ini aku sendiri berada di dalam kandangnya. Hanya ada suatu ketika sahaja ada matapelajaran yang diselitkan ada kaitan dengan agama semasa di Sekolah Town dan seingatku ia hanyalah pelajaran Jawi yang diajar oleh Cikgu Shukur. Itupun tersangat sebentar. Tak pasti pula macamana selepas itu tak ada lagi pelajaran Jawi. Jadi bila berdepan dengan suasana yang serba Nasrani ini, ia membuat 'defence mechanism' berdepan dengan dakyah dengan agama lain ini menjadi aktif. Hari pertama aku bersekolah, mula-mula sekali dikejutkan dengan adanya  pelajaran Bible Studies dalam jadual. Aku ingat aku kena belajar dan lulus ujiannya sekali. Selepas ayahku bertanya dia dimaklumkan aku tak perlu mengambil subjek itu.  Sepanjang bersekolah di situ, tidak ada seorang pun guru Islam yang mengajarku semasa di Darjah Enam. Guru yang mengajar Bahasa Kebangsaan adalah Mr. Ting yang kuingat tidak pun boleh menyebut dengan tepat istilah Melayu. Bahasa Melayu diajar dengan perantaraan bahasa Inggeris. Bila sampai di penghujung pelajaran kefahaman, aku selalu menjadi rujukan untuk menentukan betul-salahnya jawaban yang diberi oleh pelajar lain. Mungkin kerana aku satu-satunya murid Melayu. Masa tu rasa superior sungguh kerana menjadi penentu jawaban murid lain.  Tidak hairan kalau BM adalah matapelajaran yang aku boleh skor 100% untuk 3 penggal berturut-turut. 

Kejutan berikutnya yang membuat naluri muslimku gelisah adalah pandangan depan di semua kelas terpajang salib dengan patung Jesus yang dipaku tepat di tengah-tengah atas papan hitam. Setiap pagi kelas akan dimulakan dengan bacaan doa  "In the name of the Father, and of the Son, and of the Holy Spirit ... Amen ! Poor Mary Mother ... bla bla bla " sambil tangan mereka menggerakkan hujung jari telunjuk yang dirapatkan dengan ibu jari dari titik dahi, ke tengah bawah dada lalu di akhir dengan menyilang dari dada kanan ke dada kiri. Aku masih ingat persis  kerana ia adalah rutin harian sepanjang aku bersekolah di situ. Pelajaran Bible pula , meskipun aku tidak wajib menduduki ujiannya, sentiasaku dengar kerana semasa kelas Bible berlangsung aku tetap kena duduk dalam kelas. Di situlah pendedahan tentang agama Nasrani secara langsung kuperolehi. Matapelajaran agama Islam ? Memang tidak ada. Yang seringku ingat dari guru yang mengajar mereka banyak menekankan konsep Jesus dengan 'love'.

Seperti yang diceritakan dalam episod yang lalu, aku mula mengaji semula di rumah Guru Haji Kaderi sejak kami berpindah ke kuarters baru di Rubber Road ( baru ingat ! ). Minatku bertambah kepada mengaji al-Quran kerana ada pengetahuan baru yang dahulu kusangka  mengaji Quran sudah selesai dengan khatam. Selain itu konsep 'ngulang aji' ( mengulang mengaji ) yang juga diamalkan oleh generasi dahulu menjadi sebab aku mahu mengikutinya. Kalau nak difikirkan insentif, tidak ada sebab aku perlu mengulangnya. Nak harapkan hadiah ? Ayahku tak pernah memberi hadiah sepanjang kami bersekolah mungkin kerana kesempitan. Hadiah pertama yang kuterima dari ayah adalah sebuah jam Seiko yang kurasakan sangat mahal ketika itu selepas aku mendapat keputusan Primary 5 Assessment Test. Keputusanku taklah begitu hebat ; hanya 2 B, 2C tapi cukup untuk mendudukkan aku di tempat kedua di belakang Dayang Saffiah. Aku tak ingat berapa Saffiah dapat tapi dia terpilih oleh Yayasan Sarawak untuk bersekolah di Semenanjung. Mungkin juga keputusan itu melayakkan aku masuk ke Sekolah Sacred Heart yang ditarafkan antara sekolah terbaik di Sarawak ketika itu. Baru sekarang aku juga terfikir bukan senang nak dapat A ketika itu berbanding berpuluh ribu calon peperiksaan yang boleh dapat straight As pada hari ini. 

Melencong pula cerita ni. Balik ke cabaran bersekolah mission, aku semakin terasa pekatnya suasana Katolik di Sekolah Sacred bila seringkali dari kejauhan aku saksikan  ada paderi-paderi sedang berucap di SMB Sacred Heart yang berada dalam laman yang sama tapi di bangunan seberang sekolah kami. Bila aku menyambung di SMB pada tahun 1977, aku berhadapan langsung dalam setiap assembly dengan Brother Albinus, Pengetua sekolah berasal dari Ireland. Di samping beliau terdapat paderi lain seperti Brother Henry, Brother Hyacinth dan Brother Hillary. Sampai Tingkatan 2 pun aku masih tak tahu solat. Bahkan aku tak tahu solat itu wajib walaupun ketika itu sudah baligh. Semasa di Tingkatan 2 itulah aku sekali sekala mengikut guru mengajiku, Tuan Hj Kaderi, berjalan kaki solat di Masjid Sibu dengan anaknya Karim. 

Di sekolah menengah ini pula kami murid-murid Islam dikumpulkan dalam satu kelas dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6. Memang tak ramai dan muat-muat satu kelas yang biasanya di makmal. Pelajar-pelajar Katolik pula belajar Bible dan selain Katolik belajar Moral. Sebenarnya tidak ada guru yang mengajar Islam kerana semua guru tidak berlatarbelakangkan agama yang kukuh. Biasanya guru dari Semenanjung yang mengajar Bahasa Melayu ditugaskan untuk mengajar kami. Buku "Pengetahuan Agama Islam" yang kami beli di kedai Haji Merais, Kampung Nyabor, Sibu tak pernah pun dibuka. Boleh dikatakan perjumpaan guru-murid  tidak pernah menyentuh kandungan agama secara langsung. Seorang Cikgu dari Semenanjung yang kuingat siap berpesan kepada kami, "Apa yang saya nasihat ni , awak kena ikut. Tapi kalau awak jumpa saya pergi disco, jangan ikut." Jadi nilai dan praktikal seorang muslim pada ketika itu nampaknya tidak perlu selari.

Mungkin satu-satunya kegiatan sebagai muslim yang terasa membangkitkan semangat bersama Islam semasa di sekolah menengah adalah perarakan Maulid Nabi ( sekarang Maulidurrasul ). Keliling bandar Sibu, dengan iringan band polis, bersalawat, dan perhimpun di Padang King George, membangkitkan semangat ke-Islaman yang sangat berbeza, baru terasa adanya jumlah umat yang besar dalam satu perjumpaan atas sebab Islam. Seingat aku, menteri yang dijemput ketika itu adalah Dato' Ahmad Urai. Ucapan beliau ketika itu lebih tepat disebut pidato daripada rutin para pembesar yang membaca teks. Cukup membangkitkan semangat. Sayangnya butir-butir aku tak berapa ingat. Minat pada agama baru timbul tapi tidak memberi perhatian kepada detail.

Suatu ketika aku terpilih mewakili SMB SH untuk bertanding azan di Masjid Sibu. Kuperhatikan ramai budak-budak seumur sekolah rendah datang menyertai majlis itu. Ingatkan boleh senang-senang kalahkan mereka sebab mereka budah kecil.Aku kalah dan lebih memalukan kalah dengan budak-budak kecil dari sekolah rendah agama. Tapi waktu itu entah kenapa tidak terasa sangat malu dalam hati. Sebaliknya ia menimbulkan keinginan untuk mendalam agama kerana terasa naluriku memerlukannya. Aku menyedari diriku sedang kekosongan satu bahagian terpenting bagi diri insan, aqidah dan amal agama itu sendiri ! Terasa pincang mengaku sebagai seorang muslim sedangkan isi dalam diri tidak ada. 

Dalam majlis itu, kuperhatikan ada sosok seorang guru yang begitu aktif memobilisasi para pelajarnya yang menyertai pertandingan malam itu. Aku temui belia bertanyakan dari mana datangnya anak-anak pintar ini. Rupanya ada sebuah sekolah agama petang tak sampai 1 km dari rumah kediamanku di SRK Abang Ali. Selepas meminta maklumat dari Ust Hasan, esoknya aku pergi ke Sekolah Rendah Abang Ali di mana terdapat kelas agama petang diadakan. Aku sudah berumur 14 tahun dan kelas yang aku nak masuk adalah Darjah 1 yang rata-ratanya budak berumur 7 tahun. Aku seorang 'budak besar' telah diterima sebagai murid baru Darjah 1. Seingat aku hanya sempat satu hari sahaja aku duduk dalam Darjah Satu kerana hari berikutnya aku langsung dipindahkan ke Darjah 2 kerana alasan Ustaz , " Awak besar sangat !". Faktor lain mungkin kerana sudah boleh membaca Quran. 

Guru tetapku di Darjah 2 tersebut adalah Ustaz Husain Abbas, berasal dari Johor macam Ustaz Hasan juga. Buku-buku yang digunakan adalah buku-buku sekolah agama Johor dalam tulisan Jawi. Semuanya nipis-nipis belaka. Mata-mata pelajaran terdiri dari Al-Quran, tulisan Jawi, hafalan Fardu Ain, Fiqah dan Ilmu Tauhid. Inilah yang kugelar sebagai episod kedua dalam penjelajahanku mengenali agama melalu pintu kitab. Inilah pelajaran formal pertamaku tentang agama. Adakah aku berminat ? Rasanya tidak. Tapi aku merasa PERLU ( bukan minat )  kepada pengetahuan itu mungkin kerana merasa ia bahagian yang sangat penting dari jati diriku yang baru kutemui. Aku merasa lengkap sebagai seorang muslim bila semakin hari aku mengenalinya. Bahkan setiap hari aku harus pulang segera dari mengayuh basikal menempuh jarak 3 km ke rumah, langsung bersalin baju seragam sekolah agama, baju Melayu putih bersamping warna maroon, tak sempat makan dan pasti akan lewat sekurang-kurang 15 minit ke sekolah agama. Ustaz-ustaz pun sudah maklum. Inilah harga yang harus kubayar untuk memenuhi kehausan kepada inti diriku seorang muslim yang baru mengenal agamanya. Dorongan yang paling kuat kurasakan dari ibu yang sentiasa ingat akan memberikan wang untuk membeli buku, membeli seragam dan lain-lainya walaupun pendapatan ayah kurasakan sangatlah terhad untuk tujuan 'tambahan' ini. Pasti ini beban yang tak dirancang bagi mereka. Tapi ibu sangat inspiratif bila dia membeli sejadah, naskah al-Quran yang baru untuk kutingkatkan amalanku sebagai seorang muslim. Terima kasih ibu walaupun dirinya sendiri tidak mendapat pendidikan agama yang mencukupi. Aku bahkan merasa berkewajiban mewakili keluarga melengkapi kekurangan yang satu ini  untuk keluarga kami. Adik-adikku tidak mengikut jejakku.


[P9050053.JPG]
Gambar terkini Ust Husain mengendalikan Kursus Haji di Miri.
Pelajaran yang kurasa paling memberi nilai tambah adalah Fardu Ain. Ust Husain mewajibkan kami memiliki sebuah buku kecil Fardu Ain yang isinya hanya teks bacaan dalam solat, doa dan wiridnya. Tak ada gambar sama sekali. Aku fikir buku seperti ini untuk generasi hari ini akan diperam dalam almari sahaja.  Tak ada selera nak tengok. Kaedah Ust Husain sangat mudah ; sesiapa sudah hafal mana-mana bahagian buku tersebut datang 'menyetorkan' hafalannya kepada dia. Bila dia puas hati, dia akan tandatangan dengan pensil bahagian yang sudah dihafal. Rasanya aku sangat cepat menghafal kandungannya dan tandatangan demi tandatangan yang dibubuh oleh Ust Husain semacam pemacu kuat mempercepatkan proses hafalanku. Dalam masa beberapa minggu sudah habis buku kecil itu kuhafal. Terasa lengkap beribadah bila sudah hafal bacaan dalam solat dari buku Fardu Ain itu. Solatku bertambah sempurna dengan inisiatif ibu membeli buka 'Cara Mengerjakan Sembahyang' karangan Ustaz Ahmad Sonhaji. 






















Di sekolah SM Sacred Heart pula aku mendapat kepercayaan guru-guru mengajarkan apa yang kutahu tentang agama di kelas mingguan kami kepada pelajar dari Tkt 1 hingga Tkt 6 ! Tak hairan lagi jika pada tahun itu juga aku terpilih mewakili sekolah untuk bertanding membaca al-Quran. Hanya beberapa sekolah di Sibu yang menyertainya.  Tanpa pengetahuan tarannum, aku tak sangka boleh mendapat Naib Johan sekolah-sekolah di Sibu di belakang Wan Alim, wakil sekolah Rosli Dobhy yang akhirnya menjadi johan seluruh Malaysia pada tahun itu. "Aku kalah dengan Johan Malaysia !" terbesit rasa bangga di hati tapi tetap menyedari kemampuan diri amatlah jauh. 

Terasa sudah semakin jauh perjalananku menghayati agama yang kuanuti. Keberadaanku di tengah-tengah lingkungan Katolik tidak teasa mengancam. Bahkan ia mendorongku untuk lebih komited kepada agama yang menjadi jati diriku sendiri. Semasa di Tingkatan 3, aku memberanikan diri untuk minta kepada Brother Albinus untuk membenarkan semua pelajar Islam pergi solat Jumaat. Mungkin bagi generasi pada hari ini, kebenaran solat Jumaat ini bukanlah perkara yang besar kerana memang pun sudah diperuntukkan oleh sekolah. Setahu aku, sebelum itu tiada siapa pun yang berani merempuh kuasa Brother Albinus untuk minta pelepasan dari pelajaran yang berlangsung tepat pada waktu Jumaat walaupun hanya satu mata pelajaran sahaja. Yang aku ingat pelajaranya adalah Commercial Studies dan pengajarnya adalah seorang guru Cina, abang kepada salah seorang classmate kami.   Dengan syarat pelajar yang pergi Jumaat diambil kehadiran, Brother Albinus melepaskan kami yang benar-benar akan pergi solat sahaja. Yang tak solat tetap belajar. Aku pun tahu dari mana keberanianku memecah tradisi yang tak pernah dilakukan oleh pelajar lain sebelum ini. 

Guru mata pelajaran nampak berang kepada aku minta atas sebab minta exemption dari kelasnya. Ketika markahku dalam Commercial Studies jatuh, dia menyalahkan aku minta kebenaran solat Jumaat. Katanya aku patut mengutamakan pelajaran daripada agama. Aku juga merasa bersalah kerana sepatutnya aku membuktikan dengan bahawa dengan komitmenku terhadap agama sepatutnya aku dapat keputusan yang lebih baik. Sebetulnya itulah satu-satunya pelajaran aku yang kurang berprestasi. Di sebuah sekolah berprestasi tinggi itu, keputusanku dalam mata pelajaran lain bahkan tidak mengecewakan. Aku menduduki tempat ke-3 dalam Kelas 3A2 , iaitu kelas kedua terbaik dalam sistem streaming di SHS ketika itu. Mungkin kerana berang dengan guru juga ketika itu, kertas Commercial Studies tidak kuhadiri semasa peperiksaan L.C.E. Tapi akui cukup banyak yang kupelajari dari mata pelajaran itu terutama sekali dalam menyedarkan aku bahawa untuk hidup manusia tidak mesti makan gaji.

Tumpuan kepada pelajaranku juga agak terganggu oleh krisis dalam keluarga ketika di Tingkatan 3. Perincian tentang krisis ini biarlah tetap menjadi satu lipatan sejarah untuk pengetahuan keluarga sahaja. Tapi sebagai orang yang tak mudah mengalah kepada keadaan aku tidak berapa menghiraukan faktor keluarga mempengaruhi prestasiku. Penglibatan dalam agama bagiku bertambah dengan terpilihnya aku dalam kumpulan nasyid sekolah. Melalui kumpulan ini aku mengenali kakak-kakak kelas yang rupanya lebih tua daripada diriku. Mereka generasi awal sekolah agama Abg Ali. Kumpulan hanya dapat bertahan di peringkat saringan kalah dengan kumpulan yang lebih dewasa. Tapi bagiku itu adalah peningkatan dalam mengembangkan skop agamaku. 

Di pertengahan Tingkatan 3, ibu membawa kami adik-beradik pindah balik ke Bintangor. Sebetulnya banyak kerugian yang kurasakan bila pindah ke Bintangor kerana aku akan kehilangan peluang meneruskan perguruanku dalam hal agama. Bahkan, mungkin dari hasil pemerhatian ayah tentang kebiasaan masyarakat setempat, dia memberi nasihat yang kurasakan tak serasi dengan jiwaku, "Awak kena tumpu kepada pelajaran. Hal agama ni kita boleh belajar masa tua nanti. " Alhamdulillah, pandangan ayah tersebut telah berubah bila pada tahun yang sama aku terpilih sebagai pelajar bumiputra terbaik dalam peperiksaan LCE. 

Berbalik kepada perubahan gaya hidup di Bintangor, aku hanya dapat mendalami al-Quran. Pelajaran agama Islam tidak diwajibkan lebih-lebih lagi sekolah baru kami adalah sekolah bantuan Cina, SMK Kai Chung. Di Sekolah Menengah Kai Chung, perjumpaan dan pergaulan rapat dengan Ustaz Haji Mohd Nor Mohammad dari Terengganu juga terasa sebagai satu keberuntung terbaru di Bintangor. Aku dan sahabat kamcing dari Sekolah Rendah, Abang Abdul Latif bin Abang Abdul Rahman, boleh dikatakan berjumpa dengan Ustaz Mohd Nor secara daily basis.Terpilih untuk mewakili Bintangor dalam Musabaqah Daerah Binatang membuatku terpaksa berulang alik berjumpa dengan Ust M Nor  ditemani oleh Abdul Latif untuk membaiki bacaan al-Quranku. Aku menang di peringkat Bahagian Ke-6. Terima kasih kepada Ust Mohd Nor yang tak diketahui di mana dirinya berada sekarang. Kerana kena berhadapan dengan cabaran yang lebih hebat di peringkat negeri aku belajar dengan Nek Haji Bakeri. Beliau guru pertama yang memperkenalkanku nama-nama dan harakat tarannum yang membolehkan aku mendapat tempat ke-3 Peringkat Negeri Sarawak. Dari acara ini, aku sempat melihat wajahku masuk TV buat pertama kali. Acara itu juga memperkenalkan aku kepada qari-qari terkemuka Sarawak seperti Ust Ismawi Duet dan Haji Morshidi Abot.

Cabaran baru menanti di SMK Kai Chung. Aku yang sudah serasi dengan mengerjakan solat mulai memberontak dalam hati bila tidak boleh solat Jumaat. Di Tingkatan 3 sekolah Kai Chung aku hanya ada seorang  pelajar saingan sengit, anak perempuan Cina bernama Ling. Dengan berbekalkan prestasi baik, aku memberanikan diri bertemu dengan Pengetua, Mr Lim untuk minta semua pelajar Islam diberi pelepasan solat Jumaat. Selain itu aku minta kami dibenarkan memakai seluar panjang kerana semua pelajar selain prefect ketika itu mesti menggunakan seluar pendek. Permintaan solat diluluskan dengan syarat semua pelajar mesti diambil kehadiran. Tapi permintaan berseluar panjang tidak dibenarkan. Di akhir Tkt 3 aku memberanikan diri memakai seluar panjang , berwarna putih pula. Aku dengan Mat Ali , sepupuku, dipanggil oleh guru disiplin, Mr Roddy Lau. Bila ditanya kenapa , kujawab ia kewajiban setiap muslim. Dia berdalih selama ini tidak ada pun orang Islam lain yang minta demikian. Permintaanku tak diluluskan, tapi tidak dihukum. Hanya disuruh mematuhi peraturan. 

Terdetik dalam hatiku kenapa selama ini tidak ada rasa kewajiban murid-murid muslim menegakkan apa yang menjadi kewajiban mereka ? Bila kuingat balik ia pasti berpunca dari kejahilan. Keyakinan agama telah memberi keberanian menegakkan yang haq walau dalam skala kecil. Waktu itu tak terfikir pun nak jadi hari atau menunjuk keberanian. Yang kuingat ia hanya kewajiban yang aku patut tegak jika tiada yang menyuarakannya. 

Tahun itu juga merupakan tahun kejayaan yang aku tidak akan lupa. Akulah anak Bintangor yang pertama menyertai Musabaqah Membaca al-Quran peringkat negeri dan dapat tempat ketiga. Di peringkat sekolah pula aku telah mengalahkan Johan Sekolah menengah tahun lepas di Bahagiaan Keenam tapi aku terkandas di peringkat Zon , dan sekali lagi kepada Wan Alim yang mewakili Bahagian Ketiga. 

Pengiktirafan sekolah terasa atas kesungguhanku bukan hanya dalam pelajaran, tapi juga komitmen sosial bila aku dianugerah pelajar Bumiputra Terbaik LCE dan ditawarkan oleh Pengetua bersekolah di SM Kai Chung tanpa perlu membayar yuran. Tawaran tersebut diberikan bila mendapat tahu aku ditawarkan tempat di SMK Tuanku Haji Bujang di Miri. 

Di Tingkatan 4 pula, aku dilantik menjadi pengawas oleh Mr Roddy Lau walaupun rasa ragu akan dilantik kerana pernah 'bermasalah' dengan beliau di hujung Tingkatan 3 yang lepas. Tingkatan 4 kurasakan adalah saat menikmati hasil usaha melihat pelajar berduyun-duyun pergi solat Jumaat, suatu keadaan yang tak wujud semasa aku baru masuk di Kai Chung. 

Aku pula satu-satunya murid Melayu di kelas Sains yang merupakan floating class yang pertama di Kai Chung, kelas yang tak ada bilik darjah tetap. Kami menjadi kumpulan nomad yang pertama. Sahabat terdekatkanku adalah Raymond Yong. Kawan-kawan Melayu ramai yang terkandas dalam LCE. Kurasa ini sudah satu tahap mempertahankan imej Islam dalam akademik. 

Episod ini kukira sampai ke penghujungnya bila aku meninggalkan bumi Sarawak untuk melanjutkan pelajaran yang langsung di luar sistem yang ada di Malaysia di seberang laut, INDONESIA !

Jika kuperhatikan balik, moment mengenali agama secara formal melalui kitab, di bawah bimbingan Ust Husain dan Ust Hasan inilah yang mencorakkan kedalaman yang baru dalam menghayati agama jati diriku. Allahumma balaslah jasa mereka dengan memberi pahala kepada mereka dari setiap amal kebajikanku serta amal kebajikan para muridku yang juga telah mendapat manfaat dari hasil didikan mereka ke atasku. Jadikan juga segala amal baikku sebagai bekalan akhirat untuk ibu dan ayahku. Meskipun mereka tidak beruntung dalam mendapat pendidikan agama, mereka telah memberi jalan kepadaku mencapai tahap ini. 

Catatan ini sangat bererti pada diriku, mungkin tidak pada orang lain, bahkan mungkin tidak ada apa-apanya kepada anak-anakku yang lebih beruntung, kerana ia adalah penghijrahan yang sukar dari kejahilan kepada cahaya agama meskipun aku umpama benih yang tidak tumbuh di tanah yang sesuai dengannya. Sementara orang lain menjadikan 'environment' yang salah ini sebagai sebab kejahilan dan ketiadaan komitmen kepada agama, namun Allah dengan inayah dan i'anah-Nya telah membolehkanku merempuh hadangan ini. 

[Episod berikut : Penemuan yang tak dirancang ... GONTOR !]