Friday, October 7, 2011

Sentuhan awal agama dalam hidupku



Terlahir dari kedua ibu bapa yang hidup di lingkungan minim pengetahuan dan amalan agama mungkin lebih tepat sebagai gambaran awal bagaimana rupa agama itu saya fahami di usia dini. Sebuah kampung kecil ketika itu disebut Binatang tidak banyak suasana beragama yang kuingat. Mungkin tidak bernasib baik mendapat pendedahan agama, ibu dan ayahku juga tidak banyak bicara tentang agama  kepadaku bahkan termasuk tidak memperdengarkan lafaz "Allah" dalam bicara harian keluarga. Kehidupan masa kecilku pula lebih banyak bersama nenek dan datuk yang lebih kurasai sebagai 'mak' dan 'bapak' bahkan sehingga mereka mengakhiri usia mereka pun aku tidak pernah memanggil mereka 'ninek' ( lafaz orang Sarawak untuk nenek dan datuk). Juga tak kutemukan jejak beragama yang ketara dari kehidupan nenek-datukku. Yang kutahu ada kitab bertulis Arab dan muqaddam al-Baghdadi yang tersimpan hampir tak pernah dibuka. Mereka mungkin di antara insan yang kurang beruntung tidak hidup dalam lingkungan yang kuat amalan agama.

Aku hanya mula tinggal dengan ibu dan ayah kandungku bila mula bersekolah pada tahun 1971. Aku pun tak tahu kenapa aku mesti bersekolah selain melihat ia sebagai norma kanak-kanak  lain sebaya denganku. Aku tak pernah lupa dipagi pertama aku hendak ke sekolah, aku dipakaikan baju seragam putih berseluar pendek warna biru. Rambut disisir rapi dan disajikan minuman panas sebelum ayahku memboncengkan aku dengan basikalnya ke Sekolah Rendah Kerajaan Binatang. Kerana tak pernah tinggal dengan ayah sejak kecil, inilah pertama kalinya akan merasakan kasih seorang ayah. Selain dari sebab aku diserahkan kepada jagaan nenek sejak kecil, ayahku banyak travelling outstation sebagai Penolong Pegawai Hutan.

Pelajaran terawal yang kutemui di sekolah adalah nyanyian berbahasa Inggeris meniru seorang guru wanita berbangsa Tionghua memperagakan gaya mengikut lirik "Open, shut them. Open, shut them." Selebihnya aku tak ingat lagi apa liriknya. Bahasa Inggeris yang digunakan oleh semua guru membuatku terpinga-pinga untuk beberapa hari terawal di sekolah itu sebelum aku mula menangkap maksud "Yes", "No", "What is your name ?", "This is a book.". Bahasa Inggerisku mulai terbina lebih cepat dari bahasa Melayu yang ketika itu bergelar Bahasa Kebangsaan. Seingat aku tidak ada satu pelajaran pun yang membantuku mengenal apa itu Islam. Boleh dikatakan sentuhan pengetahuan agama pada peringkat sekolah itu adalah SIFAR.

Jika  ada  perkara yang boleh disebut sebagai sentuah terawal agama dalam hidupku, maka ia adalah aktiviti mengaji al-Quran. Ibuku menghantarku mengaji al-Quran ke rumah Nek Tami ( Haji Bustami ) sejak aku mula masuk sekolah. Itu juga merupakan sentuhan awal ibuku mendidikku kerana selama ini aku tinggal bersama 'mak' (nenekku). Aku pun tak tahu kenapa kami harus mengaji selain dari mengikut kebiasaan anak-anak yang sudah umur sekolah. Pengalaman mengaji padaku merupakan pembuka segala hal yang membuatku merasa beragama Islam. Ketika itu aku bahkan tidak tahu bahwa aku seorang yang ada agama yang namanya ISLAM. Aku hanya tahu aku orang Melayu dan mengaji itu padaku mungkin lebih tepat adalah adat Melayu lebih dari amalan seorang Islam. 

Jika  pula ada satu hal yang kuanggap paling besar dampaknya membawaku kepada Islam yang syumul maka aku akan katakan ia adalah mengaji al-Quran. Aku tak kenal hal lain yang ada kaitannya dengan Islam ketika itu selain dari membaca al-Quran. Rumah guru mengajiku sentiasa ramai dengan anak-anak kampung yang mengaji. Tak kira pagi, petang, malam. Kalau hujung minggu seingatku tiga kali sehari kami datang ke rumah guru mengaji. Di rumah tu pula boleh dikatakan semua anggota keluarga dewasanya mengajar kami mengaji. Rumah Nek Tami yang didiami oleh beberapa keluarga adik-beradik, ipar biras itu ramai penghuninya. Tak terfikir olehku kenapa mereka mahu mengajar mengaji sedangkan murid yang mengaji pun tak membayar apa-apa yuran. Kami murid-murid pula seperti menyambung tradisi jika datang mengaji, maka kami membantu guru mengisi air dari anak sungai sebelah rumah ke bekas air. Ada yang menolong melipat kain baju.  Tak ada pula mereka ditugaskan oleh mana-mana autoriti kerajaan atau kepimpinan kampung. Aku pun tak tahu sejak bila ia bermula. Yang aku tahu kalau nak mengaji itulah salah satu tempatnya. Tempat guru mengaji yang lain yang kuingat ketika itu adalah rumah nek Bakri  yang juga imam masjid kami ketika itu. Kemudian baru kutahu di Kampung Abang Ali budak mengaji di rumah Haji Berang, masih saudara sebelah nenek. 

Kalau juga ada kejayaan bermakna dalam hidupku ia juga berkait rapat dengan mengaji al-Quran. Seingatku sejak awal mengaji, guruku sering memberiku tugas mengajar orang lain sebelum dia sendiri mendengarku mengaji. Seawal usia 7 tahun, aku sudah diberi tugas mengajar apa yang aku sudah tahu dari muqaddam untuk mengajar pelajar baru yang tak kenal huruf. Tak ada pertanyaan tentang kenapa aku harus mengajar orang lain. Guru pun tak perlu menerangkan apa rasionalnya aku seusia budak kecil harus mengajar orang lain. Ia adalah tradisi yang turun temurun yang kami laksanakan tanpa soal jawab. 

Seringkali bila sudah banyak mengaji, aku yang masih kecil ketika itu meleleh air mata kerana mengenangkan diri sering terlambat balik menunggu guru mengajar. Yang dikenangkan ketika malangnya sering menjadi murid yang lambat balik kerana kena mengajar orang lain. Sekarang baru aku mengerti banyaknya hikmah aku mengajar orang lain ketika itu. Seusia dini aku mengenal erti tanggungjawab, memimpin, menyampaikan ilmu seadanya, bersabar dalam mencapai kejayaan meniti juzuk ke juzuk, menjadikan diri bertambah ilmu dengan mengulang serta mengulang benda yang sama melalui proses mengajar. 

Mengaji ketika itu pun tidak memerlukan pengetahuan tajwid yang super tepat. Kalau sudah boleh membunyikan nama huruf, betul makhraj dan tahu panjang ( mad ) dan pendek, maka sudah mencukupi untuk lancar membaca. Kemahiran mengeja dengan menyebut huruf, baris dan bunyi merupakan kaedah yang tidak ada alternatifnya jika mahu lancar mengaji. Tiada jalan pintar seperti IQRA atau QIRAATI seperti hari ini. Pada tahap itu tiada hukum nun mati atau mim mati yang perlu dirisaukan. Bahkan sehingga habis mengaji di rumah itu aku tak pernah tahu hukum tajwid. 

Kenapa kami mengaji ? Kalau ketika itu aku ditanya, pasti kujawab, "Entahlah !" Yang kuingat juga setiap tahun ada sahaja Musabaqah membaca al-Quran dibuat di masjid. Seringkali kulihat guruku, Raliah menjadi johan. Apa yang dinilai pun aku tak berapa tahu. Tapi aku dapati musabaqah ini mempunyai peranan penting dalam mendorong orang mengaji Quran. Mereka yang sudah mencapai tahap mahir bolehlah bercita-cita untuk menang musabaqah dan mewakili daerah Binatang ke Bahagian Keenam ( Sarikei ). Aku tak pernah tahu siapa dari Binatang yang pernah johan di Sarikei untuk masuk ke peringkat negeri Sarawak. Sama ada tidak ada atau aku yang tak mahu tahu ketika itu. 

Bermodalkan kepandaian membaca al-Quran, perpindahan kami ke Sibu pada tahun 1976 membuka episod baru bagiku mengenal agama. Sepanjang tinggal di Jalan Padang aku tidak mengaji. Rutinku hanya pergi ke sekolah baru dan balik ke rumah untuk membantu ibu ayah apa yang patut. Fokusku lebih banyak kepada pelajaran sekolah yang menuntutku untuk belajar lebih daripada biasa untuk mengejar kedudukan seperti di sekolah di Binatang dahulu. Kalau di Binatang tanpa ulangkaji aku biasanya menempati tempat kedua di belakang Dayang Saffiah. Tapi di Sekolah Rendah Sacred Heart, ternyata untuk mendapat kedudukan no. 15 dalam kelas pun mesti bertungkus lumus. Prestasi terbaik yang kuingat, dengan beberapa subjek mendapat 100 markah hanya mendudukkan aku di posisi no. 9 ! 

Hanya bila pindah ke kuarters baru Jalan (?) , baru aku mula mengaji di rumah Tuan Haji Kaderi yang berseberangan dengan rumah kami. Tuan Hj Kaderi suami isteri sangat berjasa memperkenalkan aku dengan hukum tajwid. Aku baru kenal izhar, ikhfa, iqlab, dengung dan lain-lainnya dari Guru Haji Kaderi. Budak yang mengaji tak seramai yang datang ke rumah Haji Tami. Mengaji di situ tiada angan untuk nak masuk musabaqah. Dengan pengetahuan tajwid yang baru kukenali, khatam al-Quran yang tak pernah kuraikan semasa di Binatang, serasa hilang gahnya. Aku semakin tahu banyak perkara tentang Quran rupanya belum kuketahui walaupun dahulu aku melihat orang yang khatam Quran itu macam telah mencapai kemuncak mengaji. 

Tuan Haji Kaderi juga guruku yang mengajakku solat di Masjid Sibu. Itulah pengalaman solat yang pertama kuketahui sebagai lanjutan dari mengaji. Dulu aku hanya pernah tengok orang solat. Kadangkala kulihat budak besar yang mengaji di rumah Nek Tami disuruh 'berkaut' ( berwudhu ). Sebab yang kuketahui hanyalah kerana mereka budak besar. Aku tak tahu solat itu wajib. Baru di masjid Sibu aku mulai kenal solat jamaah. 

Pengalaman awal mengorakkan penglibatan jauh dalam hal agama adalah apabila aku tiba-tiba dipilih oleh sekolah bertanding azan di Masjid Sibu. Lagu azan pun entah apa-apa. Yang kuingat ketika itu aku dikalahkan oleh budak-budak yang lebih kecil yang bukan sahaja menang azan, tapi juga mengaji dan menulis Jawi. Baru kutahu mereka dari sekolah agama Abang Ali. Aku mulai tertarik meneroka lebih jauh tentang agama dengan bertanya Ust Hasan yang kutemui sama ada aku yang sudah besar berumur 14 tahun boleh belajar dengan budah darjah satu di sekolah itu. Aku masih ingat riak muka Ust Hasan yang terkejut dengan soalanku ketika itu. Lepas tu dia cuma menyuruhku datang ke sekolah untuk melihat suasana dahulu. 

Begitulah perjalanan awal mengenali agama dalam hidupku yang kurasakan tidaklah seberuntung anak-anak sekarang yang boleh dikatakan kenal Allah, kenal Quran, kenal ibadah sejak celik mata dari corong radio, dari skrin TV, dari Tadika. Masya Allah ! 

[ Episod berikut : Mengenal agama dari pintu kitab ]


1 comment:

  1. Best cerita tuk. Aku besar bersamanya, bahasa nya masih cun. X ado campor Jawanya. Edisi kisah hidup mengenal Al Quran II mungkin lebih menarik. Sik sabar nunggu

    ReplyDelete