Wednesday, October 5, 2011

Sawadee !


 SAWADEEKAP ! Di Thailand lagi ! Kerana tertinggal kamera dan perjalanan terlajak sampai melepasi sempadan, jadi terpaksalah pinjam gambar kat laman orang lain. Gambar yang dipilih pun adalah gambaran yang paling mendekati suasana sebenar di lokasi yang sama. Awal perjalanan ini hanyalah memenuhi hasrat hendak ke Utara untuk tujuan serampang banyak mata. Selain dari nak melihat anak yang dirindui di menara gading, kami cuba-cuba meninjau tempat-tempat belajar yang berkemungkinan menjadi pilihan anak yang baru sahaja menyelesaikan UPSR. Anak yang satu ni berminat dengan pendidikan agama dan kalau boleh ada tahfiz. Minat tu pula bersesuaian benar dengan hasrat ibu ayahnya yang diamanahkan untuk mengasuhnya agar membesar dalam ridha Allah. 
Sesampainya di Utara, sempatlah seorang anak bujang setuju mengikut ke Utara, kot-kot kakaknya sedang ada kelapangan. Kakak pula dah ada komitmen dengan program lain. Dah terlanjur jauh ke Utara, dan kesempatan itu tidak pula selalu, akhirnya rancangan ditukar untuk melepasi sempadan. Mungkin ini akan memperkayakan lagi pengalaman anak-anak yang belum sempat sampai ke sana. 


Selepas 2 kali pergi pada tahun 2008, perjalanan ke Hatyai tidaklah begitu mengharapkan banyak surprise. Lagi pun hari sudah menjelang tengahari saat kami sampai di Changlun. Kereta yang dibawa pula tak ada grant. Jadi tak dapatlah nak bawa kereta sekali. Kali ini pengalaman ke Thailand ditukar dengan mode perjalanan yang berbeza. Kereta ditinggalkan di tempat letak kereta berbayar ( dan berjaga ?) di Changlun dan penyeberangan sempadan dilakukan dengan menaiki teksi. Teksi Malaysia membawa setakat ke kawasan Duty Free Bukit Kayu Hitam. Drebar teksi tu pula memindahkan kita kepada teksi Thai. Teksi Thai nampak lebih mewah, bergear auto, kerusi semua leather dan berhawa dingin menyelesakan. Sungguh berbeza dengan teksi lama sebelah Malaysia yang telah menyumbangkan jasa kepada pemiliknya yang mencari sesuap nasi. 


Dibandingkan dengan pengalaman membawa kereta sendiri menyeberang sempadan, nampaknya proses penyeberangan jauh lebih singkat. Tak ada kena isi borang sendiri kerana borang sudah diisi oleh agen di Changlun tadi. Teksi pula tak perlu prosedur panjang untuk masuk bahkan lebih tepatnya hanya macam menunggu kami penumpang yang terpaksa beratur untuk mendapat izin masuk di kaunter imigresen. Hanya dalam jangka masa tak lebih 10 minit, kami sudah boleh meluncur ke Hatyai. Perjalanan lebih kurang 55 km ke Hatyai mulus dan makan masa tak sampai sejam. 


Jalan menuju ke tengah kota mengikut jalur lain dari perjalan peribadi sebelum ni. Sesampainya di kota, drebar ni memang cepat sungguh mengambil tindakan untuk mendapat bisnes barunya. Kami diturunkan di pejabat agen dan diberi peluang menempah teksi perjalanan balik. Tanpa perlu fikir panjang, saya pun setuju untuk menempah teksi balik. Kerana tak sempat nak tukar wang, kos 600 Baht yang dikenakan saya bayar dengan RM 60 dan agennya pun menerima duit ringgit tanpa banyak dolak dalik. Berbeza dengan perjalanan dahulu ramai peniaga tak nak terima ringgit. 


Lepas tu kami sampai di hotel yang ditempah oleh agen, Hotel Indra. Melihat jumlah bakal penghuni seramai tujuh orang dewasa, anak-anak dan seorang baby comel, penjaga kaunter serta mereka memberi tahu, "So many ! I have no room for you !" Lepas tu saya pun tak ingat saya cakap apa untuk memintanya menerima kami biar tak payah pergi ke sana ke mari mencari hotel baru. Saya pun bukan dalam mood nak bertengkar. Mengalah sahajalah. 


Untung sahaja kami sedang berada di tengah-tengah bandar yang banyak hotel yang lebih mewah tersergam. Memang pun dari awal saya minta hotel yang lebih mahal tapi agen di Changlun takut tak dapat kerana ramai orang katanya. Semahal-mahal hotel di hanya pun lebih sedikit dari RM 100 ( 1000 baht ) dan jarang mencecah RM 200. Kebanyakan hotel hanya mengenakan sewa RM 70 ke RM 80 sahaja untuk mendapat tempat tidur yang sederhan selesa. 


Dah terlanjur sampai, nak pula cari hotel yang mahal sedikit. Hotel-hotel mewah seperti Lee Plaza, Novotel, Regency ternyata ada polisi ketat dengan jumlah sebenar penyewa biliknya. Setiap tambahan orang bahkan dikenakan caj 490 baht untuk Lee Plaza. Dia minta saya sewa 2 bilik berharga 1390 baht, saya tak setuju kerana yang dipisahkan kebanyakannya anak-anak kecil dan tak ada connecting room. Dia paksa-paksa juga, saya tak mahu, dan tidak pun tak nak bagi. Komen saya dengan senyum paksa, " Very poor service ! (2X). " Saya sambung lagi, " I will make this comment in the internet." Ternyata tak ada apa-apa kesan kepada receptionist yang berdegil tadi. Hotel Regency ternyata juga sama tapi saya tinggalkan tanpa komen. Hotel Novotel pula memberitahu saya hanya suite yang berharga 6000 baht yang tinggal. Tapi saya tak yakin memang itu yang tinggal. Ketiga-tiga hotel tadi mungkin lebih dipengaruhi oleh penampilan saya macam pelancong murahan, berbaju T-shirt panjang lengan tak ubah macam buruh kasar construction, berseluar kain kasar, macam buruh juga, berselipar . Cuma tak isytihar sahaja inilah selipar paling mahal yang pernah saya beli. Dan tak mustihal juga bermisai dan berjanggut yang mungkin memberi impression ada potensi bertindak macam pengganas kot ! ( Smile !) 



Semasa mencari hotel, sempat juga masuk ke sebuah money changer dan menukarkan wang RM 400. Ternyata bila diubah menjadi baht nilainya adalah 4300+ baht ! Patutlah peniaga lebih suka menerima ringgit dinilaikan sama dengan 100 baht untuk setiap ringgit !


Selepas sejam lebih, kaki pun dah letih, isteri dan anak-anak pun sempat makan-makan ringan di gerai seberang Lee Plaza, akhirnya saya menemui hotel yang tak banyak soalan tentang bakal penghuninya kira-kira 300m dari lokasi tadi, Siam City Hotel ! Sewa semalam 1125 semalam, berkatil 3. Tepat sekali untuk menampung kami yang 7 orang. Sesampai di hotel, dapati bilik ini tak bertingkap. Langsir dibuka dan yang tampak adalah pantulan imej kami yang dipasang didinding sebalik langsirnya. 



Sempatlah duduk-duduk sebelum solat dan makan apa yang sempat di beli. Sebelum pukul 5 petang saya ajak isteri dan anak-anak ke floating market yang saya tengok banyak dipromosikan oleh hotel-hotel. Rasanya 3 tahun yang lalu, pasar terapung ni tak pernah masuk dalam senarai objek pelancongan. Sedang tak ada kenderaan ni, nak juga rasa naik tuk-tuk. Rupanya naik tuk-tuk pun tak semurah yang dulu serang saya baca dalam travelog. Semua dah macam sepakat, semua dah macam standard. Kita pun tak banyak pilihan untuk demand kerana kalau kita tak naik, ramai lagi pelancong lain, majoritinya orang Malaysia yang sanggup membayar kos yang sama. Naik taksi ke pasar terapung 5000 baht. Naik tuk-tuk pun sama. Kos itu untuk pergi balik ditambah masa menunggu. Kalau kita nak pergi sahaja pun dia tak nak. Siap bagi alasan bahawa nanti tak ada kenderaan balik. Ikut sahajalah. 


Perjalanan ke pasar tersebut saya pantau melalui GPS. Memang masuk ke lorong-lorong shortcut. Jaraknya kira-kira 7.5 km dari Hotel Siam City. Sesampainya di sana, berlambak-lambak bas pelancong Malaysia yang menyisir tepian jalan masuk ke kawasan pasar terapung  Khlong Hae. Jalan menuju ke pasar terapung melewati satu jembatan yang sudah sesak dengan peniaga dan pelancong. Barang-barang tak adalah pelih sangat kat kawasan tu. Kalau lalu kat peniaga makanan lagilah tak ada selera bila nampak yang menjual wajah Siam dan asumsi terberat kita dia beragama Buddha. Mana nak halalnya. 



Pemandangan dari atas jambatan yang memaparkan susunan perahu peniaga dari jauh sudah menunjukkan kebanyakan peniaganya adalah orang Islam .. wanita bertudung labuh. Kalau ada kes menyamar tak tahulah. Tapi memang rata-rata mereka boleh berbahasa Melayu. Barulah terjumpa makanan yang lain sikit. Nampak menyelerakan. Isteri dan anak-anak beli minuman dan gelas porcelain dengan harga 25 baht sudah termasuk harga gelas. Begitu juga dengan mi sup berharga 45 baht sudah termasuk harga mangkuk. Sempat membawa makanan sahaja balik ke hotel kerana memang travel secara budget. 


Sebelum malam, berangkatlah balik ke hotel. Untuk makan malam pula, dengan kaki yang sudah penat, kami gagahi juga berjalan ke kawasan Lee Plaza yang banyak peniaga malam yang muslim sebelum tidur malam. 



Jam 8.00 pagi hari hari berikutnya kami sudah siap-siap nak berangkat ke sempadan semula. Perjalanan ke sempadan terasa lebih singkat. Sempatlah juga memberi beras, buah-buahan dan makanan ringan di Danok sebelum beratur panjang di kaunter imigresen. Teksi hanya beberapa langkah di pintu sempadan Thai untuk kami balik menuju ke tempat parkir kereta di Changlun. Sebelum balik tak sempatlah claim balik dari agen tu wang hotel yang sudah dibayar tapi kena reject. Senang sungguh berurusan dengan agen Changlun Travel ni. Wang RM 85 dibayar balik secara penuh tanpa apa-apa caj. 


Perjalan dilanjutkan dengan melawat Pondok Tarbiah Islamiah di Derang dan Kolej Universiti Insaniah untuk berteman guru saya yang telah menjadi Dekan Kuliah al-Quran, Prof Madya Dr Azharuddin Sahil . Selepas perbincangan ringkas, saya bersetuju untuk menyambung Masters di kuliah ini . 

No comments:

Post a Comment