Hari-hari terawalku di Gontor adalah quantum leap dalam penjelajahanku meneroka keluasan ilmu agama yang tidak tercari olehku selama 15 tahun usiaku sebelum ini. Selama 15 tahun itu, aku sepatutnya menguasai begitu banyak asas agama sekiranya aku sejak usia dini mendapat peluang begini. Namun 15 tahun yang kulalui itu, aku berada di lapangan lain. Meskipun jika diukur dari sudut pandang lingkungan masyarakatku sudah dikira sebagai kejayaan, ternyata ia bukanlah kejayaan yang kucari selama ini. Aku merasa menemui hikmah yang hilang dari diriku selama ini. Jelas sekali ia bukan soal berminat atau tidak tapi yang nyatanya pengisian agama ada keperluan yang kurasakan kehausanku padanya selama ini tidak terpenuhi. Dan kini terbentang di hadapanku lautan ilmu yang luas bukan sekadar dalam deretan tulisan kaku di lembaran kitab tetapi juga dalam bentuk hamparan kehidupan sebenar yang memerlukan aku terjun menyelam di dalamnya. Ia suatu lompatan terjauh dalam waktu yang singkat - quantum leap - jika dibandingkan dengan belajar agama di sekolah petang yang telah kutinggalkan lebih setahun lalu.
Hari-hari penerokaan ilmu di Gontor bermula penerimaan kami sebagai siswa di Gontor yang memerlukan kami lulus ujian masuk merebut sekitar 600 tempat dari lebih 2000 calon siswa atau capel dari seluruh pelosok Indonesia untuk pengambilan bagi tahun ajaran 1980/81 itu. Kami pelajar-pelajar Malaysia juga tidak dikecualikan. Untunglah sempat juga berkursus pendek dengan pelajar-pelajar Indonesia yang rajin bertandang ke bilik kami, seingatku Zulkarnain Lubis (Medan ) dan Ebi Subita ( Jakarta ). Dapatlah juga beberapa istilah Indonesia yang tak pernah kami dengar dikuasai sebelum masuk ke ruang ujian. Mata pelajaran bahasa Indonesia waktu itu rasanya tidak terlalu suka kerana tatabahasa Malaysia tidak mempunyai perbezaan yang ketara untuk ujian di peringkat itu. Begitu juga dengan mata pelajar Berhitung ( Arithmetic ) yang kebanyakannya hanya operasi asas dan banyak soalan tenang fraction ( pecahan). Bezanya ia dalam bahasa Indonesia sedangkan pelajaran Math yang baru sahaja aku tinggalkan berbahasa pengantar Inggeris. Yang paling mencabar ada ujian Imlak. Mana pernah selama ini kita membaca al-Quran menulisnya semula. Sefasih mana pun kita membacanya, bahkan menghafal sebahagiannya, aku tak pernah terfikir untuk menulisnya semula. Percubaan pertamaku menulis huruf-huruf Arab yang diimlakkan oleh Zulkarnain ternyata hampir gagal total. Tapi pelajaran singkat penggunaan alif lam ta'rif dengan tambahan kata-kata depan Arab di bilik itu ternyata membuahkan hasil yang sangat bermakna. Aku lulus bersama dengan sahabatku Kassim Zainuddin yang memang pernah belajar bahasa Arab di sekolah agamanya di Miri. Dua orang lagi sahabat sepermegian, adik-beradik Iskandar dan Razali tidak lulus ujian dan ditempatkan di Kelas Khas bersama dengan pelajar Surinam, Mahfoedz ( Gustaf ) Samijadi dan beberapa pelajar Thai yang tidak boleh berbahasa Indonesia, apatah lagi bahasa Arab atau Inggeris.
Aku ditempatkan di Kelas 1 C yang berada di pojok Gedung Baru. Jumlah anggota kelasnya waktu itu sekitar 40 orang terdiri dari pelbagai peringkat umur. Inilah kali pertama aku menyaksikan anggota kelas yang bercampur aduk antara murid dewasa dengan yang semuda 12 tahun. Aku ada seorang kawan dari Sumatera namanya Muhammad Tarzan , kemudian ditukar menjadi Arzan. Untung juga ada kawan yang lebih dewasa seperti Muhammad Kamaluddin ( Palembang ) dan Imran S. Guchita. Rupanya kami tak lama di kelas ini kerana kami yang sudah pernah bersekolah di tahap Tingkatan 3 ke atas diberi peluang ikut ujian masuk ke kelas pantas yang yang digelar Kelas Eksperimen. Memang sejarah kelas ini adalah eksperimen dan berjalan sejak 1960an lagi. Setelah hampir 20 tahun ia masih berbentuk eksperimen, sekurang-kurangnya dari aspek namanya. Kelas ini membolehkan seseorang siswa menempuh pelajar Kelas 1 dan Kelas 2 dalam satu tahun pertama. Tahun keduanya mereka menempuh pelajaran Kelas 3 dan Kelas 4 juga dalam setahun. Empat kelas disingkat dalam masa 2 tahun dengan menggandakan beban mata-mata pelajaran agama, menyisihkan mata-mata pelajaran akademik yang kiranya telah ditempuh oleh mereka semasa di luar pondok dan mengekalkan mata pelajaran Berhitung asas.
Aku lulus dan ditempatkan di Kelas 1 Eksperimen B. Rupanya kelas tertinggi disusun secara stream di Gontor adalah "B". "A" dianggap sebagai simbol perfection dan "B" adalah pencapaian terbaik selepas perfect. Penamaan kelas secara simbolik memberi dampak psikologi yang baik untuk mereka yang mendudukinya agar tidak merasa terlalu pintar dan mengekalkan saingan sihat untuk mencapai kejayaan. Formula penamaan kelas ini ternyata masih kekal sampai hari ini.
Di kelas ini kami tidak lagi bercampur dengan pelajar yang baru keluar sekolah rendah. Aku dan sahabat yang baru lepas tahap Tingkatan 3 atau SMP di Indonesia ternyata antara yang termuda dengan beberapa orang pelajar yang lebih dewasa. Yang seusiaku adalah Hasanain (Lombok) , Marfendi (Bukittinggi), Sobahussurur (Lamongan), Ahmad Akbar (Jakarta), Ahmad Chaeruddin (Jember). Beberapa pelajar yang agak dewasa seperti Kamaluddin, Zakaria ( Sumbawa ), Imam Mukhtar (Blitar), Ma'tuf Naro dan yang rajin bersembang denganku Imran Elias S Guchita (Padang). Sahabat-sahabat lain yang masih kuingat di Kelas 1 Eksperimen ini umur mereka tak berapa jelas seperti Hadi Mukhlison, Fathan Afghoni, Muhammad Kurdi, M Sya'roni, M Fuadi, dan lain-lain. Guru Kelas kami adalah Ustaz Bakhtiar Syamsuddin dari Sulawesi.
Ust Bakhtiar sebagai wali kelas merupakan tonggak yang menghidup budaya mondok di Gontor sepanjang kami di Kelas 1 Eksperimen. Sebagai wali kelas, beliau bertanggungjawab dalam mengajar mata pelajara Bahasa Arab dan cabangnya yang dianggap mata pelajaran terpenting. Selain itu beliau jugalah yang membentuk budaya belajar kami dari sejak bangun tidur hingga tidur semula. Akan sukar kita mencari sekolah yang guru kelasnya bertanggungjawab memandaikan dan mengasuh kita sepanjang mata kita celik. Dari sudut pergaulan, Ust Bakhtiar bukanlah sosok yang kita rasa selesa bergaul kerana beliau kekurangan sense of humor. Tapi perawakan beliau yang sangat serius, mengambil berat, bersungguh-sungguh bersama kita hampir sepanjang hari membuat kita sukar untuk menafikan bahawa beliau memberi impak terbesar kepada kami sepanjang tahun yang pertama.
Pengajaran bahasa Arab di tangan Ust Bakhtiar dalam beberapa hari yang pertama memberiku rasa keyakinan yang begitu tinggi untuk boleh menguasai bahasa Arab dalam waktu yang singkat. Membandingkan dengan cara belajar bahasa Arab yang pernah kurasai di sekolah agama di Sibu, ternyata di Gontor bahasa Arab itu adalah bahagian dari kehidupan sebenar yang kita tak mampu hidup wajar tanpanya. Di sekolah agama di Sibu dahulu sempat juga diajarkan beberapa istilah asas Arab tentang anggota tubuh; diajarkan perkataan dengan maksud dan tak pernah pun ditegaskan untuk menghafal. Itu pun rasanya sempat dua atau tiga sessi belajar. Tapi di sini, bahasa Arab bagai nafas dalam kehidupan seharian pelajar. Ia bergerak bersama dengan setiap derap kehidupan harian pelajar itu sendiri.
Ust Bakhtiar mengajar dengan metodologi yang bukan sahaja sudah baku, terselaras di seluruh urat sendi kami pelajar baru, tapi juga menanamkan minat dan keyakinan yang tinggi bahawa bahasa itu akan jadi milik kami dalam waktu yang singkat, sesingkat 6 bulan ! Bayangkan kemampuan bicara berbahasa Arab yang tidak pun aku dengar dari pelajar yang bersekolah agama di Malaysia walaupun sampai Tkt 6, tapi di Gontor hanya memerlukan 6 bulan untuk menguasainya dan selepas itu pelajar hanya boleh menggunakan bahasa Arab atau Inggeris dalam komunikasi hariannya atau .... masuk Mahkamah !! Ya ternyata ada mahkamah untuk menyidang mereka yang melakukan pelanggaran bahasa.
Dari perkataan termudah "kitabun", "haza kitabun", "ma haza ?" kami bernafas bersama dengan bahasa Arab itu sendiri. Kelas-kelas hari pertama kami diceriakan dengan teriakan gemuruh berlawan-lawan dengan kelas satu atau satu eksperimen lain di lokasi berjauhan yang ternyata juga budayanya teriak-teriak. Mula-mula aneh bagiku kerana di sekolah kami dahulu, sekolah-sekolahnya biasany senyap kerana hanya guru sahaja yang biasanya bercakap di depan kelas. Gontor di awal tahun memang gegap gempita dengan teriakan berbahasa Arab sehingga kita rasakan bahasa Arab itu adalah bahasa kita sendiri, adalah diri kita sendiri dan bakal jadi makanan harian yang kita akan rasa lapar tanpa menunya. Dari nama-nama benda yang ada di sekeliling kita, di masukkan dengan pembezaan muzakkar ( maskulin ) dan muannath (feminin ), diber kata depan, mencipta pelbagai soal jawab menggunakan struktur mudah itu menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa lisan, bukan lagi bahasa kitab yang dihafal secara kaku.
Ust Bakhtiar sudah ada di Kelas sejenak selepas kami selesai solat Subuh. Kerana awalnya aku tidak tinggal di rayon bersama pelajar Indonesia, aku tidak tahu bahawa selepas Subuh mereka langsung ke kelas untuk muwajahah dengan ustaz wali kelas. Beberapa hari terawal aku tidak hadir kerana menganggap ia bukan kelas formal. Ustaz Bakhtiar tanya kenapa beberapa hari itu aku tak datang dan aku jawab aku tak tahu ada kelas itu. Rupanya memang budaya berzaman wali kelas mengambil inisiatif mengadakan kelas tambahan seawal selepas subuh. Di situ juga terasa proses pengukuhan berlaku bagi materi pelajaran yang semalam dan sebelumnya. Dari mendengar, menyebut, membaca dan menulis, semuanya dilatihtubi secara begitu kerap sekali sehinggu murid yang paling lemah pun tidak akan tertinggal menguasai asas bahasa ini. Minggu-minggu pertama kami serasa segalanya bahasa Arab sehingga pelajaran lain yang kebanyakannya merupakan pengulangan pengetahuan yang telah diperolehi di luar tidak terasa sangat wujudnya disebabkan dominasi proses pembelajaran bahasa Arab yang begitu intensif sekali.
Keluar dari kepompong kehidupan anak-anak luar negeri, aku merayap-rayap di rayon pelajar baru dan baru tahu rupanya mereka banyak sekali program pengukuhan yang dibuat oleh pelajar-pelajar Kelas 5 yang diamanahkan sebagai pengurus-pengurus rayon. Dari sejak bangun tidur, kemudian beratur di bilik mandi, solat subuh berjamaah, diberi pelajaran mufrodat, sedikit kata-kata nasihat, bergerak sesegera mungkin menemuai wali kelas di kelas masing-masing bagaikan aliran darah melalui pembuluhnya tanpa memerlukan kata perintah untuknya berlaku secara rutin dan rela hati. Mula-mula memang sangat payah memaksa diri dari kehidupan yang dahulu terlalu santai dibandingkan dengan Gontor yang setiap detiknya berharga dan harus diisi dan diisi dengan makna kehidupan. Baru kurasai betapa bernilainya waktu untuk kita kejar pengisiannya. Dahulu aku ingat sudah bersungguh-sungguh belajar untuk mengungguli persaingan di LCE. Tenyata kesungguhan dahulu itu baru peratusan kecil dibandingkan dengan apa yang harus kubuat untuk survival di Gontor. Kali ini bukan lagi kerana bersaing untuk unggul, tapi untuk menjadi wajar dalam budaya belajar di Gontor. Tanda aras bersungguh-sungguh di Gontor memerlukan kita tidak menyisakan masa barang sedikit pun untuk hal yang sia-sia kerana ia akan menjadikan kita ketinggalan dari kewajaran dalam skala kesiswaan Gontor.
Ust Bakhtiar menjadi wajah yang paling lekat dalam imej mental di kepalaku kerana dia sudah menjadi wajah yang kudepani dari subuh hingga ke malam. Darinya bukan hanya bahasa Arab yang kuperolehi peningkatannya secara mendadak - quantum leap - tapi juga makna kehidupan itu sendiri. Itulah saksi hidup yang menjadi model kesungguhan, keikhlasan, keteraturan hidup, nilai hormat, kasih-sayang, budaya cinta ilmu, kekeluargaan yang mengisi kerinduan kepada keluarga yang jauh. Tidak ada rasa sunyi, kesendirian, tersisih, waktu lompong tanpa makna yang dirasai kerana pengisian waktunya sangat padat, tepat, rutin dan akhirnya menjadi kebiasaan yang tidak membebankan.
Kehidupan di luar kelas adalah 'kelas' dengan sendirinya menjadikan kita terasuh, diperhatikan, dibimbing dengan begitu sungguh-sungguh dan menuntut kesabaran sama ada oleh yang mengasuh atau kita sendiri yang diasuh. Mungkin dengan title pelajar luar negeri ( negara ) kami sedikit dipandang elit oleh pelajar Indonesia mungkin kerana ditempatkan kediaman sendiri, tidak bercampur dengan pelajar Indonesia. Dari segi kemudahan, tidak ada yang terlalu istimewa. Tempat tidur sama terhimpitnya dengan pelajar Indonesia di rayon. Tempat makan kami yang mula dipindahkan ke rumah Bu Bakir juga bersama dengan pelajar Indonesia lain. Yang sedikit lebihnya adalah keberadaan guru pembimbing khusus bersama kami, Ust Abdullah Muhsin ( Magelang ).
Ust Abdullah Muhsin adalah guru pembimbing pertama yang aku kenali bersama anak luar negeri yang lain. Beliau lebih banyak berperanan sebagai penasihat dan penanggungjawab urusan yang berkaitan dengan izin tempat tinggal di Indonesia. Beliau bukan seorang yang banyak bercakap tapi sentiasa mengukir senyuman. Beliaulah yang membawa kami ke Surabaya berulangkali untuk mengubah visa sosial budaya kami sehingga kami diberi visa menetap sementara selama belajar di Indonesia. Perjalanan kami ke Surabaya buat pertama kalinya dengan Ust A Muhsin memberi kami peluang untuk menyaksikan satu sisi lagi kehidupan masyarakat Jawa di perbandaran besar. Mula-mulanya kami menginap di rumah IKPM di Wonocolo. Di antara waktu senggang urusan imigrasi di Jalan Kayun, kami dibawa makan kali pertamanya di restoran Padang. Tak pernah kulihat hidangan begitu banyak yang disajikan tanpa ada apa-apa permintaan dari kami. Sahabat-sahabat pun makan dengan lahapnya menyapu apa sahaja yang terhidang. Waktu membayar pun tiba dan harga makanan yang telah kami habiskan tadi ternyata mengejutkan kami, tergolong mahal untuk poket kami pelajar yang tak berapa ada duit. Ustaz A Muhsin pun tersenyum dan memberi satu pengajaran simple tapi penting, " Makanya kalau mahu makan tanya dulu bagaimana menghitungnya dan berapa harganya ?" Itu pelajaran penting bagi kami bermusafir. Selepas itu kami sangat berhati-hati mengeluarkan wang untuk makan bahkan kebanyakannya di warung-warung sahaja. Harga makanan warung waktu itu relatif murah dibandingkan dengan Malaysia. Tukaran ketika kami mula sampai ke Indonesia adalah Rp 260 sahaja untuk 1 ringgit. Makan di warung boleh serendah Rp 250 sahaja dan cukup mengenyangkan. Kenderaan ke sana kemari pun kebanyakannya dengan bemo atau bas yang bayarannya hanya beberapa puluh sen nilai wang Malaysia ketika itu. Naik beca pun boleh dikira kemewahan tapi dengan tambangnya yang biasa hanya Rp 500 ke Rp 1000 menjadikannya ia pengangkutan murah sahaja bagi kami. Di antara tempat pertama kami pergi ke Surabaya adalah Kebun Binatang di Wonokromo. Kebetulan ia juga sebelah Terminal Bas terbesar di Surabaya. Begitu biasanya kami dengan Kebun Binatang itu sehingga ia menjadi rutin yang tak terlepaskan setiap kali kami membawa pelajar baru ke Surabaya selepas itu.
Bila kembali ke Pondok dari pemergian sebentar ke Surabaya, kehidupan padat dan berkejar-kejaran dengan waktu kembali semula. Kami perlu segera kembali kepada rutin kehidupan pondok yang begitu dinamik dan memerlukan usaha ekstra gigih untuk mengejar ketinggalan beberapa hari selama di Surabaya. Kami bernafas semula dengan bahasa Arab dan rutin pondok. Kami seakan-akan kembali ke kampung halaman sendiri. Pondok sudah terasa seperti famili sendiri dan kejauhan darinya membuat kami terasa dipanggil kembali. Berada dalamnya terasa berkampung di rumah sendiri meskipun dalam setting yang berbeza dari keluarga sendiri di kampung halaman. Kami sudah menemui keluarga baru yang dirajut dengan kasih sayang, saling memperhatikan, saling memberi, saling peduli, saling mendorong, saling menerima.
Kemuncak pendidikan di Gontor di luar mungkin lebih dikenal dengan bahasa Arabnya serta hal-hal yang dikaitan dengan penguasaan ilmunya. Tapi bagi diriku, kemuncak itu kutemui dalam Pekan Perkenalan ( Khutbatut taaruf)nya yang bakal menyusul dalam posting berikutnya.
Cerita yang menarik dengan bahasa mudah difahami.Teruskan berkarya.
ReplyDeleteTerima kasih atas tanggapannya. Saya sebenar bukan tengah berkarya. Sekadar mengungkapkan pengalaman dalam bahasa yang paling dekat dengan pengalaman itu sendiri. Alhamdulillah dapat dimengerti. Jangan segan menegur apa yang patut.
ReplyDeleteMoga menjadi inspirasI buat bakal santri di pmdc
ReplyDeleteAssalamualaikum..Saya dah lama berminat nak hantar adik saya belajar dkt pondok gontor ni. Dia berumur 18 tahun tapi tak ada background pelajaran agama yang intensif melainkan pelajaran basic agama masa sekolah dulu & jg tak ada basic lgsg bahasa arab. Sempat lg tak jika dia nak mendaftar masuk ke pondok ni memandangkan umur dan boleh dikatakan minim sngt psl pljrn agama? Boleh tak saya nak tahu lebih lanjut drpd Encik berkenaan dgn prosedure masuk & student visa? Mgkn melalui whatsapp/email? Ada tak persatuan/group alumni pelajar gontor utk rakyat Malaysia?
ReplyDeleteJazakallah khairan