Kemuliaan diri adalah satu pencapaian yang perlu diusahakan dengan niat tulus dan berterusan. Ia bukan hak yang boleh dituntut tanpa usaha kerana tidak ada siapa yang memberikannya secara percuma dan rela hati. Seseorang tidak menjadi mulia dengan begitu sahaja meskipun lahir dari ibu bapa yang dimuliakan. Ia mungkin pada awalnya dimuliakan orang kerana rasa hormat terhadap ibu ayahnya tapi kemuliaan yang menumpang itu akan pudar bila seseorang tidak membina aset kemuliaan tersendiri untuk dirinya sendiri.
Kemuliaan diri tidak dibina dalam sekelip mata terutama sekali di mata orang yang masih asing pada diri kita. Ia dibina dengan memulakan hubungan dan merajutnya dengan menjaga tutur kata dan perbuatan. Tutur kata dan perbuatan sehalus sutera pun tidak mmberi makna jika tidak dilandasi ketulusan hati. Oleh kerana prosesnya lama dan menuntut pengorbanan, ramai yang terkandas di tengah jalan kerana tiada kesabaran. Bila terasa tidak dihormati habis merata alam dipersalahkan.
Ada yang menyangka kemuliaan diri tak akan dirasa bila sejak mula memang sudah tidak dimuliakan orang. Ia bermula dari diri-diri yang tidak mulia yang berhasrat mencapai kemuliaan dengan memuliakan manusia lain. Hanya orang yang memuliakan orang lain yang akan dimuliakan orang. Menghargai orang lain adalah kunci untuk mencapai kemuliaan diri.
Kemuliaan tidak dicapai dengan sikap tidak memperdulikan perasaan orang lain, apatah lagi hanya tahu perasaan diri yang selalu merasa dilukai dan selalu merasa ia perlu dibalas dengan melukai. Tidak ada orang mahu peduli dengan perasaan kita jika kita tidak mempedulikan perasaan orang lain. Apatah lagi rasa tidak dihargai dibalas dengan reaksi yang disengajakan untuk menyakiti. Kononnya untuk memberi pengajaran kepada orang yang tidak menghargai kita, tapi hakikatnya harga diri kita sendiri yang parah tercalar. Pulihnya dari luka bukan sebentar bahkan mungkin tidak pulih walau sedasawarsa.
Berbuat baiklah kepada orang lain kerana ia adalah perintah Allah. Jika kita berbuat baik hanya untuk menjaga perasaan orang lain pula, ia tidak bernilai jika penghargaan yang diperolehi tidak memperdulikan redha Allah. Seorang mungkin popular kerana disukai ramai, tapi bukan mulia. Rama manusia suka kepada kita tidak menjadi ketentuan Allah juga redha kepada kita. Diredhai Allah pula tidak semestinya akan disukai manusia kerana manusia lebih cenderung menilai dengan nafsu melebihi penilaiannya dengan iman.
Dengan mencari redha Allah, kita telah membebaskan diri dari berbuat baik semata-mata mengambil hati manusia. Jadi kita tak perlu menjadi orang lain, tapi tak semestinya berbeza dari orang lain. Kita memilih untuk melakukan sesuatu kerana pilihan kita sendiri, bukan kerana seorang nak kita melakukannya. Jadi benarlah untuk mulia, jangan hidup dalam kehendak orang lain. Tapi jangan pula terlalu mengagungkan prinsip diri kononnya untuk memperolehi kemuliaan acuan diri tanpa mempedulikan keredhaan Allah. Itulah erti ketulusan dan penerimaan diri sebagai hamba yang mesti tunduk kepada ketetapan Tuhannya.
Bila orang tidak memuliakan kita pula jangan sering menyangka orang salah sangka tentang diri kita. Kita memang tidak boleh memaksa pandangan orang kepada kita kerana orang lain hanya boleh menilai kita dari yang zahir dari kita. Hanya Allah yang boleh mengetahui apa yang tersirat di hati kita.
Tidak mengapa kalau orang salah sangka dalam hal yang kita tak mampu nak tampilkan dengan baik asalkan kita bukan saja-saja nak nampak tak baik dengan alasan, "Don't judge a book by its cover." Kebanyakan manusia tak sempat pun mendalami siapa diri kita lebih-lebih lagi kita tak banyak berinteraksi dengan mereka. Oleh itu, setiap detik yang ada manfaatkan untuk membina kemuliaan diri yang tulus tanpa kepura-puraan.
Mencari kemuliaan diri adalah satu kemestian, bukan pilihan kerana memilih hidup tanpa kemuliaan sama halnya dengan mencampakkan diri dalam kehinaan. Manusia mulia bukan hanya bersinar pada personaliti dirinya, tapi menyinari kehadiran manusia lain yang ada di sekitarnya.
No comments:
Post a Comment