Sunday, October 2, 2011
Ya bunayya ! ..... wala tamsyi fil ardhi maraha !
Begitulah panggilan mesra Luqman al-Hakim kepada anaknya di beberapa ayat surah Luqman, "Wahai anak kecilku !" Kekecilan dalam pandangan ayah itu adalah punca yang memuncakkan kasih kepada anak. Hanya ayah yang tahu bagaimana kasihnya kepada anak dan anak pula meskipun tahu ayahnya kasih kepadanya, tidak akan setahu ayah itu sendiri tentang takat kasih di hatinya. Ungkapan kasih tiada terbatas boleh menjadi pemanis kata, namun ungkapan itu sendiri tidak mampu menggambarkan betapa luasnya wilayah liputan kasih ayah kepada anaknya.
Anak mungkin terasa rimas dengan kasih ayahnya. Rimas itu mungkin akan berkembang menjadi kebencian oleh anaknya. Ayahnya bukan pakar pemberi kasih dalam konteks fizikalnya. Anak-anak hanya mampu membaca bahasa badan. Marah ayahnya diterjemahkan sebagai ngauman yang menjadi igauan. Manjaan ayah bahkan diterjemahkan sebagai bodek yang meloyakan. Namun yang tersirat di hati ayahnya yang sarat dengan kasih sayang tiada kan dimengerti oleh mereka.
Anak-anak kian membesar, lalu mendewasa sudah punya dunia sendiri. Tidak seperti masa kecilnya, mereka melihat ayah ibu sebagai dunia mereka. Mereka sudah merasa sudah boleh menjaga diri. Ibu bapa sudah tiada kuasa melarang. Mereka sudah punya kodrat diri bila merasa sumber wang mereka tidak lagi 100% dari ayah ibu, meski secuil wang yang diperolehi itu hanya mampu menampung sebahagian kecil keperluannya untuk perjalanan kemandiriannya.
Ibu bapa mulai belajar merelakan mereka pergi dan selubung risau dan khuatir diri menguasai, takut akan terjatuh, tersungkur atau terlungkup. Ibu bapa yang sudah sekian lama menyaksikan ganas dan peritnya kehidupan kian gerun dan kecut hatinya membayangkan anak-anaknya melalui hutan rimba yang tiada diketahuinya di mana sang pemangsa mengendap untuk menerkamnya dan meninggalkannya terkapai tiada siapa diharap memberikan bantuan. Mereka mulai menghujatkan pandangan ibu bapanya kerana dianggap sudah ketinggalan info di zaman serba nyaman. Hujah klasik lagi bukan bahasa mereka. Hujah berteknologi adalah bahasa canggih penuh kesaktian yang mereka harap untuk menjadi sandaran pelepas diri dari norma kehidupan.
Kesombongan sudah menguasai diri. Ibu bapa bukan lagi menjadi teladan terpuji. Guliran pedaya dunia yang menyilaukan dianggapnya telah meninggalkan ibu bapa jauh dalam belantara kekolotan yang tiada layak untuk memberinya nasihat bererti. Bukan sahaja dunia nyata dianggapnya tidak berpijak pada realiti. Bahkan realiti virtual yang memberinya ruang meneroka tanpa batas kini dianggap bagai dunia sebenar yang lebih bererti. Dia sudah merasa boleh bersombong diri kepada manusia yang memberi kasih sayang tiada terperi.
Apakah lagi yang mampu menyelamatkan anak yang kini terpana dan tenggelam dalam sombong diri dalam lautan dunia rekaannya selain dari tawakkal dan tawakkal akan kuasa Ilahi yang menguasai hati ?
Allahumma, selamatkan anak-anakku dari bencana kesombongan yang mungkin mengendap untuk memangsa mereka. Jika sudah ada benih-benih kesombongan zaman siber menggerogoti hati mereka, berilah kekuatan kepada mereka melenyapkannya. Jika sudah di luar kuasa mereka, berikan kami kekuatan bersabar dan kurniakan kami kaffarah atas dosa kami dalam kurniaan sabar itu.
Hanya Engkau yang mampu membolak-bolakkan hati sebagaimana Engkau sahaja berkuasa menetapkan hati. Tetapkan hati kami dan anak-anak lama atas landasan iman yang kukuh ke hadrat-Mu !
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment