Friday, December 10, 2010

Allah sayang padaku

"La yukallifu Llahu nafsan illa wus'aha"
Allah tidak memberi beban kepada satu jiwa melainkan (pada kadar) yang mampu ditanggung olehnya ....

Di saat aku memerlukan begitu banyak organ tubuhku dalam keadaan sihat untuk menjalankan amanah-amanah yang ditanggung di dunia ini, dapat kurasakan betapa Allah begitu kasih kepadaku sedangkan aku hanyalah hamba yang kurang banyak bersyukur atas kurniaan-Nya. Aku hanyalah hamba-Nya yang sering dilalaikan oleh rasa ingin menikmati segala sajian kenikmatan dunia.

Namun bila Allah memberi peringatan kepadaku hanya sedikit sahaja nikmat-Nya yang ditahan sementara dan aku tetap boleh meneruskan kehidupanku seperti biasa serta berkecukupan untuk menanggung segala bebanku. Rahiim-Nya diri-Mu, Ya Allah !

Thursday, December 9, 2010

Oh Mukaku .....

4 Dis 2010 :
Siapa tak sedih bila wajah yang selama ini menjadi andalan mengekspresi benak hati dan menaut kasih kepada insan lain tiba-tiba kehilangan ekspresi sebenarnya akibat satu penyakit yang sendiri baru sahaja mengetahui namanya .... BELL'S PALSY. Saya sungguh terkejut semasa memandu kereta ke Sungai Siput untuk menjemput adik ipar saya secara tiba-tiba saya rasa mata kiri tak ikut sama-sama pejam dengan mata kanan. Mula-mula saya fikir ia adalah kesan jangka panjang mata kiri yang sudah lama tidak bisa dimanfaatkan untuk melihat kerana sudah tertutup katarak semula selepas pembedahan memasang lensa palsu yang tak berjaya pada tahun 2003. Tanpa mencurigai apa-apa saya masih sahaja memandu keluar dari Sg Siput untuk menuju ke KL.

Wajah saya terasa semakin tidak selesa. Bibir kanan terasa ditolak keluar oleh bahagian gigi kanan yang memang telah rongak. Masih sahaja saya fikir mungkin kerana posisi gigi yang sudah agak terkeluar dan cenderung jongang. Sambil melirik ke cermin pandangan belakang, saya masih tidak perasan mulut saya sebenarnya sudah nampak terherot.

Rasa tidak selesa yang mulai tidak dapat ditoleransi lagi memaksa saya untuk berhenti di perhentian sebelah lebuhraya sebelum menanjak ke bukit sekitar Gua Tempurung. Selepas makan kendali kereta telah diserahkan kepada anakanda yang baru sahaja dapat lesen memandu untuk mengelakkan kemungkinan buruk berlaku sepanjang perjalanan berikutnya.

Dalam posisi sebagai penumpang itu barulah saya sedar sebenarnya sebelah muka telah kehilangan ekspresi kerana otot-ototnya tidak dapat bereaksi mengikuti maksud emosi sebenar. Dalam kepala saya tak ada istilah lain yang terpancar selain daripada 'mild stroke' iaitu suatu istilah yang saya dengar dari superior saya di MLNG. Gejala kencing manis yang telah memaksa saya mengubah diet dan mengambil ubat kencing manis sejak 2007 lagi menguatkan lagi keyakinan saya bahawa apa yang saya alami adalah tidak kurang dari gejala ahmar tahap ringan. Terbayanglah segala kemungkinan buruk yang menakutkan dan menggelapkan masa depan di saat diri terbeban oleh begitu banyak komitmen terhadap diri, keluarga, masyarakat dan umat. Kalau memang sudah takdir Allah, apa yang kita boleh buat selain dari redha atas kehendak-Nya.

Setiba di rumah adik ipar di Kota Damansara, perhatian serius terhadap apa yang baru sahaja dialami masih belum timbul. Mungkin kerana keadaan anggota badan lain yang masih berfungsi normal membuat saya terlupa sejenak bahawa apa yang saya alami memerlukan perhatian yang serius.

5 Dis 2010:
Sehari-hari bersama ke Bangi untuk melihat anak puteri saya yang sedang mengikuti program PERMATApintar saya tidak berapa hirau terhadap keadaan diri walaupun masih rasa tidak selesa.

Seperti keadaan yang baru dialami semalam, kesukaran makan dan minum amat ketara. Kalau minum dari hujung botol, air terasa hendak mengalir di celah bibir sebelah kiri yang tak dapat dikatup dan ditekap seperti biasa. Lebih sukar lagi minum air dari permukaan yang lebih lebih besar seperti gelas dan kole. Makan pun hanya terasa digigit oleh gigi-gigi sebelah kanan. Lidah sebelah kiri terasa sedikit kebas dan gigi pun seperti kebas selepas dibius sebelum gigi dicabut. Air mata yang terkumpul di antara kelopak yang tak berapa terkatup kadang-kadang jatuh seperti tetes hujan tanpa disedari.

Dalam perjalanan pulang, akhirnya isteri tercinta menyuruh membeli semula strip pemeriksaan kadar glukos dalam darah yang telah lama tak terpakai untuk memantau bacaan glukos sebenarnya pada masa ini. Kebetulan pula ada tawaran murah oleh Guardian untuk membeli alat pemeriksaan tekanan darah dengan belian melebihi RM 50. Tanpa berfikir panjang alat yang telah lama hendak dibeli itu pun masuk dalam senarai terbaru peralatan penjagaan kesihatan yang bakal menghuni rumah kami.

Tanpa menunggu sampai di rumah, tekanan darah diuji dan bacaan systolic melepasi paras 150 sangat mencemaskan. Ketika itu bacaan diastolic tidak lagi menjadi perhatian kerana tidak memahami apa erti bacaannya jika melepas paras 90.

Sesampai di rumah, kadar glukos pun diambil dan bacaannya melepas 14 mmol ! Semakin kuat kecurigaan bahawa apa yang dialami adalah tidak lain dari mild stroke yang selama ini ditakuti. Tanpa membuang masa, anakku menghantar ke klinik dalam kampus di saat manusia sekeliling sedang dibuai tidak menjelang tengah malam.

Doktor yang bertugas, seorang pemuda Cina yang nampak begitu teliti menyuruhku membuat beberapa ujian. Tekanan darah katanya baik, hanya 138. Terfikir olehku adakah alat yang aku beli tidak begitu tepat ? Sedikit lega di hati. Kemudian dia menyuruhku mengembungkan pipi. Seperti yang kudapati sejak semalam memang susah nak mengembungkan pipi . Bahkan nak meludah macam biasa pun tak dapat. Hanya dahi kanan yang bergerak ketika disuruh menggerakkan dahi ke atas. Dengan tangan kiriku, aku disuruh menolak, menarik dan menggenggam tangannya. Normal ! Alhamdulillah.

Selepas semua itu, Dr kata tak berapa pasti apa puncanya tapi bukan mild stroke. Sedikit lega rasa di hati. Sambil menambah katanya mild stroke menyebabkan semua anggota badan sebelah kiri lumpuh. Dia juga tidak dapat memberi jawaban pasti sama ada gejala yang saya alami adalah kekal atau sementara.

Dengan andaian ia adalah viral infection semacam radang saraf, dia merekomenkan saya mengambil prednisone sebanyak 6 tablet malam itu dan 6 tablet pagi esoknya. Saya juga dibekalkan dengan sekeping laporan pemeriksaannya untuk dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Besar Ipoh keesokan harinya. Yang peliknya pembantu klinik menulis hanya sebiji tablet untuk 3 kali sehari di bungkusan ubat yang aku terima. Bila kutanya semula, budak tu ulang balik seperti apa yang ditulisnya. Tanpa menghiraukan untuk bertanya semula kepada Dr, dan risau akan overdose, aku pulang dan makan sebiji sebelum tidur malam.


Pergerakan otot di bahagian bibir sebelah kiri sudah mulai terasa. Atau hanya kesan tarikan otot bibir kanan ? Tak pastilah. Tapi aku rasa lebih yakin akan ada perubahan banyak atau pun sedikit.

Bermacam-macam bacaan kuterokai dari internet selepas menerima diagnosis Dr berkenaan dengan Bell's Palsy yang baru kuketahui malam ini. Penerokaan pertama dari koleksi Wikipedia membuka ilmu baru tentang fenomena penciptaan Allah pada tubuh yang sudah 46 tahun diamanahkan. [ http://en.wikipedia.org/wiki/Bell%27s_palsy ]

Di antara fakta yang melegakan adalah ternyata Bell's palsy berkemungkinan 85% daripada pengidapnya yang sembuh sepenuhnya atau hampir sepenuhnya walaupun tanpa rawatan. Namun rawatan secara medis atau alternatif mempercepatkan lagi prosesnya.

Tumpuanku semakin tertumpu kepada puncanya yang aku jangka lebih banyak dari kesan diabetes.

6 Dis 2010 :
Dalam cemas dan harap aku menggagahkan diri ke Jabatan Kecemasan Hospital Besar Ipoh. Selama ini tak pernah terbayangkan oleh aku bahawa suatu hari aku adalah pasien di Unit Kecemasan. Keadaan sedikit hiruk pikuk dengan banyaknya ambulan yang menurunkan pesakit-pesakit yang terbujur ditolak ke ruangan cemas itu ikut mempengaruhiku secara psikologis. Keyakinan yang kuperolehi semalam sedikit susut bila diposisikan sejajar dengan manusia yang sedang diterima dalam rawatan CEMAS. Sampai giliranku, bacaan darahpun diambil dan masih positif tak menunjukkan apa-apa gejala hipertensi.

Bersama mereka yang tidak dikategorikan cemas berat, sambil menunggu di ruang tunggu, bermacam-macam perkara bermain dalam kepala memikirkan apa yang bakal terjadi pada diri. Mungkin bukan diri sangat yang dikenang melainkan isteri, anak-anak, ayah-bonda dan keluarga yang menyayangi jika apa-apa yang tak dikehendaki terjadi.

Saat dipanggil oleh doktor masuk ke ruangan pemeriksaan, gerak-gerak doktor yang nampak bergegas ke sana ke mari sebelum melayani diri sebagai pesakit sedikit memberi kesan kerisauan sama ada diri akan diperiksa secara rapi atau tidak. Dr perempuan muda berbangsa Cina mengulangi semula ujian seperti yang dibuat oleh doktor di klinik kampus semalam. Sekali lagi doktor memberi keyakinan ia bukan mild stroke. Dengan andaian yang sama bahawa ia adalah viral infection, prednisone lagi yang dimasukkan dalam preskripsi. Rupanya betul kata doktor malam tadi bahawa dosisnya adalah 6 tablet sehari ! Padahal pagi tadi hanya kuambil 1 tablet. Untuk percubaan ( hah !) selama 2 minggu sebelum aku dirujukkan semula kepada pakar di Klinik Pakar Hospital Besar.

Selepas ini memang tak habis-habisnya aku meluncuri fakta-fakta maya untuk mengetahui sebenar-benarnya apa yang sedang kualami.

7 Dis 2010 ( 1 Muharram 1432 )
Alhamdulillah, cuti umum memberikan aku masa untuk menerokai lebih lanjut lagi tentang segala hal berkaitan dengan Bell's palsy (BP) yang sedang kualami.

Seawal pagi lagi aku telah menelan dosis 5 tablet untuk kali keduanya. Otot di sekitar bibir bahagian kiri ada sedikit terasa reaksi terhadap emosi yang hendak dicetuskan. Tetap sahaja nampak terserong. Dah tentu mengambil masa yang lama dan kemajuannya hendaklah dihadapi dengan sabar kerana ia berlaku sedikit demi sedikit. Begitu mengikuti keyakinan dalam diri.

Sepanjang hari ini, apa yang sangat mengejutkan adalah bacaan darah yang tak pernah kubayangkan. Adakalanya melepas para 20 mmol ! Masya Allah. Apa yang sedang berlaku pada diriku ? Adakah ini bacaan darahku selama ini tapi tidak kusedari. Mungkin kerana merasa biasa-biasa sahaja membuatku tidak hirau. Kalau ku ingat-ingat saudara isteri yang meninggal koma pun, kata isterinya, punya bacaan kadar gula dalam darah yang mencapai hingga 20 mmol, memang mencemaskan.

Untung juga, Hakim, graduan universitiku yang punya sahabat menderita kencing manis sehingga mencapai bacaan kadar glukos sehingga 33 mmol yang sekarang katanya mulai pulih hasil rawatan tradisional memberiku keyakinan bahawa apa yang kualami pun boleh diatasi dengan cara yang sama. Baik sungguh Hakim ini. Begitu kutanya, bukan sahaja maklumat yang diberi, bahkan herba yang dimaksudkan pun siap dibeli dan dihadiahkan kepadaku dan sudah mulai ku minum sekali sejak semalam.

Sehingga ke malam walau dengan makan yang sangat minimum pun bacaan kadar glukosku masih pada tahap 12 mmol. Macam mana ni ?

8 Dis 2010 :
Sebaik sahaja bangun pagi, aku mengambil bacaan darah, selepas makan glicazide semalam pun masih pada paras 10 ++. Apa yang boleh kubuat ? Bacaan tertinggi hari ini adalah 24.9 mmol ! Sekali lagi MASYA ALLAH tercetus dalam benak hati. Apa yang bakal terjadi kepadaku ?

Dilekakan sedikit oleh tugasan dan mesyuarat sehari suntuk ini, aku agak kurang risau dengan keadaanku walaupun sekali-sekali tersentak oleh bacaan gula dan tekanan darah dari peralatan yang kubawa sampai ke pejabat.

Dalam banyak-banyak bacaan yang kuperolehi hari ini, selain pemakanan yang perlu dikawal serta ubat yang perlu diambil, sangat banyak sekali anjuran kepada 2 perkara : turunkan berat badan dan banyakkan minum air kosong.

Pulang sahaja ke rumah, aku bertekad hendak berjalan sejauh mungkin dalam kampus sebelum menjengahan diri untuk solat maghrib di masjid. Kebetulan pula isteri sebut-sebut tentang diri yang kurang bersenam. Dengan perasaan bercampur jengkel oleh ego yang ditegur, untuk pertama kali sejak 5 tahun tinggal dikampus aku telah melengkapi jalan-jalan yang umpama jarak keliling kampus sebelum sampai tepat di masjid pda waktu maghrib. Baju solat pun anakku yang hantar ke masjid untuk kupakai selepas mandi di masjid. Ringan rasa tubuhku. Dalam pada itu teringat pula aku dengan GPS yg baru dibeli pada PC Show hari Sabtu yang lepas tak terbawa supaya aku tahu berapa jarak perjalananku tadi untuk merancang gerak senam pada masa akan datang. Terima kasih, isteri tersayang.

Hasil pembacaanku dari internet malam ini memeranjatkan. Rupanya prednisone yang kumakan selama dua hari ini adalah punca kenaikan glukos itu.


9 Dis 2010 :
Pagi-pagi lagi aku berjalan kaki menuju ke masjid dengan tekat selepas solat subuh akan kusambung berjalan kaki menuju ke tempat 'punch card' dan mengelilingi kampus lagi. Di antara rintik hujan pagi, aku pun lupa siapa yang memberiku tumpang naik motosikal kerana telah ketinggalan oleh seseorang yang mengimami solat subuh pagi itu. Selesai salam kuteruskan lagi langkahku. Di akhir perjalanan, sempat juga ditimpa hujan renyai-renyai.

Sebaik sahaja membuka facebook pagi ini, sahabat dekat, Ust Nuri bertanya khabar melalui FB chat. Bila ceritakan tentang bacaan gula hingga melepas paras 20 mmol, beliau tertanya sama ada aku perlu suntik insulin atau tidak. Langsung ligat otakku mencari bacaan berkaitan dengan bila insulin diperlukan. Tapi tak kefahami sepenuhnya.

Sejak pagi telah kuputuskan untuk berkonsultasi bagaimana hendak mengatasi masalah kena makan prednisone dalam keadaan bacaan kadar glukos yang sangat mengkhuatirkan. Doktor kata teruskan untuk rawatan otot muka yang tidak berfungsi itu. Kerana tak sempat ke doktor, aku langsung berkejar ke tempat mesyuarat utk menghalusi program dengan JAKIM yang bakal diadakan pada bulan Feb akan datang. Begitu menjengahkan muka, pengarah jabatanku menyuruhku berehat dan menyelesaikan masalah dengan doktor untuk membolehkanku pulih. Beliau sangat perihatin.

Aku pun bergegas berjumpa Dr Ismail untuk mendapat rekomendasi beliau mendapat rawatan pakar. Urusan dengan ING untuk mendapat GL pun hanya beres pada pukul 2.00 ptg. Sampai di Pusat Rawatan Pakar Ipoh pun dan hampir pukul 4.00 ptg.

Semasa di Klinik tadi pun sempat juga bacaan glukos darahku diambil . Walau tinggi tapi masih pada paras 12.1 mmol. Tak adalah sampai melonjak macam semalam. Prednisone pun tak makan lagi sehingga aku jumpa pakar nanti.

Dr. Zakaria yang memeriksaku menyarankan tidak meneruskan pengambilan prednisone dan merekomenkan 3 jenis ubat lain utk jangka masa seminggu akan datang. Bacaan glukos yang beliau ambil walau selepas makan pun masih menunjukkan 12.1 ! Sahlah prednisone yang merupakan sejenis steroid menjadi puncanya. Selepas makan tengahari tanpa nasi, hanya lauk ikan dan sayur sahaja, aku pun makan 3 jenis ubat yang kuterima dari farmasi.

Di rumah, kuperiksa lagi bacaan darah, masih 12.3 walaupun belum lama selepas makan.

Harap catatan ini dapat kusambung dengan tekun untuk manfaat pembaca yang mempunyai gejala yang sama.

Tambahan :
Beberapa video youtube juga menunjukkan ada seorang penghidap BP yang tekun merakamkan kemajuannya dari minggu ke minggu. Keyakinanku bertambah.

Seorang sahabat yang minta note sharing tentang ini diharap juga dapat berkongsi pengalaman.

Alluhumma ya syafi ... isyfi ... isyfi ... isyfi .. ya Syaafi... la syifaa illa syifaauka... syifaan la yughadiru saqaman wa la gahadaqan ....