Saturday, December 1, 2012

Catatan Perjalanan Haji 1433H [3]

"Bersama Santuni Dhuyufurrahman" menjadi slogan perkhidmatan bagi jemaah haji yang sering dikumandangkan oleh petugas. Cabaran sebenar bermula apabila jamaah KT 1 tiba di Zon 2 bertempat di Hotel Movenpick yang lokasi rasminya dikira sepuluh meter dari tapak Masjid Nabawi. Di pagi 17 Sept 2012, akhirnya jamaah haji Malaysia tiba juga dan merupakan jamaah haji yang pertama menjejakkan bumi Madinah.

Nampaknya pihak hotel pun mengambil inisiatif bersama dengan delegasi haji Malaysia membuat sambutan besar-besaran. Sebagai petugas, saya merasa bertuah dapat menjadi bahagian yang menyaksikan moment penting begini untuk rombongan haji Malaysia di bumi Rasulullah yang suci ini. Tidak semua petugas, apatah lagi jemaah haji, yang berpeluang menyaksikan debaran awal perjalanan haji kita tahun ini.

Gerak kerja terpadu semua petugas, dari kendalian jemaah di lapangan terbang, mengangkut jemaah ke hotel, menyambut hangat kedatangan mereka semasa turun dari bas, liputan media besar-nesaran sampailah jemaah dapat masuk bilik masing-masing kelihatan begitu kemas, pantas dan tertata dengan baik sekali.

Nadi operasi Madinah mulai berdenyut bersama kemasukan jemaah yang baru tiba. Bahkan jemaah Malaysia tiba lebih awal dari jemaah haji rasmi mana-mana negara pun. Mereka yang sudah ada di Masjid Nabawi dalam sejak semalam merupakan penduduk yang sudah sedia ada di sini. Bakal tergambar sukarnya untuk memposisikan diri di Raudhah yang dapat kami masuk dengan selesa semalam. Peluang kami untuk berada di Raudhah pada masa prime time juga bakal berkurang kerana masa tugas rasmi sudah bermula.

Menatap wajah jemaah kita yang seakan-akan tidak sabar memijakkan kaki ke bumi Madinah sejak bas berhenti di hadapan hotel lagi dapat kita rasai betapa tingginya harapan sebahagian mereka untuk memperolehi haji mabrur dari titik Madinah lagi. Sementara sebahagian hanya berpenampilan biasa sahaja, tidak nampak berghairah sangat dan tidak pula kelihatan malas-malas. Wajah-wajah yang menadah harapan ini kian membuat diriku rasa kerdil di hadapan Allah. Bagaimanakah hendak kubawa mereka ini merambah jalan jaya menuju kemabruran haji sedangkan diriku juga sarat dengan dosa seumur hidup untuk aku harapkan rahmat Allah mengampuninya ?

Namun gelagat ligat dan gesit teman seperjuangan terutama para PIHTAS, sentiasa mengukir senyum dan menghulurkan tangan menawarkan keringanan beban kepada jemaah membangkitkan keyakinan bahawa haji mabrur untuk diri juga sudah bermula di detik ini. Kami berpadu tenaga memastikan jamaah memulakan hari mereka dengan merehatkan diri mereka di bilik yang selesa selepas perjalanan panjang.

Keletihan dari satu perjalanan panjang merupakan faktor utama jemaah mudah hilang sabar dan mencari tempat melampiaskannya. Pendedahan kursus petugas di tanah air alhamdulillah banyak menyediakan kami petugas dengan kesediaan mental menghadapi sikap agresif jemaah andaikata akan berlaku. Banyak kali dalam situasi seperti ini pesanan 'sabar' kepada jamaah tidak menjadi satu terapi yang mujarah. Bahkan boleh sebaliknya menjadi satu tamparan balik kepada kita sebagai petugas. Namun jemaah yang bersikap agresif ini dalam penilaian rambang saya hanya sekita 2 ke 3 peratus sahaja dari keseluruhan. Jadi bila kita mengingat lebih ramai jamaah yang bersikap sabar, akur dan baik kepada kendalian Tabung Haji, rasa tidak senang dihati oleh sikap jemaah tertentu jemaah terhadap kita, tidaklah terasa sangat. Bahkan banyak hikmahnya untuk membina tahap kesabaran kita sendiri yang mungkin selama ini tidak dirawat dengan baik.

Jemaah yang tiba biasanya akan diberi taklimat berkaitan dengan sejarah dan kelebihan Madinah pada malam pertama selepas ketibaan mereka. Dari situ, mereka dapat gambaran apa yang bakal mereka lakukan dan bakal mereka temui sepanjang berada di Madinah al-Munawwarah. Bertempat di ruang makan atau dewan dengan kapasiti yang agak terhad di hotel, para jemaah yang berjejal masuk memang tidak ada ruang yang selesa untuk mendengar ceramah atau taklimat para petugas. Ini satu lagi sisi di mana para petugas dan jemaah memang harus banyak bersabar dan tidak terlalu berharap dengan kesempurnaan. Pihak hotel yang memberi ruang kepada jemaah terutama di musim haji begini memang agak terhad kemampuannya. Kadang-kadang memang bermacam pakar yang datang ke depan memberi cadangan perbaikan kepada petugas, tetap juga kemampuan menyampaikan pesanan seberapa berkesan boleh terbatas pada kemudahan yang sedia ada.

Ceramah berakhir dengan soal-jawab yang kita harapkan banyak menyerlahkan isu-isu yang tidak terfikir oleh kita. Namun di peringkat awal di Madinah, sebagai pembimbing ibadah haji, kami tidak banyak berdepan dengan soalan-soalan ibadah. Mungkin memang tidak banyak tuntutan atau penekanan kepada ibadah yang sangat teknikal seperti haji yang hanya akan muncul selepas mereka memulai umrah haji bagi kebanyakan mereka yang menunaikan haji tamattu'. Soalan yang berlegar lebih banyak berkaitan dengan pentadbiran seperti beg yang tak dijumpai, keadaan bilik hotel, kualiti masa dan tempat makanan atau seumpamanya.

Ceramah berakhir bersama berakhirnya masa bertugas pada pukul 10.00 malam waktu setempat. Kerana tuntutan waktu bertugas yang tidak banyak memberi ruang waktu ke masjid pada masa-masa prima, jam selepas waktu kerja adalah peluang terbesar untuk dapat beriktikaf di Masjid Nabawi  memburu ruang di Raudhah dan berziarah ke maqam baginda Rasulullah s.a.w. . 

No comments:

Post a Comment