Wednesday, October 5, 2011

Senyumlah kepada kesedihan .. La Tahzan !

Tanda Allah sayang kepada kita juga terjelma dalam ujian. Ujian pula ada yang berupa nikmat, ada juga yang berupa kehilangan nikmat. Ketika nikmat datang sedikit atau melimpah, kita diuji sabar menggunakan nikmat agar tidak tumpah barang sedikit pun nikmat itu pada jalan murka Tuhan. Kita diujia sama ada kita sanggup mengorbankan limpahan nikmat itu untuk kebahagiaan orang lain.

Saat nikmat itu ditarik, kita diuji menahan kepedihan sanubari. Kalau kita tak sabar pun nikmat itu tetap tidak muncul lagi. Jika kita bersabar, Dia akan memberi kita menjadikan kesabaran itu sebagai nilai yang ditebus dengan dosa-dosa lalu. Sabar atau tak sabar , tetap sahaja nikmat itu tidak kembali kepada kita. Adakalanya, nikmat yang hilang kembali kepada kita berkat kesabaran kita.

Jiwa yang sabar dalam menghadapi kepedihan akibat kehilangan nikmat, akan mampu tersenyum dalam kesakitan. Senyumlah menahani kesakitan, tapi bukan untuk berpura-pura. Tiada pura-pura yang sedap dirasa. Senyumlah dengan ikhlas atas kemenangan mengatasi keperitan hati yang menanti siraman sabar untuk melenyapkan hiba.

Monday, October 3, 2011

At last ....

I have made the decision that I am going to pursue my studies for my Masters degree after an extremely long 20+  years of consideration. Have to forget about all the causes of previous failures. Have to forget about myself once being offered a place to UIAM or Cairo University. I just want to make a new journey to uodate my rusting brain with new knowledge and experience. Many will have to bear the hardship with me as I have a loving wife, 9 (+1) kids, father and mother (s) , siblings, share the portion of time and attentions. Pray for my success !

Sunday, October 2, 2011

Ya bunayya ! ..... wala tamsyi fil ardhi maraha !


Begitulah panggilan mesra Luqman al-Hakim  kepada anaknya di beberapa ayat surah Luqman, "Wahai anak kecilku !" Kekecilan dalam pandangan ayah itu adalah punca yang memuncakkan kasih kepada anak. Hanya ayah yang tahu bagaimana kasihnya kepada anak dan anak pula meskipun tahu ayahnya kasih kepadanya, tidak akan setahu ayah itu sendiri tentang takat kasih di hatinya. Ungkapan kasih tiada terbatas boleh menjadi pemanis kata, namun ungkapan itu sendiri tidak mampu menggambarkan betapa luasnya wilayah liputan kasih ayah kepada anaknya. 


Anak mungkin terasa rimas dengan kasih ayahnya. Rimas itu mungkin akan berkembang menjadi kebencian oleh anaknya. Ayahnya bukan pakar pemberi kasih dalam konteks fizikalnya. Anak-anak hanya mampu membaca bahasa badan. Marah ayahnya diterjemahkan sebagai ngauman yang menjadi igauan. Manjaan ayah bahkan diterjemahkan sebagai bodek yang meloyakan. Namun yang tersirat di hati ayahnya yang sarat dengan kasih sayang tiada kan dimengerti oleh mereka.


Anak-anak kian membesar, lalu mendewasa sudah punya dunia sendiri. Tidak seperti masa kecilnya, mereka melihat ayah ibu sebagai dunia mereka. Mereka sudah merasa sudah boleh menjaga diri. Ibu bapa sudah tiada kuasa melarang. Mereka sudah punya kodrat diri bila merasa sumber wang mereka tidak lagi 100% dari ayah ibu, meski secuil wang yang diperolehi itu hanya mampu menampung sebahagian kecil keperluannya untuk perjalanan kemandiriannya. 


Ibu bapa mulai belajar merelakan mereka pergi dan selubung risau dan khuatir diri menguasai, takut akan terjatuh, tersungkur atau terlungkup. Ibu bapa yang sudah sekian lama menyaksikan ganas dan peritnya kehidupan kian gerun dan kecut hatinya membayangkan anak-anaknya melalui hutan rimba yang tiada diketahuinya di mana sang pemangsa mengendap untuk menerkamnya dan meninggalkannya terkapai tiada siapa diharap memberikan bantuan. Mereka mulai menghujatkan pandangan ibu bapanya kerana dianggap sudah ketinggalan info di zaman serba nyaman. Hujah klasik lagi bukan bahasa mereka. Hujah berteknologi adalah bahasa canggih penuh kesaktian yang mereka harap untuk menjadi sandaran pelepas diri dari norma kehidupan. 


Kesombongan sudah menguasai diri. Ibu bapa bukan lagi menjadi teladan terpuji. Guliran pedaya dunia yang menyilaukan  dianggapnya telah meninggalkan ibu bapa jauh dalam belantara kekolotan yang tiada layak untuk memberinya nasihat bererti. Bukan sahaja dunia nyata dianggapnya tidak berpijak pada realiti. Bahkan realiti virtual yang  memberinya ruang meneroka tanpa batas kini dianggap bagai dunia sebenar yang lebih bererti. Dia sudah merasa boleh bersombong diri kepada manusia yang memberi kasih sayang tiada terperi. 


Apakah lagi yang mampu menyelamatkan anak yang kini terpana dan tenggelam dalam sombong diri dalam lautan dunia rekaannya selain dari tawakkal dan tawakkal akan kuasa Ilahi yang menguasai hati ? 


Allahumma, selamatkan anak-anakku dari bencana kesombongan yang mungkin mengendap untuk memangsa mereka. Jika sudah ada benih-benih kesombongan zaman siber menggerogoti hati mereka, berilah kekuatan kepada mereka melenyapkannya. Jika sudah di luar kuasa mereka, berikan kami kekuatan bersabar dan kurniakan kami kaffarah atas dosa kami dalam kurniaan sabar itu. 


Hanya Engkau yang mampu membolak-bolakkan hati sebagaimana Engkau sahaja berkuasa menetapkan hati. Tetapkan hati kami dan anak-anak lama atas landasan iman yang kukuh ke hadrat-Mu !




Thursday, September 29, 2011

Hanya mencari kebaikan

Meski diri ini tak cukup baik, tapi usaha berbuat satu kebaikan yang boleh diterima di sisi Allah tak perlu menunggu sehingga kita jadi sempurna baik. Hayat kita tak cukup panjang untuk menangguhkan apa-apa kebaikan yang nak kita buat.

Berfikir hanya untuk berbuat benar-benar membuat kita sibuk sehingga tidak sempat nak berfikir macam nak buat jahat kepada orang lain. Bahkan tak sempat nak memberi fokus tentang kejahatan orang kerana dalam mencari kebaikan kita disibukkan oleh tumpuan mencari contoh kebaikan yang ada pada orang lain. 

Monday, September 26, 2011

Blogging sekadar meninggalkan jejak diri

Tiada jumlah hits atau jumlah followers yang dikejar. Bahkan apa yang mendorong orang lain blogging tidak termasuk dalam senarai. Ini sekadar catatan cetusan nurani diri melalui liku-liku hayat sebelum menemui penghujung usia. Jika terbaca oleh yang terimbas dan memberi manfaat syukur. Jika tiada terbaca, ia menjadi catatan para malaikat sebagai bukti kebajikan telah diusaha sekuat daya, walau natijah yang diharap mungkin tak tergapai.

Jadi catatan-catatan diri ini bakal menempel di skrin tanpa beban bahkan melepaskan beban.

Ya Allah ! Tunjukkan hamba-Mu yang faqir ini cara meninggalkan catatan yang menyingkap kebesaran-Mu sekali pun ia terlahir dari kekerdilan diri.

Sunday, September 25, 2011

Memberilah untuk bahagia diri (3)

Memberi akan jadi berat kalau tiada keikhlasan hati. Ikhlas bukanlah sifat semulajadi muncul bersama kita sejak lahir. Ia adalah anugerah Allah atas ketaatan dan taqarrub kita kepada-Nya. Amal yang didasari ikhlas melapangkan. Amal yang tercemar syirik riya akan membebankan dan menyempitkan. Memberi akan jadi membahagiakan bila kita tidak mengharapkan balasan. Memberi akan menjadikan kita kecewa dan hampa bila kita mengharapkan balasan dari pemberian kita.

Apa yang kita harapkan sangat dari manusia untuk membalas apa yang kita telah beri? Manusia punya segala keterbatasan , bukan sahaja untuk membalas yang kita harap, bahkan untuk merealisasikan harapannya sendiri pun ia tak terpenuhi. Bila memberi kita halakan untuk mencari keredhaan Allah, harapan kita boleh melampau tinggi gunung, merentang melepasi batas lautan. Keyakinan akan keadilan Allah menjadikan harapan kita tidak terasa sia-sia. Jika tidak sekarang, nanti. Jika bukan di dunia di akhirat. Jika bukan seperti yang kita pinta, balasannya akan berupa yang lebih baik dari yang kita harap. Yang jelasnya tiada permintaan bakal tersia-sia. Modal kita hanya sabar-sabar dalam memberi dan mengharapkan balasan Allah semata-mata.

Begitulah rupanya terlahir manusia yang bersifat pemberi yang tiada putus-putusnya sepanjang rentangan hayat yang dilaluinya. Dia belum tentu kaya, tapi jiwanya sentiasa terbuka pada yang memberi. Dia sentiasa kaya jiwa dan tajam hati nurani. Hidupnya sarat dengan makna, tiada detik hidup yang terlompong tiada nilai atau harga.

Sekali lagi , bahagiakan diri dengan memberi dan memberi !

Wednesday, September 21, 2011

Erti memberi kepada lingkungan

Kata kunci 'memberi' sangat memperkayakan baik kepada yang memberi itu sendiri mahupun kepada yang menerima pemberian. Yang memberi merasa bahagia dengan kemampuannya untuk menyumbang dan yang menerima dilapangkan dari kesempitannya. Dan ia tidak terhenti sampai di situ sahaja. Ia bagai sebatang lilin yang sedang menyala di antara lilin lain yang sedang bergelap. Setiap kali api dinyalakan kepada lilin yang lain, maka akan bertambahlah potensi lilin lain juga menjadi pemberi baru. Jika dibuat dengan kiraan matematik, kemampuannya berganda dari 1 menjadi 2 lilin pemberi api. Yang 2 itu pula boleh memberi kepada seberapa banyak api kepada lilin yang lain. Yang banyak tu pula boleh memberi kepada jumlah yang tiada terbatas lilin lain selagi ada lilin yang tak menyala. Dari kegelapan, suasana sekeliling kian bercahaya.

Demikianlah umpamanya kesan menakjubkan seorang pemberi, yang kemudiannya melahirkan pemberi baru, dan saling beri memberi. Jadi suasana lapang-melapangkan kian subur. Masyarakat yang dihidupi oleh kumpulan segelintir manusia pemberi ini akan tumbuh menjadi masyarakat yang saling berlapang walaupun batas fizikal mereka sentiasa wujud. Manusia yang memberi akan menumbuhkan rasa cinta dan keazaman untuk mereka yang belum pernah untuk ikut andil memberi juga. Keluh-kesah pada kekurangan dan ketiadaan diri akan semakin malap. Kesusahan tidak menjadi momok menakutkan tanpa noktah kerana di ufuk yang jauh senantiasa ternampak cebisan cahaya yang memberi harapan.

Memberi itu bakal mencipta suatu keajaiban yang tak dijangka !