Saturday, November 3, 2012

Catatan Perjalanan Haji 1433H [2] ... Menjejak tapak Hijrah

16 Sept 2012 : Jalan sepanjang 430 km ke Madinah kami telusuri dengan seribu pertanyaan tentang bagaimana baginda Rasulullah melalui liku-likunya berjalan kaki dan sekala-sekali menaiki unta. Bukan hanya semasa hijrah, tetapi juga berulangkali sejak kecil sehingga membujang dan berkahwin dengan Sayidatina Khadijah mengurus perniagaan ke Syam. Di penghujung pandangan mata, terpapar hamparan padang pasir, dipagari gunung-gunung yang komposisinya tiada lain dari batu. Adakalanya kami bertemu dengan lembah yang dalam bagai alur sungai namun kering kontang. Ada kawasan tertentu membentang bagai selerakan batu-batu terjal, tidak memungkinkan untuk berjalan santai melaluinya, melainkan harus memilih-milih tempat berpijak di tengah sengatan matahari yang boleh mencecah hingga ke 47ÂșC. Sedangkan perjalanan yang dilalui dengan kedinginan penghawa dingin GMC pun kita rasa macam tak sampai-sampai. Ini kan pula nak berjalan kaki dan naik unta. Besar sungguh pengorbanan Baginda sallallahu alaihi wa sallam membawa risalah dan menjaganya sehingga dapat kita nikmati pada hari ini hampir tanpa halangan fizikal yang sedahsyat apa yang baginda lalui.

Dua GMC yang kami naiki mengelompokkan kami menjadi kumpulan muslimat yang ditemani Ustaz Nukman dan kumpulan muslimin yang semuanya terdiri dari PIHTAS. Ustaz Abu Bakar dan Ustaz Faisal adalah PIHTAS berpengalaman sementara saya dan Ustaz Ramli baru hendak menimba pengalaman. Di pertengahan jalan, sekitar sebelum zohor kami singgah di hentian rehat dan menikmati sajian nasi mandi ikan. Sambil duduk di kawasan serupa platform yang dinaikkan setinggi sekaki sepanjang dinding restoran kami sempat bercerita kesan perjalanan masing-masing. Rupanya memang apa yang bermain di benak hati kami serupa, "Bagaimana Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam melalui perjalanan hijrah baginda di tengah kepanasan yang begitu rupa dalam tempoh begitu lama untuk sampai ke Madinah ?" Mungkin petanda awal kami memang sehati sejiwa bakal mengemban amanah menyantuni dhuyufurrahman yang bakal tiba keesokan harinya. Memang terasa dari lubuk hati Allah telah memilih sekumpulan manusia yang berhati ikhlas yang bakal jadi panutan untuk menimba pengalaman pertama ini. Hati terasa lapang dan semangat membara untuk menjalankan tugas.

Semasa solat zohor di masjid berdekatan dengan restoran tadi, kami bercadang untuk solat jamak dan qasar sendiri berdekatan pintu masuk masjid sebelum solat jamaah didirikan. Rupanya penduduk Arab yang masuk pun ikut solat bersama kami. Di antara dua solat kami, kelihatan imam agak terpinga-pinga memperhatikan jamaah regular mereka ikut solat bersama kami yang musafirin. Seusai solat bersama kami, sebahagian mereka meninggalkan jamaah kami untuk bersama dengan jamaah solat tamam di hadapan. Terasa bersalah juga dibuatnya. Mungkin ada eloknya juga kami sama ada minta izin imam yang ada atau solat tamam bersama imam kemudian sambung dengan qasar asar. Ini di antara perkara yang tak dijangka dan memerlukan kepekaan sosial sebelum mengerjakan ibadah mengikut semahu kita di suatu tempat asing. Pengetahuan setempat begini perlu kita kongsikan dengan jamaah haji yang bakal berada dalam perjalanan serupa.

Kami sampai di Madinah sekitar pukul 3.00 ptg. Selepas meletakkan barang di bilik 110, kami bermesyuarat dengan Ust Tengku Aziz, Timbalan KRH ( Bimbingan ). Hanya kami PIHTAS yang berT-shirt merah TH sedangkan yang lain berkemeja putih ditutupi jaket hitam rasmi TH. Sempat juga diperingatkan bahawa T-shirt merah adalah untuk operasi Masyaer. Mesyuarat berjalan dengan lancar dan kesediaan setiap sektor menjalankan tugas sebelum jamaah pertama tiba dipastikan siap siaga.

Malamnya kami bermesyuarat dengan Ustaz Razali untuk pembahagian tugas Unit Bimbingan dan Ziarah Madinah. Taaruf seadanya memulakan suatu ikatan ukhuwwah baru untuk menjayakan misi menyantuni dhuyufurrahman. Rasanya setelah perjalanan hampir tanpa tidur lebih 24 jam dari Kelana Jaya sehari sebelumnya, rajutan ukhuwwah hanya memerlukan kaitan terakhir untuk disinergikan sebagai suatu pasukan kerja yang mantap dan berintegriti.

Pengalaman yang para petugas lama dan kesediaan menawarkan segala jenis kepakaran yang baru dibantu para pembantu ambilan musim ( PAM ) memudahkan banyak gerak kerja dan dapat dipersiapkan dalam tempoh yang singkat.

Inisiatif peribadi menerokai kawasan masjid di siang hari tadi juga banyak membantu merancang perjalanan membawa jamaah ziarah dalam keesokan harinya.

Jamaah haji bakal tiba dengan seribu harapan dan seribu kerenah jua.




Catatan Perjalanan Haji 1433H [ 1 ]

[Tarikh sebenar catatan dibuat : 12 Oktober 2012 ]
Selepas 37 hari berada di Tanah Suci, mungkin catatan ini tampil bagai terlambat. Keberangkatanku buat kali pertama berstatus petugas haji ke Haramain sudah tentu mencatat sejarah tersendiri. Selepas diberi amanah selama 12 tahun sebagai pembimbing haji di tanah air, mungkin juga kesempatan seumpama ini kelihatan terlambat kerana mereka yang sekontemporari dan yang lebih junior terlebih dahulu menikmati perjalanan haji mereka hasil dari jerih payah mereka menyumbang bakti kepada jemaah. Hujung-hujungnya kita kena terima segalanya adalah rezeki dan ketetapan Allah jua. Allah jua Maha Mengetahui masa bila Dia akan pilih yang terbaik untuk kita menikmatinya.

Bila direnung sedalamnya, penantian 12 tahun yang baru kurasakan boleh dikatakan amat berbaloi dan digandakan Allah nikmat-Nya. Mungkin tidak mampu diungkapkan dengan perkataan dan segala ta'bir lisan pun akan kehabisan kosakata memperihalkannya. Pada catatan kecil ini, sebanyak mana pun yang mampu dihuraikan, bukan sahaja terlalu kecil, mungkin juga boleh mengurangkan kehebatan sebenar yang dialami. Hanya dengan dorongan untuk 'bini'mati Rabbika fahaddith', aku cuba untuk mengungkapkannya sebagai tanda kesyukuran dan satu usaha mendorong mereka sempat membacanya untuk mengikuti jejak langkahku jika ada yang layak diteladani.

Pada benak hatiku, boleh dikatakan baru kinilah benar-benar dirasakan buah kesabaran itu adalah kemanisan yang tiada terkata. Apa tidaknya ? Begitu banyak perkara berlaku tepat benar seperti yang diharapkan meskipun belum sempat dipohon dengan kesungguhan ke hadrat Ilahi. Nak dikata diri ini banyak amal soleh sehingga layak mendapat nikmat begini, rasanya  masih jauh dari dikatakan cukup. Namun Allah Maha Pemurah. Belum pun terungkap sudah pun tertunai apa-apa yang dihajat.

Sejak awal pengelompokan para PIHTAS ( Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci), termaktub nama MADINAH pada kumpulan kami itu benar-benar mendatangkan rasa seronok. Sedarlah aku bahwa tugasan yang bakal dipikul ada bimbingan ibadah di Madinah. Bertemu dengan ahli kumpulan berpengalaman dan belum berpengalaman, namun terasa harmonis bersama, menambah keghairahan untuk berpadu tenaga di Madinah demi mencapai misi kemabruran haji untuk para jemaah. Kumpulan kami yang diterajui oleh Ustaz Abu Bakar Mohd Noor ( Melaka ) di penghujung kursus berjaya menonjolkan diri sebagai kumpulan terbaik. Kredit kepada semua ahli kumpulan ; Ustaz Mohd Faisal ( Melaka ), Ustaz Suhaimi ( Negeri Sembilan ), Ustaz Ramli ( Perlis), Ustazah Yaminah yang kami panggil sebagai Bunda ( Pahang ), Ustazah Rusmaizan ( Kelantan ), Ustazah Faridah ( Perak ) dan Ustazah Kunah ( Sabah ). Pada gilirannya, Ustazah Kunah tidak jadi bersama kami di Madinah dan diganti dengan Ustazah Salmah.

Bila akhirnya hari yang dinantikan tiba, satu lagi kejutan yang menggembirakan diriku adalah kesempatan mengerjakan umrah ke Makkah sebelum diberangkatkan ke Madinah. Tepat benar dengan harapan yang belum pun terungkap. Allah Maha Mengetahui apa yang diingini insannya yang kerdil ini. Sempatlah jua kami ke Makkah selepas melalui penerbangan 8 jam dan dan tertahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah selama 4.5 jam. Kami tiba di Masjidil Haram pada pukul 3 pagi, 16 Sept 2012. Kami selesai saie dan bercukur tepat-tepat sebelum subuh. Oleh kerana kami akan berangkat ke Madinah, kami langsung menunaikan tawaf wada' setelah solat subuh.

Jarak berjalan kaki ke ibu pejabat rupanya cukup jauh juga sekitar 1000m. Pagi tadinya kami tak sempat ke sana kerana kami minta drebar turunkan kami di Masjidil Haram. Kami sempat mandi dan sarapan di Abraj Janadriah, Ibu Pejabat TH di Makkah, sebelum dibawa berangkat ke Madinah.

Syukur kepada Allah tiada terhingga, selepas 11 tahun, seperti tidak percaya bahawa kakiku kita berpijak di atas bahagian bumi yang tersuci mengikut syariat Allah. Mungkin Makkah berubah secara fizikal dengan begitu rancak sekali, namun yang menggamit hati tetaplah Baitullah yang bagai berdaya penarik rohani luar biasa. Ketenangan menatap Kaabah al-Musyarrafah menggambarkan betapa luasnya rahmat Allah yang dikurniakan kepada sesiapa yang memandangnya. Tertera pada doa sesiapa sahaja yang memandang Kaabah, maka didoakan juga agar Allah menambah kemuliaan orang yang memuliakannya.

Bumi Makkah kami tinggalkan dengan rasa berat hati. Perjalanan GMC hitam yang dipandu saudara Anuar, seorang pemuda keturunan Pattani yang dilahirkan di Makkah, meluncur di jalan al-Hijrah yang ditata rapi menyajikan pemandangan padang pasir serta gunung batu di kiri dan kanan jalan.

Madinah menanti !