Wednesday, September 21, 2011

Memberilah untuk bahagia diri (2)


"Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya ia beribadah menyembah-Ku"[ az-Zariyat : 56 ]

Untuk apa memberi ? Memberi adalah satu manifestasi bahawa kita menerima hakikat kita hanyalah hamba dan Allah itu Khaliq yang mencipta. Allah tidak mencipta kita dengan begitu sahaja dan membiarkan kita tidak berkecukupan. Allah berikan roh dan jasad untuk kita jalani kehidupan. Tanpa roh, berakhirlah riwayat. Jasad tiada makna tanpa roh. Jasad hanyalah sekujur daging yang kaku tak berfungsi. Roh tetap ada di alamnya tanpa jasad. Jadi tuntutan kita memenuhi keperluan roh adalah lebih utama daripada memenuhi jasad yang lazimnya lebih sering mendapat perhatian.

Kepuasan roh bukan dengan makan minum atau senaman jasmani. Roh menemui kepuasan dengan ketaatan murni kepada Pemiliknya. Memberi adalah salah satu manifestasi ketaatan itu. Memberi dan terus memberi umpama memperluaskan wilayah permainan roh. Semakin lapang ruang lingkupnya, semakin bebas ia bergerak di lapangan yang luas itu.

Sebaliknya roh terasa sesak dan rimas dengan ingkar kepada Allah. Ruang lingkupnya semakin sempit setiap kali kita memberanikan diri melepasi sempadan yang telah ditentukan Allah. Maka dengan selalu berfikir untuk memberi dan memberi kebajikan, fikiran kita tidak sempat mengingat untuk ingkar kepada Yang Maha Mencipta. Selepas satu kebajikan terlaksana, akal kita disibukkan dengan kebajikan apa yang berikutnya kita nak buat. Kepuasan melakukan satu kebajikan tidak akan berhenti begitu sahaja kerana hati kita tiada kan menemui kepuasan mutlak pada satu titik hentian. Kita akan mencari peluang membuat kebajikan lagi kerana yang lama itu pun belum tentu Allah terima. Masih banyak yang melatarbelakanginya yang kita tak pasti melancarkan atau menghalang penerimaannya di sisi Allah. Jika kita tahu hanya dengan rahmat Allah sahaja amal kita, sedikit atau pun banyaknya, akan diterima di sisi Allah, Maka memberi dan memberi tiada satu titik hentian yang menjadi penghujung.

Fikirkan selepas ini apa yang nak kita beri untuk kebaikan diri dan kebaikan orang yang kita temui sepanjang perjalanan hidup kita.

[Catatan diri di pagi Khamis, 24 Syawwal 1432/22 Sept 2011]

No comments:

Post a Comment