Wednesday, September 21, 2011

Erti memberi kepada lingkungan

Kata kunci 'memberi' sangat memperkayakan baik kepada yang memberi itu sendiri mahupun kepada yang menerima pemberian. Yang memberi merasa bahagia dengan kemampuannya untuk menyumbang dan yang menerima dilapangkan dari kesempitannya. Dan ia tidak terhenti sampai di situ sahaja. Ia bagai sebatang lilin yang sedang menyala di antara lilin lain yang sedang bergelap. Setiap kali api dinyalakan kepada lilin yang lain, maka akan bertambahlah potensi lilin lain juga menjadi pemberi baru. Jika dibuat dengan kiraan matematik, kemampuannya berganda dari 1 menjadi 2 lilin pemberi api. Yang 2 itu pula boleh memberi kepada seberapa banyak api kepada lilin yang lain. Yang banyak tu pula boleh memberi kepada jumlah yang tiada terbatas lilin lain selagi ada lilin yang tak menyala. Dari kegelapan, suasana sekeliling kian bercahaya.

Demikianlah umpamanya kesan menakjubkan seorang pemberi, yang kemudiannya melahirkan pemberi baru, dan saling beri memberi. Jadi suasana lapang-melapangkan kian subur. Masyarakat yang dihidupi oleh kumpulan segelintir manusia pemberi ini akan tumbuh menjadi masyarakat yang saling berlapang walaupun batas fizikal mereka sentiasa wujud. Manusia yang memberi akan menumbuhkan rasa cinta dan keazaman untuk mereka yang belum pernah untuk ikut andil memberi juga. Keluh-kesah pada kekurangan dan ketiadaan diri akan semakin malap. Kesusahan tidak menjadi momok menakutkan tanpa noktah kerana di ufuk yang jauh senantiasa ternampak cebisan cahaya yang memberi harapan.

Memberi itu bakal mencipta suatu keajaiban yang tak dijangka !

No comments:

Post a Comment