Wednesday, January 19, 2011

Mengamati Hongkong (1)

Setiba kami di HK International Airport, kelihatan banyak benar syarikat penerbangan yang kami tak pernah nampak di KLIA. Saya difahamkan bahawa HKIA adalah di antara lapangan terbang tersibuk di dunia. Terasa benar kini kami sedang berada di penjuru lain dunia fana ini di mana ragam manusia ciptaan Allah yang berbeza bakal kami temui.

Penerbangan hampir 4 jam telah menjarakkan kami dari tanah air lebih dari 2400 km jauhnya [mengikut kiraan garis lurus dengan earth.google ni !]. Walaupun aku pernah ditakdirkan berada di bumi Anbiya, Mesir, Jordan dan Saudi suatu ketika, pengalaman di belahan lain dunia ini pasti menyajikan keindahan baru yang belum sempat kuterokai di bumi Allah ini.

Kerana tidak pernah berangkat ke luar negara dari KLIA, kesempatan naik train ke terminal lain baru terasa di HKIA ini. Train datang silih berganti memindahkan penumpangkan setiap 5 minit.
Perjalanan keluar tersekat cukup lama untuk melepasi prosedur imigresen. Kerana borang imigresen HK sudah habis semasa di pesawat, sebahagian besar anggota rombongan kami terpaksa menghabiskan banyak masa mengisi borang di HKIA sebelum beratur di belakang kerumunan besar penumpang dari semua jurusan yang baru tiba. Gambar di bawah ini adalah salah satu snapshot yang sempat kami ambil sebelum dilarang oleh petugas imigresen yang terserempak dengan kami.

Untuk melepasi kerumunan ini lebih awal, sebaiknya borang imigresen diperolehi lebih awal, jika ada bekalan, di pesawat lagi.

Untunglah kami sudah mengatur lebih awal agar tidak ada anggota rombongan memasukkan barang yang mereka bawa ke dalam bagasi. Proses menunggu bagasi bakal memanjangkan lagi penantian kami sedangkan hari sudah malam.

Inilah kadang-kadang tak sedapnya memilih AirAsia; jadualnya dipinda dari asal penerbangannya pagi dan dijangka tiba pukul 9.30 pagi menjadi pukul 2.55 ptg dan tiba pukul 7.05 minit. Kita tak ada pilihan sebagai penumpang tambang murah melainkan meneruskan jua perjalanan di luar jadual asal kita. Ketibaan awal 15 minit yang diumumkan di pesawat tadi tidak memihak sangat kepada kami jika kami tidak mendapat penginapan yang telah dijanjikan malam ini.
Selesai sudah urusan bertele-tele diimigresen. Aku yang asalnya terawal sampai di barisan penumpang yang menjejali kaunter imigresen berbalik menjadi yang terakhir keluar.

Kami sempat terpinga-pinga mencari jalan keluar lapangan terbang untuk menuju ke terminal bas yang bakal membawa kami ke bandaraya.

Nurudden mengambil sedikit masa untuk mencari informasi yang tepat untuk mengelakkan kami turun di tempat yang salah nantinya.

Syukur juga anak-anak mahasiswa yang aku bawa menampakkan peranan proaktifnya mengendalikan tugas yang dipikulkan kepadanya.





No comments:

Post a Comment