Wednesday, January 19, 2011

Mengamati Hongkong (2) : Menuju ke bandaraya

Di hujung terminal 2, nampaklah sekumpulan bas dua tingkat yang berbaris menunggu penumpang. Kedudukan bas ditetapkan mengikut destinasi. Jalur bas ke Tsim Sha Tsui adalah A21. Mengikut maklumat yang kami cari termasuk dari travelog, kami sepatutnya turun di hentian yang ke-13. Itulah lokasi terdekat dengan Mirador Mansion, tempat kami bakal menginap.

Tiket ke bandaraya adalah standard, HK$ 33.00. Sebetulnya ada cara lain menuju ke bandaraya; dengan keretapi Airport Express dengan tambang HK$90.00 tapi hentian terhampir dengan Mirador Mansion adalah Kowloon. Cukup jauh. Sebelum Kowloon, penumpang juga boleh menyeberang ke line yang lain untuk mendapatkan train yang boleh sampai ke stesen Tsim Sha Tsui.

Kalau naik taksi, biasanya dikenakan tambang HK$300. Tapi kami belum berani mengambil risiko memecahkan anggota rombongan yang tidak tentu bakal bertemu di tempat yang dijanjikan.Keselamatan semua anggota rombongan adalah keutamaan kami.

Walau dengan perjalanan yang dijangka sejam, kami memilih naik bas untuk memastikan semua anggota rombongan sampai di tempat yang sama, tak kiralah betul tempat kami turun atau mungkin juga tersilap.

Nampaknya ahli rombongan kami ingin benar duduk di tingkat atas. Beg-beg yang tersangkut di belakang kami diletakkan di rak yang telah disediakan di tingkat bawah. Dari tingkat atas, monitor dari CCTV memaparkan pemandangan ke arah susunan beg yang ada di rak tingkat bawah. Senang bagi kami memantau jika ada yang tersilap atau sengaja mengambil beg kami di bawah.

Sayangnya pemandangan ke luar bas tidak dapat kami nikmati kerana kaca sekeliling tingkat atas berwap oleh kedinginan udara di luar. Hanya sekali sekali, kami ternampak susunan cahaya dari bangunan-bangunan tinggi yang kami lewati seakan-akan membentuk dinding yang menutupi langit. Ada ketikanya kami melewati jambatan yang terasa agak panjang dan tinggi. Kapal dan pangkalan di bawah nampak kabur dari kejauhan. Sempat juga kami melewati terowong.

Penumpang dari berbagai bangsa dapat kami kenali dari rupa dan bahasa yang mereka gunakan. Sebahagian penumpang berkulit hitam di hadapan muslimat rombongan kami terhidu bau mereka sampai ada yang merasa tak tertahan.

Sebaik sahaja sampai di hentian pertama, mulailah Nurudden mengira dan sentiasa bertanya dengan drebar bas sama ada kami sudah sampai ke destinasi . Baik juga drebar bas ini nampak memberi kerjasama. Risau juga kalau-kalau Nurudden ditengking seperti perangai sebahagian drebar bas di Malaysia jika mereka merasa diganggu. Tak ada banyak pilihan untuk mengetahui posisi kami melainkan bertanya dan bertanya kerana tidak ada pemakluman melalui sistem lain untuk mengetahui di mana kami sudah sampai.

Deretan pertokoan yang diterangi dengan lampu-lampu gemerlapan mulai terlihat bila kami sampai ke kawasan sekitan Nathan Road. Mengikut kiraanku, Nathan Road adalah jalan lurus yang terpanjang di kawasan Kowloon merentang dari utara ke selatan. Peta di kepalaku mula mengimbas agak-agaknya di mana posisi penginapan kami.

Begitu kami turun di hentian yang ke-13, objek pertama yang kulihat adalah Masjid Kowloon. Tak syak lagi di sekitar inilah tempat penginapan kami. Dari kejauhan, nampaklah juga masih ada jemaah masjid yang keluar masuk dan semuanya berperawakan etnik anak benua India.

Berbekalkan maklumat dapatan kami dari internet, kami berjalan sedikit ke selatan sehingga menemui pintu masuk ke gedung Mirador dan langsung menuju ke lif. Menurut pengawal yang menjaga lif itu, Cosmic Guest House bertempat di tingkat 12. Lif-lif yang tersedia sudah diatur mengikut tingkat berangka genap atau ganjil. Dengan sendirinya, pengguna-pengguna lif bakal terbahagi dan mengelakkan terlebih muatan atau kesesakan. Sementara menunggu lif sempat juga kami nampak kawasan lorong masuk ke lif itu terdapat khidmat penukaran wang, jualan telefon bimbit, SIM card dan pakaian.

No comments:

Post a Comment