Monday, October 10, 2011

Menjelang fasa ketiga dalam pendakian rohani .. pra-Gontor.

Pengembaraan pertamaku mencari erti agama berlangsung dari sejak kecil sehinggalah aku rasmi belajar di sekolah agama. Fasa kedua perubahan kefahaman dan sikap terhadap agama berlaku dalam hidupku sejak dari bersekolah agama sehinggalah aku memilih untuk merantau jauh ke Pulau Jawa untuk melanjutkan dan mempertingkatkan komitmen terhadap agama. Bagaimanakah ia boleh berlaku ?

Terhadap pendidikan agama, sukar aku hendak mengatakan ia disebabkan minat yang teramat sangat sehingga aku sanggup mengorbankan kecenderungan dan cita-cita lain untuk memperolehinya. Ramai orang fikir kita hanya akan berjaya bila melakukan sesuatu kerana minat. Padaku ia lebih berupa keperluan yang aku tak boleh tidak meraihnya jika peluangnya ada. Harapanku untuk mengecapi pendidikan agama secara formal yang kuanggap punah rupanya sudah dibuka pintunya oleh Allah swt. Tentang nasib untung kehidupan duniaku, biarlah difikirkan kemudian. Inilah gejolak, keresahan dan sekaligus adalah dilema yang berlaku dalam diri di peringkat akhir fasa kedua pengembaraan keagamaanku. 

Sejak di SMB Sacred Heart, minatku terhadap sains dan matematik amat tinggi. Begitu juga dengan pelajaran bahasa Inggeris yang paling ketara peningkatannya di bawah bimbingan Mr Lim Swee Liong, seorang guru yang mesra-mesra garang dan tegas. Pelajaran yang paling boring dalam pandanganku ketika itu adalah Sejarah. Masa tu kami batch yang terakhir belajar World History  sebelum Sejarah Malaysia diperkenalkan kepada batch selepas kami. Mungkin kerana cara cikgu yang mengajarnya dari Tkt 1 hingga Tkt 3 hanya satu-satunya dengan menyalin nota dan menyalin nota pada setiap sessi. Cikgu hampir tak pernah bercakap tentang sikap terhadap sejarah. Tapi bila bercakap tentang sains, ia mencabar minda logikku. Sebagai tambahan kepada minatku, aku menambah bacaan ke luar ruang lingkup silabus sekolah dengan mengumpulkan bahan-bahan berkaitan dengan angkasa lepas. Setiap berita berkaitan dengan UFO, penerokaan angkasa oleh NASA, penemuan aneh tentang dunia luar bumi sangat menarik minatku. Aku sudah memancangkan cita-cita hendak menjadi ahli astronomi walaupun tak pasti di mana hendak menyambung pelajaran jika sudah sampai masanya. 

Sepanjang duduk di Tingkatan 4, aku dapati aku ada kecenderungan tersendiri terhadap bahasa. Agaknya bakat dalam linguistik ada. Bahasa Inggeris yang kugunakan dalam kelas composition sering cenderung lebih advanced dari bahasa yang searas dengan tingkatan yang kududuki hasil pembacaan tambahan yang kulakukan di perpustakaan kecil Daerah Binatang. Perpustakaan menjadi pusat tumpuan bila tidak bersekolah. Kebanyakan pelajaran pun kupelajari mendahului sukatan yang sedang diajar di sekolah. Hanya beberapa subjek yang aku rasa susah nak excel seperti Biology dan Chemistry. Miss Pauline Wong, guru kami di Tingkatan 4 adalah guru yang inspiratif. Sepanjang mengajar beliau sering menyelitkan pengalaman di tempat pengajiannya di New Zealand bahkan mengaplikasikan beberapa teori di universiti untuk menyelesaikan soalan-soalan dalam mata pelajaran Add Math. Beliau juga sering menjadikan composition yang kubuat sebagai contoh penggunaan bahasa yang baik. Setiap kali hasil tulisanku mendapat perhatian aku mendengar komen sinis seorang pelajar Cina, Tiong Ja Fuh (sorry to mention your name) , yang merupakan pelajar terbaik L.C.E. Kami hanya dipisahkan dengan 2 agregat. Aku tidak merasa risih dengan cemohannya terhadapku kerana ejekannya yang banyak menyentuh tentang ke-Melayuanku yang dianggapnya inferior tidak berkait rapat dengan prestasi sebenarku. Ia menjadi pemacu untuk aku buktikan nanti dalam MCE dia tidak lagi boleh menyombong diri sebagai best student seperti di LCE yang lepas. 

Pengalaman luaran tadi telah mencipta satu rasa terpanggil untuk berbuat sesuatu yang lebih baik untuk agama yang kuyakini dan selama ini tidak kusumbangkan sebanyak mana untuk memartabatkannya. Meskipun tidak seberapa ilmuku, tapi rakan-rakan sering menjadikan aku sebagai rujukan. Aku selalu ingin menjadi inspirator untuk mereka ikut meskipun ketika itu tidak lagi kukenali hadith yang menawarkan pahala yang serupa dengan pengamalnya jika aku mengajak orang berbuat baik. Ia macam timbul dari naluri ingin menjadi baik dan membawa orang jadi baik. Pernah semasa di tingkatan 4, seorang pelajar perempuan Cina yang hendak berdebat dalam tajuk "Capital Punishment" mengajakku berdiskusi untuk mendapatkan input pandangan Islam tentang hukuman mati. Ketika itu, tiada dalil naqli yang mencukupi hasil pendidikan asas agama yang kupelajari di Sibu. Jawapanku pun banyak bersandarkan dalil aqli. Tapi nampaknya sahabat sekelasku yang menerima input itu nampaknya cukup puas dengan point yang nak dijadikannya bekalan berdebat dengan lawannya. Sayangnya pasukannya kalah semasa pertandingan.

Aku semakin merasa terpanggil untuk menjadi seorang pembela agama tapi aku tidak ada tempat untuk  mempertingkatkan kefahamanku. Pernah suatu ketika aku menyuarakan dengan Mat Ali, sepupuku yang sama tingkatan di SM Kai Chung dan kami setuju kalau boleh ke sekolah agama di Kuching kami akan pergi bersama. Tapi nampaknya sistem sekolah kita tidak mengizinkan kami yang dari sekolah biasa ke Tingkatan 4 sekolah agama. Punah harapan rasanya. 

Di Binatang jarang sekali juga kita mendapat peluang mendengar ceramah agama. Berbeza dengan ketika di Sibu, banyak kali mendengar kuliah dari Ust Materang Isa, Ust Matrang Seruji dan lain-lain. Sekali sekala ada juga ustaz dari Semenanjung atau Indonesia. Kali pertama aku mendengar ceramah umum adalah ketika kami dijemput ke SMK Rosli Dhoby untuk mendengar ceramah Ust Sidiq Fadhil. Aku pun tak kenal dia siapa. Dengan bahasanya yang kuanggap agak sastera,  sukar sedikit mencernanya. Tapi tetapku anggap dia seorang pemidato yang hebat dan inspiratif. Kalau aku tak faham bukan salah dia, tapi aku yang kekurangan ilmu.  Jadi jarang sekali sebenarnya kutemui ustaz asal Sarawak yang boleh berceramah seperti mereka. 

Sepanjang di Masjid Sibu juga aku sering diberi kepercayaan azan di Masjid Sibu walaupun baru berumur 14 tahun. Encik Sirat yang menjadi bilal ketika itu tidak menghalang kami yang masih budak-budak azan. Ia menambah minat dan rasa tanggungjawab kepada agama. 

Di Binatang seingatku hanya pernah sekali mendengar ceramah dari Ust Ahmad Muhammad yang dibawa dari Semenanjung. Rupanya dia orang Aceh. Selang beberapa minggu kemudian, Ust Ahmad balik lagi ke Bintangor lagi. Rupanya di terpikat dengan Ustazah Hasnah yang ditemuinya ketika menginap di rumah Pemanca Haji Amir. Dia balik untuk akad nikah. Mudahnya ! Hari berikutnya Ust Ahmad tak sempat berangkat balik dan solat Jumaat di masjid Bintangor. Khatib yang ketika itu melihat beliau datang tepat sebelum khutbah memberi peluang kepada beliau. Ust Ahmad langsung menyambut tongkat khatib dan naik ke mimbar tanpa membuat apa-apa persiapan. Khutbah yang disampaikan tanpa persiapan itu begitu mulus dan mengesankan. Aku tak pernah menyaksikan khatib seperti beliau. Beliau menjadi satu lagi inspirasiku nak menjadi seorang ulama !

Sejak itu, selagi ada hal-hal yang berkaitan dengan agama, aku selalu ingin di hadapan. Seorang lagi tokoh pendorong yang kutemui semasa di sekolah Kai Chung adalah Cikgu Suhaimi. Berjanggut panjang, ketayap sentiasa di kepala dan berbaju gamis menjangkau sedikit di tengah paha. Beliau tidak mengajar kami tapi kerana perawakannya yang alim membuat aku sekali-sekala suka bersembang dengannya. Suatu hari, dalam perjalanan balik dari Sibu, kami naik bot ekspres, beliau mengajakku solat berjamaah di atas bot ekspres yang sedang bergerak. Masya Allah ! Inilah contoh seorang hamba yang solat di awal waktu dan di mana-mana tempat yang memungkinkan dan selama ini hukumnya hanya aku jumpai dalam buku, tapi tidak dalam praktikal. 

Pengalaman kalah ketika mewakili Bahagian Keenam dalam Musabaqah Peringkat Zon sekali lagi kepada qari yang mengalahkan aku di Sibu, Wan Alim,  membuatku terasa bahawa aku harus lebih jauh mencari ilmunya . Al-Quran menjadi daya tarik tersendiri buatku. Tapi kerana tidak berapa tahu apa kekuranganku yang sebenarnya dalam mempelajari al-Quran membuatku lebih penasaran mencari kekurangan daripada melihat kelebihan. Ia dorongan yang kuat untuk merantau lebih jauh. 

Suatu hari aku terima telefon dari ayah di Kapit bertanya sama ada aku berminat hendak belajar agama di Indonesia. Ayahku benar-benar telah berubah pandangan terhadap kecenderungan belajar agama. Ayah dapat tahu dari Ustaz Zawawi, pegawai agama di Kapit yang sedang mencari calon untuk dihantar belajar ke Indonesia dengan biasiswa dari BINA. BINA ? Itu pertubuhan yang kukenali dari aktiviti silat di Binatang. Aku setuju dan hari interviu telah ditetapkan dan bertempat di Sibu. 

Ayah menemaniku semasa interviu di Majlis Islam Sibu. Kehadiran ayah bersamaku yang jarang berkesempatan dengannya menambah semangatku untuk berjaya mendapat peluang ini. Ayahku mungkin seorang yang tidak berpendidikan agama. Tapi aku dapati dia banyak menyimpan buku-buku agama yang menjadi bacaan tambahanku di rumah bila sudah baligh. Salah satu buku yang memberi kesedaran tentang kewajiban masyarakat dalam diriku dalam koleksi buku ayah adalah buku biografi Rosli Dhoby tulisan Syed Hussein al-Attas berjudul "Kenapa Rosli Dhoby dan 3 Hero Sarawak dihukum ?". Sejauh yang kuingat semasa kami di Sibu, Nek Poi sering ke rumah seberang kami, rupanya anak saudara allahyarham Rosli Dhoby dan kata nenek lagi Nek Yak, kakak allahyarham yang ditemuinya itu masih ada hubungan sepupu dengannya.



Fail:05 kenapa rosli dhobi dan 3 hero sarawak dihukum.jpg


Semasa interviu aku masih ingat ayahanda Ust Hasanuddin Abu Bakar, daie BINA berasal dari Indonesia bertanya soalan-soalan yang lebih banyak bertumpu kepada atitud. Kufikir asas agama dan pembacaan al-Quranku mencukupi. Soalan-soalan berkenaan dengan pandangan hidup rasanya juga telah kujawab dengan meyakinkan. Satu soalan yang aku tak pernah lupa sampai hari ini adalah, "Adakah nanti setelah tamat kamu akan balik ke Sarawak ?" Saya jawab dengan tegas, "Ya !" Beliau sambung lagi, "Kalau kamu kahwin dengan orang Indonesia ? " , kujawab , "Saya tetap akan balik ke Sarawak. " 

Setelah membaca kandungan iklan itu tempat yang kupilih adalah Pondok Modern Gontor berdasarkan subjek yang disenaraikan seperti Bahasa Arab, Tauhid, Fiqah, Psikologi, Keguruan dan ko-kurikulumnya seperti pidato dan lainnya. Pilihan satu lagi Pondok Pesantren Darul Fallah, Bogor kurang menarik minatku walaupun jangka masa pengajiannya nampak lebih singkat. 

Tidak lama kemudian aku mendapat surat tawaran belajar di Gontor. Selain dari melihat nama institusi itu aku sebenarnya tidak tahu apa-apa tentang kelebihan Gontor itu. Pada asalnya aku memilih Gontor bukan kerana ia sudah dikenali hebat, tapi kerana aku sedang mencari tempat yang boleh menerimaku belajar lebih dalam tentang agama. Allah juga mentaqdir pilihanku jatuh kepada Gontor. Sementara pilihanku untuk berhijrah cita-cita kepada bidang agama pula lebih didorong oleh rasa terpanggil untuk menjadi seorang lagi  anak Sarawak yang boleh menyumbang kepada kekuatan agama Islam di negeri Sarawak. Kurangnya penceramah asal Sarawak yang kutemui juga mendorongku. Kurangnya tokoh agama yang berlatarbelakangkan pelajar aliran Sains adalah sisi lain yang mencabarku. Sikap ayah yang sudah berubah terhadap pendidikan agama seperti melancarkan perjalananku. 

Akhirnya hari keberangkatan sudah ditentukan. Kami dikumpulkan di Kuching sebaik sahaja selesai Hari Raya Idul Fitri pada tahun 1980. Kemudian baru kutahu kami kena mengejar tarikh tutup pendaftaran Ujian Masuk Gontor pada 10 Syawal setiap tahun. Kami para pelajar yang terpilih akan dikumpulkan di Kuching. Itulah juga kali pertama ayahku membeli kereta baru, sebuah kereta Subaru yang sering kami tonton iklannya di TV "Subaru baru !". Hari pertama kereta itu dibeli ia sudah dipaksa berjalan jauh merempuh jarak hampir 400 km dari Bintangor ke Kuching melalui jalan darat setengahnya ada tar dan setengah pula jalan batu dan tanah berdebu. Sayang juga melihat kereta baru yang sudah kena menjalankan tugas lasak. 


Di Kuching baru kuketahui, hanya dua orang kami yang terpilih ke Gontor. Seorang lagi adalah sahabat baruku, Kassim Zainuddin dari Miri. Tiga orang yang terpilih ke Bogor adalah Idris Ahmad dan Syed Ahmad dari Lawas serta Yakub Abdullah dari Sibu dan Sulaiman Abdullah. Dua orang lagi adalah anak Tuan Haji Mokhtar Khan, imam Masjid Miri iaitu Iskandar dan Razali. Mereka dibiayai sendiri oleh beliau. 

Malam sebelum berangkat, kami dibawa bertemu dengan Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Dato' Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub yang juga Yang DiPertua BINA. Inilah kali pertama aku bertemu secara langsung dan diajak bersembang oleh Ketua Menteri. Pertemuan itu membuatku merasa bahawa pemilihan kami bukanlah satu misi biasa-biasa sahaja tapi satu harapan tinggi untuk masyarakat Sarawak. 

Penerbangan kami esoknya diiringi oleh Ust Narawi Abdul Rahman  melalui Johor Bahru dan Singapura. Meskipun sedih meninggalkan keluarga yang kusayangi, aku sangat teruja. Kami hanya dibenarkan balik 2 tahun kemudian. Ini kali kedua aku naik kapalterbang. Kali pertama adalah ketika mewakili Bahagian Keenam untuk Musabaqah peringkat negeri di Kuching. Hanya naik Fokker 27. Kali ini naik Boeing 737 Johor Bahru dan seterusnya  ke sebuah negara yang selama ini hanya kubaca melalui atlas, Singapura. 




Sesampainya kami di JB, kami naik coach menuju ke Singapura. Singapura kelihatan sangat moden bagiku. Seringkali kudengar orang Sarawak memuji Singapura dari aspek kebersihan; tandasnya dikatakan harum bahkan boleh tidur. Ustaz Nahrawi membawa kami pergi ke kawasan Masjid Sultan. Beliau nampak biasa sahaja berjalan di situ kerana pernah belajar di Al-Juneid. Sempatlah kami setengah hari berjalan-jalan di Singapura. Rupanya Ust Nahrawi hanya bersama kami sampai di Singapura sahaja. Petangnya kami berangkat dari Singapura ke Jakarta dengan Haji Mokhtar sahaja. 


Pendaratan di Bandara Halim Perdana Kusuma baru membuat kami benar-benar terasa di negara orang ! Kalau di Singapura, suasananya sangat serupa dengan Malaysia, di Indonesia pula komposisi manusia yang kutemui lebih banyak yang serupa; kulit Melayu dan jarang pula terselit antara mereka bangsa lain. Bahasa Indonesia yang sering kudengar dari filem-filem selama ini sekarang di depan mata. Aku bukan lagi mendengar Rano Karno, Yessy Gusman, Sopan Sophian, Roy Marten, Emilia Contessa atau artis lainnya. Aku sudah di Jakarta, bung ! Suasana di luar bandara ( aiport ) lebih bising dari yang biasa kudengar. Selain dari teriakan para calo yang mencari pelanggan, kendaraannya yang banyak terdiri dari kendaraan awam enjinnya lebih bising, dan hon dibunyikan merata-rata. 


Di bumi asing ini, kami anak-anak muda yang baru sampai di bumi asing ini tiba-tiba harus merasa berhati-hati. Beg-beg kami dikumpulkan dan kami mengelilinginya untuk mengelakkan kemungkinan ia disambar orang. Tuan Hj Mokhtar sibuk menelefon ayahanda Ust Hasanuddin dan kami diarahkan naik van ke rumahnya di Tanah Abang. Keberangkatan kami pula ditemani seorang anggota polis. Dahsyatnya ! Aku pun tak faham macamana boleh seorang polis bersedia memberi khidmat menjaga keselamatan kami. 


Sewaktu sampai di Jakarta, hari pun sudah malam. Kami melewati jalan-jalan yang kuperhatikan tak ada sunyi-sunyinya. Jakarta nampak sangat sebagai sebuah kota padat manusia. Sesampainya di rumah Pak Hasan, kuperhatikan juga ruangnya sempit, berhimpit dengan rumah-rumah jiran. Memang padat Jakarta pada pandanganku ketika itu. Pak Hasan kata penduduknya 10 juta ! Hampir separuh penduduk Malaysia yang baru mencapai 21 juta ketika itu. 


Kami anak-anak pula ditempatkan tidur di tingkat paling atas Masjid al-Munawwarah, Kg Bali 1, Tanah Abang. Beralaskan tilam sponge setebal 2 inci dan selimut nipis, kami pun melayari malam pertama di luar negeri dalam suasana yang tak terfikirkan oleh kami. Orang yang ke luar negara biasanya bercerita tentang kemewahan yang mereka kecapi semasa di rantau orang. Sementara kami pula sedang nak tidur di bilik tak terpakai di masjid, bertilam nipis dan tiada apa-apa yang layak dikatakan mewah  di sekeliling kami. Sempat juga sebelum tidur, Kassim bertanya, "Eh. Mun tempat tidur kita di pondok kelak macam tu juak, teruklah oo ? ( Eh ! Kalau tempat tidur kita di pondok macam ni, teruklah ya ?" Yang lain pun nampak macam setuju. 





Pagi pertama kami bersarapan di rumah Pak Hasan, terdengar dentuman macam meriam dari kejauhan. Pak Hasan kata itu bunyi meriam dari istana Presiden. Rupanya hari itu adalah Hari Kemerdekaan Indonesia , 17 Agustus 1980. Kerana Hari Kemerdekaan merupakan hari yang paling dibesarkan oleh rakyat Indonesia, tarikh itu tak pernah kulupakan walaupun ia sudah 31 tahun berlalu. Tanpa menyiakan masa transit di Jakarta, kami keesokan harinya dibawa bersiar-siar sekitar Jakarta. Destinasi pertama kami adalah Masjid Istiqlal yang besarnya amat mengagumkanku. Kata mereka ini masjid yang terbesar di Asia Tenggara. Seberangnya tegak gagah Tugu Monumen Nasional ( Monas ) berbentuk obor dan bara apinya dicat dengan cat emas tulen.




Tempat kedua yang kuingat adalah Masjid al-Azhar yang juga dikenali ramai sebagai masjid tempat berpangkalannya Prof Dr Hamka. Sulaiman terbelit lidah membaca alamatnya Sisingamangaraja. Siangnya kami berpisah. Yang ke Bogor dan ke Gontor akan memulakan perjuangan masing-masing. Kami yang ke Gontor dihantar ke Terminal Bis Pulo Gadung. Perjalanan kami ke Madiun mengambil masa satu malam. Kami menaiki van ( colt ) ke Gontor disambut oleh Panitia Bulan Syawal. Orang yang menyambut kami adalah Umar Syarifuddin, anak Kiyai Fathullah Harun, santri Kelas Enam . Kebetulan banget ! Allah yang merancang semuanya. 


Perancangan Allah untukku di Gontor kini bermula !

No comments:

Post a Comment